Saturday 31 March 2012

Ilmu Warisan Nabawi Merentasi Zaman:



Suatu Sorotan Ringkas Terhadap Tradisi Pewarisan Ilmu Agama

Dalam Amalan Majoriti Ulama’ Islam



Pendahuluan

Dewasa ini, ramai manusia yang berbicara soal agama, biar siapa pun mereka, biar bagaimana pun caranya. Selain daripada nas-nas Al-Qur’an dan As-Sunnah, perkataan para ulama’ juga sering digunakan dalam berbicara tentang agama. Kecenderungan untuk kembali kepada mengamalkan agama Islam adalah sangat menggembirakan, namun sesetengah pihak cenderung mentafsirkan nas-nas Al-Qur’an dan As-Sunnah mengikut hawa nafsu mereka, tanpa manhaj yang sebenar, lalu membentuk fahaman-fahaman yang salah dalam agama adalah sangat menggusarkan.

Mereka membuka kitab-kitab ulama’dan membaca kalam-kalam ahli ilmu, namun mereka dan para ulama’ sangat berbeza khususnya dari sudut memiliki manhaj sempurna dalam berinteraksi dengan nas-nas agama dan teks-teks ilmiah para ulama’. Bahkan, kecenderungan melahirkan pendapat dalam bidang agama hanya dengan merujuk kitab-kitab para ulama’ versi terjemahan lebih membimbangkan kerana mereka sebenarnya sekadar berinteraksi dengan maklumat, bukan dengan “ilmu”.

Perbahasan ini cuba menjelaskan hakikat ini, di mana bukan semua orang yang pandai berkata-kata dengan hiasan hujah-hujah keilmuan sebenarnya benar-benar ahli ilmu dalam penilaian Islam. Ini kerana, dalam Islam, wujud tradisi pewarisan ilmu-ilmu agama yang mana jika seseorang itu tidak melalui tradisi tersebut dan terpinggir dari tradisi ini, maka secara ukuran ilmiahnya, dia tidak dianggap sebagai berkelayakan dalam bidang keilmuan Islam, malah dianggap seseorang yang meragukan untuk dijadikan rujukan dalam memahami agama Islam secara sempurna.

Kita boleh baca kitab-kitab para ulama’ tentang adab-adab penuntut ilmu dan para ulama’, serta ukuran keahlian mereka dalam bidang agama. Ia bukan suatu perkara yang baharu, tetapi sudah semakin pupus dalam bentuk praktikal melainkan di sisi mereka yang benar-benar mewarisi ilmu agama secara sahih. Inilah mungkin antara laluan menuju “terangkatnya ilmu dengan pemergian ahlinya” yang diisyaratkan oleh Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- yang bakal berlaku di akhir zaman.

Sallimna min Al-Fitan ya Al-Karim Al-Mannan.

Perbahasan Pertama: Tradisi Pengajian Ilmu Agama dalam Amalan Ulama’ (Salaf dan Khalaf)

Skop Perbahasan:

- Tradisi Warisan Nabawi

- Ilmu Warisan Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-

- Kepentingan Ulama’ dalam Tradisi Pewarisan Ilmu Islam

- Tradisi Pengajian Ilmu Agama dalam Amalan As-Salaf As-Sholeh

- Kepentingan Sanad Keilmuan (Sandaran Keilmuan) dalam Tradisi Pengajian Ilmu Agama

- Pewarisan Ilmu Nabawi Hanya Melalui Para Ulama’

- Kesimpulan: Golongan Awam Perlu Merujuk Para Ulama’ Muktabar dalam Memahami Agama

Tradisi Warisan Nabawi

Sesungguhnya, Allah s.w.t. memuliakan umat Islam dengan golongan para ulama’ yang berkhidmat dalam memelihara dan mengembangkan ilmu agama. Mereka adalah pewaris tugas Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- dalam menyampaikan kefahaman yang sahih tentang agama Islam dan mengajar ilmu-ilmu agama kepada masyarakat awam.

Kemuliaan para ulama’ yang merupakan pewaris Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- disebut oleh Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- sendiri sebagaimana sabda Baginda -Shollallahu ‘alaihi wasallam- yang bermaksud:

“…Para ulama’ adalah pewaris para Nabi…”

[hadith diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, Imam At-Tirmizi, Imam Ibn Majah, Imam Ibn Hibban dan sebagainya dalam hadith yang panjang].

Dalam hadith ini mempunyai segenap makna dalam memahami tradisi perkembangan ilmu-ilmu agama warisan Nabawi. Bahkan, hadith ini menggambarkan bahawa kekuatan sistem pengajian ilmu agama dalam tradisi Islam adalah pada konsep “pewarisan” ilmu itu sendiri dari suatu generasi ke suatu generasi melalui para ulama’ (ahli ilmu) dalam setiap zaman.

Para ulama’ yang mewarisi tugas para Nabi sebagaimana yang digambarkan dalam hadith tersebut sudah semestinya mempunyai ciri-ciri khusus yang menyebabkan mereka digelar sebagai pewaris para Nabi bahkan pewaris kepada Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- yang merupakan penghulu kepada para Nabi dan yang membenarkan ajaran tauhid para nabi terdahulu.

Apakah ciri-ciri khusus para ulama’ yang diisyaratkan oleh Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- dalam hadith “pewaris” tersebut?

Sebelum itu, fokus yang lebih utama sebagai pendahuluan adalah, kita perlu memahami konsep warisan itu sendiri. Warisan itu adalah perpindahan sesuatu antara seseorang kepada pihak kedua yang mempunyai hubungan antara kedua-dua pihak tersebut.

Sebagai contoh, seorang anak itu adalah waris bagi ayahnya begitulah seterusnya kerana mereka mempunyai hubungan kekeluargaan. Maka, dengan hubungan “darah-daging” tersebut, si anak bukan sahaja mewarisi genetik ayahnya, malah turut diberi hak mewarisi harta milik ayahnya. Begitu juga hubungan pernikahan dan sebagianya. Maka, konsep “warisan” perlu ada beberapa perkara iaitu:

Orang yang mewariskan (Al-Muwarris)
Orang yang mewarisi (Al-Waris)
Barang yang diwarisi
Hubungan antara Al-Muwarris dengan Al-Waris

Ilmu Warisan Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-

Dalam hadith ini, Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- menjelaskan bahawasanya, para ulama’ mewarisi ilmu daripada para Nabi. Maknanya, setiap zaman yang mempunyai nabi, maka para ulama’ di zaman para nabi tersebutlah yang akan mewarisi ilmu mereka. Maka, pada zaman Nabi Muhammad -Shollallahu ‘alaihi wasallam-, para ulama’ dari kalangan umat Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- adalah pewaris kepada ilmu Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-.

Maka, kita dapat fahami di sini, konsep warisan ilmu Islam itu adalah seperti berikut:

Orang yang mewariskan (Al-Muwarris): Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-.
(Pewaris) Orang yang mewarisi: Para ulama’
Sesuatu yang diwarisi: Ilmu Agama
Hubungan antara pewaris dengan orang yang mewarisi: Hubungan/Sanad/Silsilah Talaqqi dan Tahadduth (Sanad Ilmu dan Pembelajaran secara Riwayah dan Dirayah)

Maka, apa yang kita fahami adalah, Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- meninggalkan kepada kita dua sumber ilmu agama yang utama iaitulah Al-Qur’an dan As-Sunnah. Maka para ulama’ perlulah berpegang dengan kedua-duanya kerana itulah sumber ilmu yang diwariskan oleh Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-.

Namun, ilmu warisan Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- bukan sekadar berbentuk sumber agama sahaja iaitu Al-Qur’an dan As-Sunnah, tetapi merangkumi juga manhaj sahih dalam memahami kedua-dua sumber tersebut (melalui para sahabat r.a.). Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- tidak meninggalkan kepada umat Islam hanya Al-Qur’an dan As-Sunnah tanpa meninggalkan manhaj sahih dalam memhami kedua-duanya (Manhaj At-Tafahhum As-Sahih), kerana tanpa memiliki manhaj yang sahih untuk memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah, maka seseorang yang jahil boleh tersesat dan salah faham terhadap Al-Qur’an dan As-Sunnah itu sendiri.

Maka, kesimpulan daripada ilmu warisan Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- ada dua bentuk iaitu:

Sumber ilmu agama: Al-Qur’an dan As-Sunnah (Mashdar Ad-Din atau Nas-nas Islam)
Manhaj Sahih dalam memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah (Manhaj At-Tafahhum As-Sahih atau disiplin untuk berinteraksi dengan nas secara sahih)

Ilmu Agama dari Sudut Riwayah (Kesahihan Sumber) dan Dirayah (Kesahihan Kefahaman berdasarkan Kesahihan Manhaj)

Kita perlu memahami ilmu agama itu ada dua jenis yang utama iaitulah dari sudut riwayat dan dari sudut dirayah. Adapun ilmu-ilmu dari sudut riwayah adalah ilmu yang berkaitan dengan menjaga sumber ilmu agama iaitulah meriwayatkan Al-Qur’an dan As-Sunnah dan memastikan keaslian kedua-dua sumber tersebut dari sudut periwayatannya.

Berbeza dengan ilmu agama dari sudut Dirayah di mana ianya berkaitan dengan kefahaman sahih terhadap nas-nas Al-Qur’an dan As-Sunnah yang dipelihara dari sudut riwayah tersebut, melalui manhaj sahih dalam berinteraksi dengan kedua-duanya. Maka, ilmu agama dari sudut Dirayah menekankan tentang manhaj sahih dalam memahami kedua-dua sumber tersebut. Oleh sebab itu, sebahagian ahli hadith (Muhaddithin) yang terlibat dalam menjaga hadith-hadith dari sudut riwayat tidak membahaskan hadith-hadith dari sudut kefahamannya secara terperinci seperti Imam Al-Bukhari, Imam Muslim dan sebagainya di mana dalam memahami nas-nas tersebut, mereka tetap bergantung kepada kefahaman para ulama’ fiqh (Fuhaqa’).

Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- menyebut tentang dua jenis ilmu agama ini dengan maksudnya:-

Allah s.w.t. memperindahkan (mencerahkan wajah) seseorang yang mendengar dari kami sesuatu hadith lalu menyampaikannya kepada orang lain. Boleh jadi, orang yang meriwayatkan Fiqh (nas hadith) sebenarnya bukan seorang yang faham (terhadap apa yang diriwayatkan) dan boleh jadi orang yang meriwayatkan fiqh (kefahaman atau hadith) menyampaikannya kepada orang yang lebih memahaminya”.

[Hadith riwayat Imam Ibn Hibban, Imam Ibn Majah, Imam Al-Baihaqi, Imam Ibn Abdil Barr, Al-Muhaddith Ramahramzi dan sebagainya].

Ini menunjukkan kepentingan kerjasama golongan Fuqaha’ dengan golongan Muhaddithin di mana golongan Fuqaha’ menumpukan sudut Dirayah sedangkan golongan Muhaddithin menumpukan sudut Riwayah. Namun, tidak dapat dinafikan ada sebahagian ulama’ hadith juga dalam masa yang sama adalah ulama’ fiqh (Faqih) seperti Imam Malik rah dan Imam Ahmad rah

Oleh itu, kita boleh dapati ramai orang jahil mengaku mengikut Al-Qur’an dan As-Sunnah namun salah faham terhadap Al-Qur’an dan As-Sunnah sehingga melahirkan kelompok-kelompok syaz (golongan pinggiran dan sesat lagi terkeluar daripada kelompok majoriti ulama’ Islam) kerana tidak memiliki manhaj Sahih dalam memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah. Antara kelompok tersebut adalah seperti Mu’tazilah, Jabbariyyah, Qadariyyah, Syiah, Mujassimah, Hasyawiyyah dan sebagainya.

Jadi, bukan semua orang yang mengaku mengikut Al-Qur’an dan As-Sunnah sebenarnya memahami kedua-duanya dengan kefahaman yang sahih menerusi manhaj yang sahih. Ini perlu difahami agar kita tidak tertipu dengan sebahagian Zahiriyyah yang mengaku mengikut nas-nas Al-Qur’an dan Hadith secara zahir sedangkan kefahaman mereka telah tersasar dari kefahaman sebenar.

Hubungan Antara Riwayah (Periwayatan Nas) dengan Dirayah (Kefahaman Nas)

Kita perlu fahami sebagaimana dijelaskan pada awalnya, tentang perbezaan antara mereka yang menguasai ilmu-ilmu berkaitan sumber agama seperti Ilmu Rijal, sanad-sanad hadith, Takhrij dan penilaian hadith yang berkaitan dengan Riwayah, dengan mereka yang membahaskan makna-makna Al-Qur’an dan Hadith dengan manhaj yang sahih. Oleh kerana itu, kita dapati bukan semua ulama’ yang mahir dalam ilmu Riwayah terlibat dalam bidang ilmu Dirayah (menjelaskan kefahaman hadith) secara langsung dan sebahagian ulama’ yang terlibat dalam Dirayah pula tidak semahir ulama’ bidang Riwayah (Ahl Al-Hadith), iaitu dari sudut kedudukan sesuatu hadith, malah merujuk mereka (Ahl Al-Hadith) dalam menilai kedudukan sesuatu sumber agama (hadith).

Kita dapat lihat contoh antara mereka yang mahir dalam ilmu berbentuk Riwayah semata-mata dengan mereka yang mewarisi ilmu Nabawi secara Riwayah dan Dirayah secara lengkap.

Diriwayatkan daripada Nu’aim bin Hammad bahawasanya beliau bertanya kepada Abdul Rahman bin Mahdi:

“Di mana bezanya antara Sufiyan bin ‘Uyainah dengan Sufiyan At-Thauri?”

Beliau menjawab: “Imam Ibn Uyainah memiliki pengetahuan tentang (makna) Al-Qur’an dan penjelasan tentang hadith…yang tiada di sisi Imam At-Thauri”. [Al-Muhaddith Al-Fashil: 241]

Imam Sufiyan At-Thauri r.ah adalah antara ulama’ yang paling banyak menghafal hadith dan mahir dalam menilai kedudukan hadith-hadith tersebut. Namun, menghimpunkan hadith-hadith berbeza dengan kefahaman terhadap hadith-hadith tersebut yang mana menurut Imam Ibn Mahdi, Imam Ibn Uyainah memilikinya (Dirayah: kefahaman hadith) lebih berbanding Imam At-Thauri walaupun Imam Ibn Uyainah sangat menghormati Imam At-Thauri.

Diriwayatkan bahawasanya pernah suatu ketika Imam Sufiyan At-Thauri r.ah bertanya kepada Imam Sufiyan bin ‘Uyainah r.ah:

Mengapa aku dapati kamu tidak Tahadduth (membaca hadith di khalayak umum)?”

Lalu Imam Sufiyan bin Uyainah r.ah. menjawab:

“Selagimana kamu hidup, maka tidak sesekali (aku Tahadduth)”. [ibid: 352]

Ini menunjukkan Imam Ibn Uyainah sendiri walaupun dikatakan lebih memahami hadith daripada Imam Ibn At-Thauri secara umum, tetapi beliau sangat beradab dengan Imam Sufiyan At-Thauri. Begitu juga perbandingan yang dibuat sendiri oleh para ulama’ hadith kepada para ulama’ fiqh (fuqaha’) yang menggali hukum-hakam agama daripada hadith-hadith.

Sheikhul Muhaddithin Imam Yahya bin Sa’id Al-Qatthan yang terkenal sebagai seorang ulama’ hadith yang mashyur, ketika membaca kitab Ar-Risalah, maka beliau memuji Imam As-Syafi’e r.ah. berkenaan penulisan beliau tersebut dengan berkata:

Aku tidak melihat seseorang yang lebih faham dan lebih cerdas akalnya berbanding beliau”. [Tahzib Al-Asma’ wa Al-Lughat 1/59]

Ini menunjukkan dua sudut dalam bidang agama yang berbeza tetapi tidak terpisah iaitulah sudut riwayah dan dirayah. Para ulama’ juga berbeza dari sudut penguasaan kedua-dua jenis ilmu agama tersebut.

Imam As-Syafi’e r.ah sendiri pernah menekankan kepentingan mempelajari kefahaman sahih terhadap nas berbanding memperbanyakkan hafalan hadith tanpa memahaminya dengan kefahaman sahih menerusi manhaj sahih.

Imam As-Syafi’e r.ah pernah berkata kepada Abu Ali bin Miqlas:

Kamu ingin menghafal hadith (semata-mata) lalu menjadi seorang faqih? Tidak sama sekali. Sangat tidak realistik.” [Manaqib Imam As-Syafi’e oleh Imam Al-Baihaqi 2/152]

Imam Al-Baihaqi menjelaskan tentang perkataan ini bahawasanya manfaat menghafal hadith-hadith adalah pada mempelajari maknanya yang dikenali sebagai At-Tafaqquh. Kesibukan dalam menghafal hadith sehingga tidak mendalami kefahaman hadith (Tafaqquh) tidak membuatkan seseorang itu menjadi faqih sama sekali.

Imam Ahmad r.ah juga berkata:

“Mengetahui (makna) hadith itu dan menjadi faqih dalam hadith lebih aku sukai daripada menghafalnya (tanpa memahaminya).” [Minhaj As-Sunnah oleh Sheikh Ibn Taimiyyah 4/115]

Imam Ali Al-Madini r.ah juga berkata:

Semulia-mulia ilmu adalah memahami matan-matan hadith dan mengetahui keadaan perawinya”. [Ibid]

Imam Al-A’masyh r.ah. berkata:

“Hadith yang disebutkan oleh para fuqaha’ (dengan kefahamannya) lebih baik daripada hadith yang disebut oleh para sheikh (tanpa kefahaman)” [Tadrib Ar-Rawi oleh Imam As-Suyuti m/s 8]

Imam As-Suyuti r.ah juga meriwayatkan suatu kisah:

“Seorang manusia mencela Imam Ahmad bin Hanbal kerana menghadiri majlis Imam As-Syafi’e  dan meninggalkan majlis Imam Sufiyan bin Uyainah r.ah. Maka Imam Ahmad r.ah. berkata: “Diamlah. Kalau kamu kehilangan hadith dengan sanad yang ali’ (sedikit bilangan perawi antara kita dengan Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-) maka kamu boleh dapatkannya dengan sanad yang nazil (banyak bilangan perawi antara kita dengan Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-) dan ianya tidak memudaratkan kamu. Tetapi, jika kamu kehilangan akal (kefahaman) pemuda ini (Imam As-Syafi’e), maka aku takut kamu tidak akan mendapatkannya lagi”. [ibid]

Imam Al-Khatib Al-Baghdadi juga ada menyebut:

????? ?? ????? ????????? ???? ???????? ??????? ?? ???????

Maksudnya: “Ilmu itu adalah kefahaman dan Dirayah, bukan (sekadar) memperbanyakkan dan memperluaskan dari sudut Riwayah (semata-mata)” [Al-Jami’e: 2/174]

Ketelitian dalam Perkembangan Ilmu Agama Secara Riwayah dan Dirayah

Jika kita fahami perbahasan sebelum ini, iaitu ilmu agama itu terbahagi kepada dua jenis yang utama, iaitulah ilmu agama dari sudut riwayah dan dari sudut dirayah, maka kita dapat menyusunkannya secara lebih jelas seperti berikut.

1) Ilmu Agama dari sudut Riwayah: Nas-nas samada Al-Qur’an atau hadith (sumber utama Islam). Ilmu-ilmu yang dirangka untuk menjaga kedudukan dan keaslian sesuatu sumber adalah seperti ilmu Rijal dalam bidang hadith (meneliti sanad hadith) dan ilmu Qiraat dalam bidang Al-Qur’an (sebahagian ilmunya meneliti sanad Al-Qur’an dengan bacaan yang ma’thur).

2) Ilmu agama dari sudut Dirayah:

Ia ada dua jenis:

2.1: Manhaj Sahih: Kerangka atau disiplin ilmu yang disusun bagi seseorang dapat berinteraksi dengan nas-nas (sumber agama) dengan cara yang betul menurut tradisi ilmu Nabawi. Maka, ilmu-ilmu yang membahaskan tentang manhaj ini adalah seperti ilmu bahasa Arab, ilmu usul Fiqh, ilmu Mustolah Hadith, Ulum Al-Qur’an dan sebagainya.

2.2: Kefahaman yang Sahih: Himpunan-himpunan kefahaman yang sahih dari para ulama’ samada ianya diukur berdasarkan ukuran manhaj sahih atau disiplin ilmu yang sahih atau ianya diambil secara riwayat. Maka, antara ilmu-ilmu yang membahaskannya adalah seperti ilmu Fiqh (dalam bidang syariat), ilmu Aqidah atau Tauhid (dalam bidang iman/aqidah), ilmu Tasawwuf (dalam bidang akhlak), ilmu Tafsir (dalam bidang Al-Qur’an), ilmu Syarh Al-Hadith (dalam bidang hadith) dan sebagainya.

Dalam perkembangan ilmu agama secara riwayah sahaja, ianya mempunyai ukuran dan penilaian tertentu bagi para ahlinya. Bukan semua orang boleh meriwayatkan hadith kepada orang lain tanpa mempunyai syarat-syaratnya dan bukan semua orang boleh diterima periwayatan hadithnya.

Maka, ilmu ini dibahaskan dalam bab At-Tahammul wa Al-Ada’ atau meriwayatkan hadith dari guru dan menyampaikannya kepada orang lain. Ianya suatu ilmu yang sangat teliti dalam membincangkan ciri-ciri keahlian khususnya bagi orang yang ingin menyampaikan hadith secara riwayat.

Adapun perkembangan ilmu agama dari sudut Dirayah, maka ianya termasuklah penafsiran Al-Qur’an dan syarahan kepada hadith-hadith, begitu juga dengan Ijtihad dalam bidang syariat Islam dan berfatwa. Maka, bukan semua orang layak mengeluarkan fatwa yang merujuk terus kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah kerana kelayakan mereka belum diakui. Bukan semua orang layak berbicara tentang hukum apatah lagi mengeluarkan hukum, apatah lagi menyalahkan ijtihad ulama’ lain malah menuduh ijtihad ulama’ lain sebagai bid’ah.

Lihatlah betapa para sahabat r.a. yang lebih hampir dengan Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- dan lebih dekat dengan kefahaman tentang agama berbanding generasi sekarang, namun dalam masa yang sama, akhlak mereka sangat tinggi khususnya melibatkan ilmu agama.

Diriwayatkan dalam kitab Kasyaf Al-Qana’ (kitab rujukan Mazhab Hanbali):


Maksudnya: “Daripada Abdil Rahman bin Abi Laila berkata: “Aku sempat bertemu seratus dua puluh orang sahabat Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-. Maka, aku bertanya kepada salah seorang daripada mereka tentang suatu masalah agama, maka dia (sahabat tersebut) akan menolaknya kepada orang ini (menyuruh bertanya kepada sahabat yang lain) kemudian kepada orang ini, kemudian kepada orang ini sehinggalah persoalan tersebut sampai semula kepada sahabat yang pertama tadi”.

[Kasyaf Al-Qana’ Syarh Al-Iqna’ oleh Imam Al-Buhuti dalam kitab Al-Qadha’ wa Al-Futya pada Fasl Ahkam Tata’allaq bi Al-Futya]

Jadi, dalam tradisi keilmuan Islam dalam bidang agama, wujud suatu konsep ketelitian dalam mengukur kelayakan seseorang yang melibatkan diri dalam bidang “mengembangkan” atau “menyampaikan” ilmu agama dari sudut riwayah dan dirayah. Ini kerana, hanya ahli ilmu mempunyai disiplin dan kerangka ilmu agama yang lengkap untuk menilai kedudukan sesuatu sumber seperti hadith, samada ianya jelas daripada Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- atau tidak, samada lafaznya berbentuk jelas atau kesamaran maknanya, samada ianya diamalkan ataupun mansukh, samada bercanggah dengan dalil-dalil yang lebih kuat ataupun tidak dan sebagainya. Kemudian, mereka juga yang memiliki cara istinbath hukum daripada sesuatu sumber agama tersebut, dengan menilai dari sudut petunjuk nas itu samada berbentuk suruhan atau larangan, samada berbentuk suruhan yang jelas ataupun tidak jelas, samada berbentuk ketentuan hukum tersebut yang sementara ataupun kekal, samada ketentuan hukum itu berbentuk umum atau khusus dan sebagainya.

Maka, tanpa kefahaman dan cara beristinbath seperti yang disebutkan, mana mungkin seseorang itu menonjolkan diri dalam membahaskan hukum-hukum agama di khalayak umum tanpa merujuk kepada ijtihad para ulama’. Bahkan, mana mungkin pula dia sendiri menolak ijtihad para ulama’, mengkritik para ulama’ atau menuduh sesuatu ijtihad ulama’ itu suatu bid’ah dan sebagainya.

Perkembangan Ilmu-ilmu Agama Secara Riwayah dan Dirayah

Mungkin ada orang bertanya, kalau Al-Qur’an dan As-Sunnah itu jelas tempat untuk mendapatkannya, seperti dalam kitab-kitab atau mashaf, tetapi dari mana ingin mengambil manhaj sahih dalam memahami kedua-duanya?

Sebenarnya, dalam sejarah tradisi keilmuan Islam, kedua-duanya (sumber agama dan manhaj sahih dalam memahami nas) berkembang seiringan kerana Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- mewariskannya kepada para ulama’ dari kalangan para sahabat r.a. secara lengkap lalu para ulama’ dari kalangan para sahabat r.a. tersebut mewariskannya kepada para ulama’ dari kalangan tabi’in (ketika mereka sebagai para penuntut ilmu di majlis-majlis para ulama’ dari kalangan sahabat r.a.) dan begitulah seterusnya.

Setelah berlalunya masa, tercetusnya budaya pembukuan (At-Tadwin) ilmu-ilmu agama yang pesat dalam masyarakat Islam lalu para ulama’ menghimpunkan sumber ilmu agama iaitu Al-Qur’an (pada zaman Saidina Abu Bakar r.a. dan Saidina Umar r.a.) dan kemudian hadith-hadith Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- oleh para Muhaddithin (ulama’ hadith).

Ketika perkembangan “ilmu-ilmu” berkaitan sumber agama mula pesat dalam masyarakat Islam, para ulama’ banyak membahaskan tentang hukum-hakam yang diambil daripada rujukan kedua-dua sumber tersebut (Al-Qur’an dan As-Sunnah). Ilmu yang membahaskan tentang hukum-hakam tersebut kemudian dipanggil sebagai ilmu fiqh (kefahaman terhadap nas). Begitu juga perbahasan-perbahasan dalam memahami makna-makna umum Al-Qur’an lalu dikenali sebagai ilmu tafsir (penjelasan terhadap ayat-ayat Al-Qur’an).

Namun, dalam perkembangan itu juga, muncul golongan-golongan yang salah faham terhadap nas-nas Al-Qur’an dan As-Sunnah lalu melahirkan pendapat-pendapat yang sesat atau salah dalam bidang aqidah mahupun fiqh. Ini kerana, mereka juga ingin melakukan sepertimana para ulama’ muktabar lakukan iaitulah menggali dan mengkaji ilmu-ilmu yang terdapat dalam sumber agama iaitulah Al-Qur’an dan As-Sunnah, namun tanpa “manhaj sahih” (ilmu-ilmu alat) dalam berinteraksi dan memahami kedua-duanya lalu membawa kepada “salah faham” terhadap nas-nas. Kebanyakan mereka tidak menguasai ilmu bahasa Arab dengan baik, tidak menguasai uslub bahasa Al-Qur’an dan Hadith dan tidak menguasai alat-alat berijtihad yang lengkap. Faktor-faktor berikutlah antara sebab membawa mereka kepada kefahaman yang salah terhadap nas-nas Islam.

Maka, kita dapat simpulkan juga bahawa, kekurangan golongan yang sesat tersebut adalah kerana tidak mewarisi “manhaj sahih” dalam memahami nas-nas Al-Qur’an dan As-Sunnah. Mereka hanya berpandukan sumber agama tanpa manhaj sahih dalam berinteraksi dengan sumber tersebut (Al-Qur’an dan As-Sunnah).

Mereka yang tidak memiliki “manhaj memahami nas yang sahih” selalunya disebabkan mereka tidak berguru dengan para ulama’ yang telah mewarisi “manhaj sahih” tersebut dari para ulama’ yang memilikinya sebelum mereka, di samping tidak mewarisi sumber agama daripada para ulama’ sebelum mereka sehinggalah silsilah warisan kedua-duanya tersebut berakhir kepada Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-. Silsilah pewarisan ilmu (Sanad Al-Ilm) ini diperolehi daripada tradisi pembelajaran ilmu agama yang asal iaitulah konsep bertalaqqi iaitu, seseorang murid berguru dan menuntut ilmu dengan ulama’ yang mempunyai sanad Al-Ilm bersambung sampai kepada Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-. Silsilah pewarisan ilmu (Sanad Ilmu) ini sangat penting dalam kaedah pewarisan ilmu agama agar secara sempurna.

Dengan kemunculan kelompok-kelompok sesat dalam fiqh terutamanya, seperti khawarij yang mengkafirkan orang-orang yang berdosa besar, golongan Zahiriyyah yang terlalu berpegang dengan nas-nas secara literal dan sebagainya, maka para ulama’ muktabar mula menyusun kitab-kitab yang membahaskan “manhaj sahih” dalam memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah pula setelah mana kitab-kitab yang menghimpunkan Al-Qur’an dan As-Sunnah sudah tersebar meluas.

Antara para ulama’ yang terawal menyusun kitab yang membahaskan tentang “manhaj sahih” dalam memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah dalam bidang fiqh adalah Imamuna Muhammad bin Idris As-Syafi’e r.ah. (150-204 H). Beliau menyusun kitab bertajuk Ar-Risalah yang dianggap sebagai kitab terawal membahaskan ilmu Manhaj Sahih dalam berijtihad secara lengkap. Akhirnya, ilmu yang membahaskan tentang “manhaj sahih” ini dikenali sebagai ilmu Usul Fiqh di sisi para ulama’.

Ilmu Usul Fiqh (Asas-asas Kefahaman Nas) adalah suatu ilmu yang membantu para fuqaha’ untuk berijtihad dalam masalah-masalah fiqh dengan merujuk kepada sumber-sumber agama samada yang disepakati seperti Al-Qur’an, As-Sunnah, Al-Ijma’ (kesepakatan seluruh ulama’ di suatu zaman) dan Qiyas (perbandingan) ataupun sumber-sumber yang diperselisihkan.

Walaupun ilmu Usul Fiqh merupakan ilmu mengenai manhaj sahih dalam berinteraksi dengan nas-nas Al-Qur’an dan As-Sunnah dalam bidang syariat Islam, namun ianya juga tidak terlepas daripada perbezaan pendapat namun tidak melibatkan perbezaan yang ketara dalam sesama para ulama’ yang muktabar sehingga menyalahi kerangka umum Usul Fiqh golongan As-Sawad Al-A’zhom (berdasarkan kesepakatan hujah Al-Qur’an, As-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas). Ini kembali kepada keluasan gaya bahasa Al-Qur’an dan As-Sunnah yang sebahagiannya Zhanni Ad-Dilalah (tidak muktamad maknanya) sehingga membawa kepada ijtihad yang berbeza-beza.

Maka, para fuqaha’ (ulama’ fiqh) yang memadukan ilmu fiqh (kefahaman hukum daripada sumber agama) dan usul fiqh (manhaj sahih dalam berinteraksi dengan sumber hukum) terus diikuti oleh generasi ulama’ setelah mereka lalu para murid tersebut (yang setelah itu menjadi ulama’) menisbahkan fiqh dan usul fiqh (begitu juga qawa’id fiqhiyyah dan dhowabit syar’iyyah) kepada guru mereka yang awal kemudian dinamakan ia sebagai mazhab dalam fiqh.

Kesimpulan daripada itu, dapatlah kita fahami bahawasanya, mazhab dalam bidang syariah itu adalah dua perkara iaitu:

Al-Aqwal (perkataan-perkataan/ijtihad ulama’ yang menjelaskan hukum-hakam)
Al-Usul (manhaj sahih dalam berinteraksi dengan nas-nas)

Dari sini kita fahami mengapa Imam As-Syafi’e dikatakan mempunyai dua bentuk himpunan ijtihad beliau iaitu Al-Qaul Al-Qadim ketika di Iraq dan Al-Qaul Al-Jadid ketika di Mesir. Ia adalah natijah daripada perkembangan asas-asas (usul) dan manhaj ijtihad (mengeluarkan fatwa dalam hukum-hakam) di sisi Imam As-Syafi’e itu sendiri.

Maka, antara mazhab dalam bidang fiqh (Mazahib Fiqhiyyah) yang mendapat penerimaan ulama’ Islam (Talaqqathu Al-Ummah bi Al-Qabul) yang muktabar (yang mewarisi ilmu agama secara sahih melalui sanad perguruan dan pengajian yang jelas) adalah mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’e dan Hanbali. Kemunculan mazhab dalam bidang fiqh seolah-olah suatu ‘manhaj pembasmian’ dan pengekangan terhadap fatwa-fatwa sesat dalam bidang tersebut, yang tidak mengikut kerangka dan manhaj sebenar dalam berijtihad. Golongan Zahiriyyah dan Syiah misalnya mendapat tentangan hebat sehingga menyukarkan perkembangan mereka, hasil tersusunnya ilmu fiqh dan usul fiqh secara ilmiah dan sistematik tersebut.

Dari sudut aqidah pula, krisis salah faham terhadap sumber agama (nas-nas Al-Qur’an dan As-Sunnah) juga berlaku sehingga melahirkan kelompok-kelompok yang sesat. Bahkan, krisis salah faham terhadap nas yang melibatkan sudut aqidah sebenarnya lebih parah berbanding sudut fiqh yang hanya bersifat furu’. Namun, kemunculan ‘manhaj pembasmian’ salah faham dalam bidang aqidah agak lambat berbanding ‘manhaj pembasmian’ salah faham dalam bidang fiqh kerana ilmu fiqh dan usulnya telah disusun terlebih dahulu secara sempurna dari sudut manhaj dan sumbernya dalam bentuk tulisan (pembukuan) berbanding bidang aqidah, berdasarkan keperluan semasa.

Malah, kecenderungan para ulama’ yang banyak melibatkan diri dalam menjaga perkembangan ilmu sumber agama (Al-Qur’an dan As-Sunnah) untuk bersikap menjauhi perbahasan-perbahasan aqidah secara mendalam sedikit-sebanyak membuatkan “manhaj pembasmian” salah faham dalam bidang aqidah muncul lewat berbanding manhaj pembasmian salah faham dari sudut fiqh. Sebabnya antara lain adalah kerana perbahasan aqidah banyak berkait rapat dengan sifat-sifat ketuhanan yang merupakan suatu perbahasan tentang perkara-perkara ghaib yang tidak terjangkau oleh akal manusia. Maka, para ulama’ bersikap menjauhi perbahasan-perbahasan yang kesamaran tersebut malah menggalakkan bahkan mewajibkan masyarakat awam Islam agar menjauhi perbahasan-perbahasan tentang sifat-sifat ketuhanan tersebut.

Oleh sebab itulah, para ulama’ salaf pada ketika itu terlalu kuat mengkritik Ilmu Al-Kalam atau perbahasan-perbahasan mendalam dalam bidang aqidah kerana Al-Kalam (ilmu Kalam) pada ketika itu dikuasai dan dipelopori oleh golongan Mu’tazilah.

Namun, golongan-golongan yang sesat dalam aqidah mengambil kesempatan daripada sikap wara’ para ulama’dalam membahaskan isu aqidah secara meluas, dengan menyebarkan kesesatan mereka secara semaksimum mungkin. Ini menimbulkan kegusaran kepada salah seorang ulama’ agung iaitulah Imam Abu Al-Hasan Al-Asy’ari As-Syafi’e yang pada awalnya mengikut dengan fahaman Mu’tazilah. Setelah mendapati kesesatan Mu’tazilah dan menyedari bahayanya “salah faham” dalam bidang aqidah, maka beliau juga menyusun “manhaj sahih” dalam berinteraksi dengan sumber agama (nas-nas Al-Qur’an dan As-Sunnah) dalam bidang aqidah. Kitab beliau yang menghimpunkan manhajnya secara muktamad adalah dalam kitab Al-Luma’ sebagaimana yang disebut oleh Imam Al-Kauthari r.a..

Di tempat yang lain juga muncul seorang tokoh yang hampir sama peranannya dengan Imam Al-Asy’ari iaitulah Imam Abu Manshur Al-Maturidi Al-Hanafi yang menyusun kitab ‘At-Tauhid’ dalam membahaskan juga “manhaj sahih” dalam berinteraksi dengan sumber agama dalam bidang aqidah. Dari segi perbahasan manhajnya, kitab At-Tauhid boleh dinilai sebagai kitab pertama Usul Aqidah (asas-asas aqidah) yang tersusun dengan lebih baik berbanding kitab Al-Luma’ karangan Imam Al-Asy’ari r.ah. yang mana di dalam perbahasannya masih dianggap serba ringkas (tidak berbentuk Manhajiyyah [tersusun dan sistematik] sepenuhnya).

Ilmu yang mereka susun akhirnya dikenali sebagai Usul Ad-Din (atau Usul Al-Fiqh Al-Akbar) kerana telah memadukan (menggabungkan) antara perbahasan kefahaman sahih dalam aqidah Islam dan “manhaj sahih” dalam berinterksi dengan nas-nas Islam dalam masalah aqidah. Ilmu Usul Ad-Din ini juga dikenali secara lebih spesifik sebagai ilmu tauhid atau ilmu kalam (bukan ilmu kalam mazmum [tercela] yang dikembangkan oleh Mu’tazilah sepertimana yang difahami oleh orang-orang jahil).

Lalu, para murid kepada kedua-dua imam tersebut (yang setelah itu menjadi para ulama’) yang berpegang dengan kefahaman aqidah Islam sahih dan “manhaj sahih” dalam memahami nas-nas Islam pada bab aqidah yang disusun oleh kedua-duanya menamakannya sebagai mazhab juga tetapi dalam bidang aqidah.

Sebagaimana mazhab dalam fiqh, mazhab dalam bidang aqidah juga mengandungi dua struktur utama iaitu:

Al-Aqwal: Perkataan ulama’ dalam memahami nas dalam masalah aqidah
Al-Usul: Manhaj Sahih dalam memahami nas dalam masalah aqidah

Kedua-dua mazhab tersebut akhirnya mendapat penerimaan para ulama’ muktabar sepanjang zaman sehinggalah zaman sekarang. Maka kedua-dua mazhab tersebut (Al-Asya’irah yang dinisbahkan kepada Imam Al-Asy’ari dan Al-Maturidiyyah yang dinisbahkan kepada Imam Al-Maturidi) dikenali sebagai Ahlus-Sunnah wal Jamaah dalam melawan golongan-golongan sesat dalam aqidah termasuk Mu’tazilah, Mujassimah dan Syiah. Kedua-dua golongan ini juga mencapai tahap At-Talaqqi bi Al-Qabul (mendapat penerimaan majoriti ulama’ yang muktabar) sebagaimana empat mazhab dalam bidang fiqh.

Maka, pada kemuncak ini, mazhab Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah dikenali sebagai Ahlus-Sunnah wal Jamaah yang menggunakan perbahasan-perbahasan secara naqli dan aqli dalam membendung fahaman-fahaman sesat yang lain. Manhaj perbahasan ini biarpun dikenali oleh sesetengah pihak sebagai Ilmu Kalam, tetapi bukanlah Ilmu Kalam versi Mu’tazilah yang dicela oleh para ulama’ salaf, tetapi Ilmu Kalam yang menjadi wasilah bagi para ulama’ sunnah mengalahkan fahaman-fahaman sesat yang lain. Hal ini sudah dijelaskan sendiri oleh Imam Al-Asy’ari dalam ‘Risalah Istihsan Al-Khaudh fi Ilm Al-Kalam’ dan ‘Tabyiin Kazb Al-Muftari’ oleh Imam Ibn Asakir r.ah..

Kita boleh fahami makna Ilmu Kalam versi Sunni yang berbeza dengan Ilmu Kalam yang diamalkan oleh golongan Mu’tazilah melalui perkataan Sheikh Ibn Khaldun yang berkata:

“(Ilmu Kalam) ialah ilmu yang mengandungi hujah-hujah terhadap aqidah-aqidah yang dipercayai dengan bukti-bukti secara Aqliyyah (pembuktian secara logikal) dan menolak golongan bid’ah yang terpesong daripada aqidah salaf dan ahlus-sunnah”. [Muqaddimah Ibn Khaldun 225]

Ilmu Kalam dengan makna ini tidak pernah ditolak oleh para ulama’ muktabar khususnya jika ianya melibatkan penggunaan di sisi para ulama’ Islam itu sendiri, walaupun sebahagian ulama’ tidak menggalakkan golongan awam membahaskan aqidah secara ilmu kalam dengan terperinci sebagaimana yang ditulis dalam ‘Iljam Al-Awam’ oleh Hujjjatul Islam Imam Al-Ghazali r.ah. Ilmu Kalam dengan takrif yang disebut oleh Sheikh Ibn Khaldun itu pada hakikatnya sudah wujud pada zaman Salaf lagi di mana para ulama’ seperti Imam Abu Hanifah r.ah, Imam As-Syafi’e r.ah, Imam Ahmad r.ah dan sebagainya terlibat menolak golongan yang bid’ah dalam aqidah secara aqli (logikal).

Demikianlah sebagaimana disimpulkan oleh Imam Al-Baihaqi r.ah ketika berkata:

“Bagaimana (ilmu) Kalam versi Ahlus-Sunnah wal Jamaah suatu yag tercela di sisi Imam As-Syafi’e sedangkan beliau sendiri berdebat dengan orang yang berdebat dengannya (dengan kaedah tersebut)…” [Manaqib As-Syafi’e: 1/455]

Maka, antara mereka yang tidak selesa dengan perkembangan Ilmu Kalam versi Sunnah ini adalah golongan Mujassimah yang mana sebahagian mereka berselindung di sebalik mazhab Hanbali tetapi mengamalkan fahaman Tajsim. Mereka sering mengulang-ulang celaan ulama’ besar salaf terhadap Ilmu Kalam padahal sasaran ulama’ salaf terdahulu adalah kepada Ilmu Kalam versi Mu’tazilah, bukan kepada Ilmu Kalam versi Sunni.

Maka, sebab itulah sebahagian ulama’ Hanabilah yang faham dengan hakikat ini bercanggah dengan para Ghullat Hanabilah (pelampau hanabilah yang mujassimah) dalam terlalu mengkritik Ilmu Kalam.

Antaranya adalah perkataan Imam Al-Buhuti Al-Hanbali dalam kitabnya ‘Hasyiyah Al-Buhuti ‘Ala Al-‘Iqna’ [1/459]:

“Adapun perkataan [Imam Al-Hajawi]: ((Maka yang haram seperti ilmu kalam)) Maka, Imam Ibn Hamdan berkata dalam Adab Al-Mufti wa Al-Mustafti: Adapun ilmu Kalam yang tercela adalah ilmu Usuluddin yang mana jika ianya menggunakan akal semata-mata tanpa bergantung kepada naqli (Al-Qur’an dan As-Sunnah) yang mana ianya juga bercanggah dengan naqli yang jelas dan sahih. Jika ilmu kalam itu berkaitan dengan naqli semata-mata atau penggabungan antara naqli dengan aqli yang bersesuaian dengan naqli, maka ianya adalah asas agama itu sendiri dan jalan ahli sunnah wal jamaah.”

Maka, kesepakatan majoriti ulama’ Islam dalam berpegang kepada mazhab Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah menjadikan terbentuknya sebuah entiti pemikiran Islam dalam bidang aqidah yang kuat yang dikenali sebagai Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Oleh sebab itulah, Imam Tajuddin As-Subki berkata:

Para ulama’ Hanafiyyah, Syafi’iyyah, Malikiyyah dan sebahagian ulama’ Hanabilah yang mulia, alhamdulillah, dalam masalah aqidah, bersatu dalam pegangan Ahlus-Sunnah wal Jamaah yang beragama (beraqidah) kepada Allah s.w.t. dengan manhaj Sheikhus Sunnah Abu Al-Hasan Al-Asy’ari r.a., yang mana tiada siapa yang terpesong darinya melainkan segelintir pengikut Hanafiyyah dan Syafi’iyyah yang terbabit dengan ahli Muktazilah dan sebahagian Hanabilah yang terbabit dengan ahli Tajsim. [Mu’id An-Ni’am: 62]

Ini menunjukkan bahawasanya Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah mencapai tahap At-Talaqqi bi Al-Qabul dalam kalangan ulama’ Islam sepertimana empat mazhab dalam fiqh. Sepertimana golongan awam yang tidak mempunyai keupayaan menguasai bidang usul fiqh tidak perlu menguasainya, maka sebegitu juga mereka tidak perlu menguasai Usul Ad-Din atau perbahasan ilmu Kalam yang mendalam. Mereka cukup beriman dengan kesempurnaan Allah s.w.t. dan menafikan kekurangan daripadaNya secara ringkas dan mengetahui dalil tentang aqidah Islam yang murni (tentang kewujudan Allah) secara ringkas.

Selain dua ilmu usul (Usul Fiqh dan Usul Ad-Din/Ilmu Kalam) tersebut, ilmu-ilmu alat turut berkembang seperti ilmu bahasa Arab (Nahu, Sarf dan Balaghah), ilmu Qiraat, ilmu Mustolah Hadith, Ulum Al-Qur’an dan sebagainya yang berfungsi untuk “berkhidmat” kepada nas-nas Islam iaitulah Al-Qur’an dan As-Sunnah. Selain itu juga, muncul susunan ilmu yang menjelaskan tentang manhaj praktikal dalam melaksanakan Islam (terutamanya dari sudut akhlak dan kehambaan) yang dikenali sebagai Ilmu Tasawwuf.

ILMU TASAWUF

Mengenai ilmu tasawwuf sendiri, maka ianya juga antara ilmu yang berkembang sejak zaman As-Salaf As-Sholeh lagi. Pada awalnya, ilmu tasawwuf ini tidak disusun secara manhaj dalam dada-dada kitab kerana ilmu tasawwuf adalah ilmu akhlak yang mana konsep “Qudwah” adalah nadi bagi ilmu tersebut.

Maka, kebanyakan para ulama’ salaf ketika berguru dengan para ulama’, maka mereka mengambil contoh (qudwah) akhlak para ulama’ yang menjadi guru mereka. Ini kerana, para ulama’ yang menjadi guru-guru mereka juga mewarisi akhlak daripada generasi sahabat r.a. yang mana para sahabat r.a. mewarisi akhlak mulia daripada Saidina Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-, pemimpin akhlak yang terulung.

Jadi, tradisi pengajian ilmu agama yang diamalkan dalam ulama’ salaf lebih bersifat bersepadu antara ta’lim (pembelajaran) dan tarbiah (pendidikan) yang membangunkan sudut keilmuan dan ketaqwaan dalam diri para penuntut ilmu secara serentak.

Namun, setelah masyarakat Islam awam semakin jauh daripada mengamalkan kehidupan berakhlak, muncul para ulama’ yang menyeru ke arah mengamalkan akhlak mulia dan kehidupan zuhud. Antara ulama’ terkemuka dalam dakwah ini adalah Imam Hasan Al-Bashri r.a.. Kemudian muncul ulama’-ulama’ lain seperti Imam Al-Muhasibi, seterusnya Imam Abu Nasr At-Thusi dan Imam Al-Qusyairi r.ah.

Antara kitab-kitab terawal yang menyusun ilmu tasawwuf secara manhaj adalah kitab-kitab karangan Imam Al-Harith Al-Muhasibi (seperti kitab Ar-Ri’ayah li Huquq Allah) dan Imam At-Thusi (dengan kitabnya bertajuk Al-Luma’). Kemudian, perbahasan ilmu Tasawwuf dikemaskan oleh Imam Al-Qusyairi r.ah. (w: 465 H).

Jika kita dapati, tokoh-tokoh yang mengembangkan ilmu Tasawwuf secara manhaj ini juga tidak asing lagi dalam bidang ilmu Islam yang lain. Imam Hasan Al-Bashri r.a. misalnya terkenal dalam bidang tafsir dan fiqh. Imam Al-Muhasibi juga terkenal dalam bidang aqidah.

Setelah itu, muncul dua Mazhab utama dalam ilmu Tasawwuf iaitulah mazhab Imam Abu Al-Qasim Al-Junaid Al-Baghdadi di Baghdad dan Imam Abu Nasr At-Thusi di Naisabur. Bagaimanapun, Mazhab atau Madrasah Imam Junaid ini tidak berkembang dalam bentuk penulisan tetapi lebih dalam bentuk praktikal. Berbeza dengan Mazhab atau Madrasah Imam At-Thusi yang dikembangkan juga dalam bentuk penulisan dengan tulisan beliau sendiri berjudul Al-Luma’.

Kemudian, manhaj atau mazhab Imam At-Thusi ini dikembangkan oleh Imam Al-Qusyairi dalam kitab beliau Ar-Risalah Al-Qusyairiyyah dalam bentuk yang lebih tersusun. Madrasah ini lebih banyak menyumbang dalam bentuk Turath iaitu memperkayakan khazanah intelektual Islam melalui penulisan-penulisan. Kemuncak perkembangan khazanah intelektual Islam dalam bidang Tasawwuf adalah pada zaman Imam Al-Ghazali r.ah. yang akhirnya mencetuskan idea pembukaan madrasah tarbiah besar-besaran secara sistematik dari kalangan para ulama’ sufi setelah beliau. Karya Imam Al-Ghazali r.ah. yang sangat berperanan dalam mengubah corak ilmu tasawwuf adalah kitab Ihya’ Ulumiddin dan Minhaj Al-‘Abidin.

Adapun berkenaan Madrasah atau Mazhab Imam Al-Junaid, maka ianya melahirkan generasi-generasi yang mendatang dari sudut perlaksanaan terhadap ilmu Tasawwuf dalam bentuk Tarbiah Muridin (mendidik rohani para murid) dalam sebuah Madrasah kesufian yang praktikal. Sehinggakan, setelah itu, muncul para ulama’ sufi dari jalur Mazhab Imam Al-Junaid ini yang membuka Madrasah-madrasah Tarbiah Sufiyyah lalu dikenali sebagai Tariqah Sufiyyah seperti Tariqah Qadiriyyah, Tariqah Syazuliyyah dan sebagainya, hasil percambahan pemikiran mereka melalui penulisan Imam Al-Ghazali r.a. khususnya.

Maka, fahamlah kita dalam tiga bidang utama ilmu agama (ilmu aqidah, fiqh dan tasawwuf), muncul manhaj-manhaj atau mazhab yang sangat berperanan dalam menjaga dan mengembangkan ilmu-ilmu agama tersbut di mana manhaj-manhaj tersebut berkembang di tangan para ulama’ kemudian yang mempertahankannya dan menyempurnakannya dari masa ke semasa.

Kepentingan Ulama’ dalam Tradisi Pewarisan Ilmu Islam

Kepesatan pembukuan (At-Tadwin) ilmu-ilmu agama samada dari sudut sumber agama (Mashdar Ad-Din atau Nusus), manhaj sahih dalam memahami sumber agama (Manhaj At-Tafahhum As-Sahih li Al-Mashdar) atau ajaran-ajarannya (aqidah, fiqh mahupun akhlak) bukan bererti tradisi asas pewarisan ilmu agama boleh ditinggalkan. Ini kerana, ilmu agama itu dibawa oleh ahlinya pada setiap zaman. Hal ini perlu difahami oleh para penuntut ilmu agama khususnya dan masyarakat awam amnya.

Konsep belajar (At-Ta’allum) dengan para ulama’ atau At-Talaqqi adalah suatu konsep yang sangat penting kerana ilmu agama itu tidak dipelajari daripada buku-buku atau helaian lembaran secara asasnya, tetapi perlu diambil daripada ahli ilmu itu sendiri. Hal ini ditegaskan sendiri dalam Al-Qur’an yang bermaksud:

“…Bertanyalah kepada Ahl Az-Zikr jika kamu tidak mengetahui” (Surah An-Nahl: 43)

Ayat ini menunjukkan pengkhususan Ahl-Zikr iaitulah para ulama’ dalam memberi penerangan kepada mereka yang tidak tahu. Oleh kerana itulah, Allah s.w.t. menyuruh orang yang tidak tahu (jahil atau awam), bertanya tentang sesuatu termasuklah tentang tafsiran Al-Qur’an yang sahih kepada para ulama’, bukan kepada sesama orang awam atau sesama orang jahil. Kalau semua orang boleh berbicara tentang agama dan semua orang boleh menafsirkan Al-Qur’an ikut akal mereka, maka tidak perlulah seruan untuk bertanya kepada Ahl-Zikr ini bagi orang yang tidak tahu tentang ajaran Islam. Cukup bagi seseorang, dengan akalnya, menafsirkan Al-Qur’an untuk mengetahui ajaran Islam.

Proses mewarisi ilmu Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- secara sempurna adalah melalui kaedah menuntut ilmu (Tholab Al-‘Ilm) daripada para ulama’. Maka, konsep asas menuntut ilmu dalam Islam adalah berguru dengan para ulama’ yang juga telah berguru dengan para ulama’ sebelum mereka yang mana para ulama’ sebelum mereka tersebut juga telah berguru dengan para ulama’ sebelum mereka sehinggalah ‘silsilah ilmu/berguru’ itu kembali kepada para sahabat r.a. yang berguru dengan Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-. Ini suatu manhaj yang sangat penting dalam Islam dan ianya dikenali dengan silsilah perguruan (sanad At-Talaqqi) atau sanad keilmuan.

Maka, kesimpulannya, konsep pembelajaran dalam bidang agama sebagaimana disebutkan oleh Sheikhna (guru kami) Shohib As-Samahah Al-Mufti Dr. Ali Jum’ah: “At-Ta’allum (proses pembelajaran) dengan At-Talaqqi (bertemu dengan guru dan mengambil ilmu daripadanya) dan At-Ta’lim (proses pengajaran) dengan At-Talqin (guru menyampaikan ilmu daripada mulutnya sendiri).

Kita lihat hadith-hadith yang menceritakan tentang proses pembelajaran dan pengajaran ini, maka kita dapati konsep belajar dan menuntut ilmu adalah dengan berguru, tidak boleh sekadar dengan membaca buku atau kitab semata-mata tanpa berguru dengan ulama’.

Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- sentiasa mengingatkan dengan sabda Baginda -Shollallahu ‘alaihi wasallam- yang bermaksud:

“Orang ‘Alim dan Muta’allim (penuntut ilmu) itu sama (berkongsi) dari sudut kebaikan.”

[hadith riwayat Imam Abu Umar An-Namri Al-Qurtubi dengan sanadnya dalam kitab Jami’e Bayan Al-Ilm wa Fahdlihi: 1/69-71]

Bahkan, Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- juga bersabda yang bermaksud:

“Jadilah orang yang berilmu (‘Alim), atau orang yang belajar, orang yang mencintai (ilmu, ‘alim dan muta’allim) atau orang yang mendengar (dalam majlis ilmu tersebut)”.

[hadith riwayat Imam Al-Baihaqi]

Lihat betapa Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- menggandingkan para penuntut ilmu dengan para ulama’ menunjukkan bahawasanya ilmu itu perlu dipelajari daripada para ulama’, bukan daripada buku dan lembaran yang merupakan bahan pelengkap dan bantuan pembelajaran semata-mata, bukan asas pembelajaran. Tanpa berguru dengan para ulama’ yang mempunyai silsilah perguruan yang bersambung dengan Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-, maka sudah pasti jalan mewarisi ilmu sudah terputus daripada Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-.

Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda lagi yang bermaksud:

“Sesungguhnya ilmu ini dengan belajar dan kefahaman itu dengan bertafaqquh (mendalami ilmu agama)…” [Hadith riwayat Al-Khatib dalam Al-Faqih wa Al-Mutafaqqih dengan sanadnya].

Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda lagi yang bermaksud:

“Wahai Tuhanku, rahmatilah para khalifahku”.

Kami (para sahabat) bertanya: “Siapa para khalifahmu?”.

Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- menjawab:

“Mereka adalah orang-orang yang meriwayatkan hadith-hadithku dan sunnahku lalu mengajarkannya kepada manusia…” [hadith riwayat Imam At-Tabrani]

Hadith ini menceritakan konsep riwayah dalam hadith perlu mempunyai silsilah dan sesiapa yang mengajarkan hadith juga perlu kepada silsilah riwayat hadith tersebut. Hadith ini juga menunjukkan kepentingan belajar dengan khulafa’ atau wakil-wakil Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- yang meriwayatkan hadith tersebut.

Para ulama’ adalah pewaris para Nabi . Maka, untuk mewarisi ilmu mereka perlulah mengambilnya daripada para ulama’, bukan sekadar daripada buku-buku. Sheikh Ibn Jama’ah berkata:

“Sebesar-besar musibah adalah dengan bergurukan sahifah (lembaran-lembaran atau buku)”

[Ibn Al-Jama’ah: 87 dan dinukilkan dalam Muqoddimah Syarh Al-Maqawif 1/90]

Imam Malik r.a. berkata:

???? ?? ???? ???? ?????? ?? ??????? ?? ?? ?????

Maksudnya: “Hendaklah seseorang penuntut itu hafazannya (matan hadith dan ilmu) daripada ulama, bukan daripada Suhuf (lembaran)”. [Al-Kifayah oleh Imam Al-Khatib m/s 108]

Diriwayatkan bahawasanya Mus’ab bin Az-Zubair berkata:

“…Jika kamu ingin mengambil Adab (Ilmu), maka ambillah daripada mulut para tokoh (ulama’)…” [Muhadarat Al-Abrar: 3]

Imam As-Syafi’e r.ah. juga berkata:

Sesiapa yang bertafaqquh (cuba memahami agama) melalui isi kandungan buku-buku, maka dia akan mensia-siakan hukum (kefahaman sebenar)”. [Tazkirah As-Sami’e: 87]



Al-Musnid Al-Muhaddith Imam Abdul Hay bin Abdil Kabir Al-Kattani r.ah. berkata:

Imam Abu Salim Al-‘Iyashi berkata di awal kitab Masalik Al-Hidayah fi Ahl Haza Sya’n: “Masa sunyi daripada mereka dan tempat-tempat kosong daripada mereka (ahli hadith dan perawi hadith dengan sanad). Maka, manusia mengambil orang-orang jahil sebagai pemimpin (dalam agama) lalu mereka (orang-orang jahil) berfatwa tanpa ilmu sewenang-wenangnya dan mereka (orang-orang jahil tersebut) mengambil ilmu (agama) daripada lembaran-lembaran (kitab) secara bertaqlid (tanpa manhaj sahih) sehingga orang yang mementingkan riwayat (secara bersanad: iaitulah para ulama’ muktabar pada zaman itu) dianggap bodoh di sisi mereka.” [Fihras Al-Faharis 1/56]

Sheikhna Shohib As-Samahah Al-Mufti Dr. Ali Jum’ah berkata:

“Musibah yang paling besar adalah, seseorang menonjolkan diri untuk mengajar ilmu agama sebelum melalui proses pembelajaran dengan sempurna”.

Tradisi Pengajian Ilmu Agama dalam Amalan As-Salaf As-Sholeh

Generasi As-Salaf As-Sholeh adalah contoh terbaik dalam urusan agama. Maka, kita sewajarnya merujuk tradisi golongan As-Salaf As-Sholeh dalam budaya Ta’lim Dini (pengajian agama) mereka. Dalam lembaran sejarah, kita dapati budaya menuntut ilmu daripada para ulama’ muktabar sangat diamalkan secara meluas.

Kita ambil satu contoh yang menujukkan kepentingan hubungan silsilah ilmiah (sanad keilmuan) dalam tradisi As-Salaf As-Sholeh. Imamuna Al-Mujtahid Muhammad bin Idris As-Syafi’e r.ah. misalnya, betapa beliau mempunyai latar belakang pendidikan agama yang sangat meyakinkan.

Antara guru-guru beliau dalam kalangan ulama’ adalah:

Makkah:

Sheikhu Ahl Makkah Imam Isma’il bin Qastanthin r.ah.
Imam Ahl Al-Hadith Imam Sufiyan bin ‘Uyainah r.ah.
Faqih Makkah Imam Muslim bin Khalid Al-Khazanji r.ah.
Imam Sa’id bin Salim Al-Qaddah r.ah.
Imam Daud bin Abdil Rahman Al-‘Atthar r.ah.

Madinah:

Sheikhul Muhaddithin Imam Malik bin Anas r.ah.
Imam Ibrahim bin Sa’ad Al-Anshari r.ah.
Imam Abdullah bin Nafi’e r.ah.

Baghdad:

Imam Muhammad bin Al-Hasan r.ah. (murid kepada Imam Abu Hanifah r.a.. Ini sanad ilmu Imam As-Syafi’e kepada Imam Abu Hanifah r.ah.)
Imam Waqi’e bin Al-Jarrah r.ah.
Imam Abdul Wahab bin Abdul Majid At-Thaqafi r.ah.
Imam Abu Usamah Hammad bin Usamah Al-Kufi r.ah.
Imam Isma’il ibn ‘Aliyyah r.ah.

Kita dapat lihat betapa tradisi amalan As-Salaf As-Sholeh dalam sistem pengajian ilmu agama sangat meyakinkan kerana mereka mengambil ilmu daripada para ulama’ dan banyak bermusafir untuk menuntut ilmu daripada para ulama’ yang terkenal di zaman mereka. Ini menjadikan mereka (sebagai contoh Imam As-Syafi’e r.ah.) mempunyai sanad ilmu yang bersambung kepada Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- melalui banyak jalan (thuruq).

Ketika Imam As-Syafi’e masih di Makkah lagi, di waktu usianya masih belasan tahun (kurang tiga belas tahun), beliau sudah menghafal kitab Al-Muwattha’. Namun, ianya tidak dijadikan sebab untuk beliau berbicara mengenai agama di khalayak awam apatah lagi mengeluarkan fatwa pada ketika itu, namun sebaliknya beliau bermusafir ke Madinah untuk bertalaqqi kitab Al-Muwattha’ daripada Imam Malik sendiri, kerana ingin mengambil Manhaj At-Tafahhum As-Sahih bagi hadith-hadith yang dinukilkan dalam kitab Al-Muwattha’ tersebut daripada Imam Malik r.a. sendiri, walaupun matan-matannya sudahpun dihafal oleh beliau.

Maka, apa yag jelas, dengan menghafal nas-nas bukanlah menyebabkan seseorang itu Faqih, tetapi perlu juga mempunyai manhaj interaksi yang sahih terhadap nas-nas tersebut dan mengambil syarah (penjelasan) yang sahih terhadap nas-nas daripada para ulama’ muktabar. Kalau sekadar mengetahui nas-nas tanpa mengetahui manhaj, maka yang tinggal hanyalah maklumat, bukan ilmu. Kalau hanya menyimpan maklumat tanpa memahami Manhaj Sahih boleh dikatakan Faqih atau ‘Alim, maka komputer boleh dikatakan sebagai Sheikhul Fuqaha’ kerana mampu menyimpan banyak maklumat.

Suasana ini berbeza dengan keadaan sesetengah orang di zaman ini yang baru sahaja membaca beberapa buku-buku agama versi terjemahan, namun bersikap suka berfatwa dalam menyalahkan ijtihad dan fatwa ulama’-ulama’ besar lain. Itu suatu kepincangan dalam tradisi pengajian ilmu agama mengikut neraca amalan As-Salaf As-Sholeh bahkan As-Sawad Al-A’zhom.

Kepentingan Sanad Keilmuan (Sandaran Keilmuan) dalam Tradisi Pengajian Ilmu Agama

Pada asalnya, istilah sanad atau isnad hanya digunakan dalam bidang ilmu hadith (Mustolah Hadith) yang merujuk kepada hubungan antara perawi dengan perawi sebelumnya pada setiap peringkat yang berakhir kepada Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- iaitulah pada matan hadithnya (chain of narration).

Namun, jika kita merujuk kepada lafaz Sanad itu sendiri dari sudut bahasa, maka penggunaannya adalah sangat meluas. Dalam Lisan Al-Arab misalnya ada menyebut:

“Isnad dari sudut bahasa adalah kata terbitan bagi perbuatan “asnada” (iaitu menyandarkan) seperti dalam perkataan mereka: Saya sandarkan perkataan ini kepada si fulan. Iaitu, menyandarkan sandaran, bilamana ianya diangkatkan kepada yang berkata. Maka menyandarkan perkataan bererti mengangkatkan perkataan (mengembalikan perkataan kepada orang yang berkata dengan perkataan tersebut)”.

Maka, dalam tradisi keilmuan Islam, sandaran atau penyandaran kepada sesuatu (Isnad) bukan sahaja terbatas kepada bidang hadith semata-mata, kerana wujud juga tradisi sandaran ilmu (Sanad Ilm) dalam tradisi pengajian Islam (At-Ta’lim Ad-Dini) secara lebih luas yang berkembang dalam tradisi menuntut ilmu.

Al-Muhaddith Sheikh Muhammad Mahfuz bin Abdillah At-Tarmasi r.ah. berkata:

“Kesimpulannya, Isnad –sepertimana yang disebut oleh Imam An-Nawawi- antara kepentingan yang sangat dituntut bagi seorang Mu’allim Al-‘Ilm (pengajar ilmu agama) dan Thalib (penuntut ilmu agama) mengetahuinya dan dicela bagi kedua-duanya (samada pengajar atau pelajar) yang jahil mengenainya (sanad keilmuan tersebut). Sesungguhnya, Syuyukh (para guru) seseorang manusia itu adalah bapa-bapa mereka dalam agama dan penghubung (keilmuan) antaranya dengan Tuhan semesta alam…” [Muqoddimah Kifayah Al-Mustafid]

Institusi ulama’ Islam merupakan suatu institusi yang terpelihara dengan manhaj (metodologi) pewarisan ilmu Nabawi yang sempurna. Ianya terbentuk sejak dalam tradisi pengajian ilmu agama yang asal di mana seseorang penuntut ilmu yang ingin mencari atau menuntut ilmu agama perlulah melihat terlebih dahulu keahlian guru yang menjadi tempat dia ingin mengambil ilmu daripadanya.

Oleh kerana itulah, Saidina Ibn Abbas r.a. pernah berkata

“…kami tidak akan meriwayatkan hadith melainkan daripada orang yang kami kenal sahaja” [rujuk Muqoddimah Sahih Muslim]

Lihatlah betapa Saidina Ibn Abbas r.a. sendiri yang merupakan seorang ulama’ agung dalam kalangan para sahabat r.a., meneliti orang yang ingin menyampaikan hadith kepadanya. Maka, meneliti perawi hadith (secara riwayah) kepada kita sahaja adalah suatu keperluan (sebagaimana dalam konsep At-Tahammul wa Al-Ada’ dalam Ulum Hadith), bagaimana pula untuk mengambil kefahaman daripada hadith dan Al-Qur’an, maka ianya lebih mustahak berbanding meneliti perawi hadith semata-mata (secara riwayah).

Saidina Ibn Umar r.a. turut berkata:

“Ilmu itu adalah agama dan solat itu adalah agama. Maka, lihatlah dari mana kamu mengambil ilmu ini dan bagaimana kamu solat dengan solat ini kerana kamu akan dipertanyakan di hari Akhirat” [riwayat Imam Ad-Dailami]

Ibn Abi Hatim Al-Razi meriwayatkan dengan sanadnya kepada Abdullah bin ‘Aun bahawasanya beliau berkata:

“Tidak boleh diambil ilmu ini (riwayah mahupun dirayah) melainkan daripada orang yang telah diakui pernah menuntut sebelum itu (pernah meriwayatkan ilmu dari gurunya secara bersanad juga)”. [Al-Jarh Wa At-Ta'dil 1/ 28 dan Al-Muhaddith Al-Fashil: 415]

Imam Abdullah bin ‘Aun r.a. pernah berkata juga:

“Kami tidak menulis hadith melainkan daripada seseorang yang di sisi kami terkenal dengan Tholab (yang pernah belajar hadith dari guru dan mempunyai sanad hadith)”. [Al-Muhaddith Al-Fashil: 405]

Al-Qadhi Imam Ibn Al-Arabi Al-Maliki berkata:

“Para salaf sentiasa memuji sesama mereka dan mewarisi pujian tersebut kepada generasi kemudian daripada generasi terdahulu. Maka, para ulama’ kami tidak mengambil ilmu melainkan daripada seseorang (ulama’) yang dipuji dan mengambil ijazah (izin riwayat dan mengajar) daripada guru-gurunya”.

Imam Badruddin ibn Jama’ah menyimpulkan hal ini dengan berkata:

“Hendaklah seseorang penuntut ilmu itu berusaha mendapatkan Sheikh yang mana dia seorang yang menguasai ilmu-ilmu Syariah secara sempurna, yang mana dia memiliki pengiktirafan daripada para sheikh di zamannya yang banyak mengkaji dan lama bersahabat dengan para ulama’, bukan berguru dengan orang yang mengambil ilmu hanya dari dada-dada kertas dan tidak pula bersahabat dengan para sheikh (ulama’) yang agung.” [Tazkirah As-Sami’ wa Al-Mutakallim 1/38]

Imam Thaur bin Yazid berkata:

?? ???? ????? ????

Maksudnya: “ Suhufi (orang yang berguru dengan kitab tanpa sanad ilmu kepada guru) tidak boleh berfatwa kepada manusia” [Al-Kifayah: 108]

Jadi, perkataan-perkataan para salaf dan para ulama’ tersebut menunjukkan kepentingan mengenali siapakah guru yang mengajar kita ilmu agama dan siapakah guru-guru beliau? Ini bagi menunjukkan kepentingan hubungan sanad ilmu secara bersambung kepada tradisi pewarisan Ilmu Nabawi ini. Keahlian seseorang dalam bidang ilmu agama itu dinilai melalui sanad keilmuannya atau senarai nama-nama guru yang pernah beliau belajar. Ini adalah perkara yang asas dalam keahlian seseorang ulama’.

Oleh sebab itulah, kita dapati sebahagian para ulama’ menulis kitab-kitab yang menjelaskan latar belakang pengajian mereka seperti Mu’jam As-Syuyukh (senarai para guru), Barnamij, Tobaqat, Asanid, Athbat dan sebagainya. Kitab-kitab jenis sebegini menghimpunkan nama-nama para guru mereka sebagai rujukan bagi para penuntut ilmu untuk mengambil ilmu daripada mereka.

Hal ini kerana para ulama’ Salaf melarang keras mereka yang terlibat mengajar ilmu-ilmu agama tanpa mempunyai latar belakang pendidikan agama daripada para ulama’ muktabar yang mana para ulama’ tersebut juga mempunyai latar belakang pendidikan agama yang jelas. Inilah yang dipanggil sebagai sanad keilmuan dalam bidang agama.

Antara keahlian seseorang ulama’ atau guru agama juga boleh dinilai daripada Ijazah yang mereka miliki daripada para guru mereka sebelum ini. Mereka yang mengajar ilmu agama tanpa Ijazah At-Tadris tidak sama penilaiannya dengan mereka yang mengajar ilmu agama dengan Ijazah At-Tadris (keizinan mengajar ilmu agama) walaupun kedua-dua golongan tersebut mempunyai latar belakang pendidikan agama yang jelas.

Para ulama’ sangat menekankan kepentingan Ijazah At-Tadris ini walaupun tidak sekuat kepentingan mempunyai latar belakang pendidikan agama yang jelas. Namun, Ijazah At-Tadris ini mempunyai nilai kesarjanaan dalam tradisi pewarisan ilmu agama. Apa yang dimaksudkan dengan Ijazah At-Tadris adalah seseorang Mu’allim itu adalah seperti beliau mendapat izin mengajar (Ijazah At-Tadris) daripada guru sebelumnya yang juga Ma’zun (mendapat izin mengajar) daripada guru sebelumnya sehingga bersambung silsilah Izin At-Tadris atau Tauliyyah itu kepada tradisi pembelajaran para ulama’ salaf sehinggalah bersambung kepada Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- menerusi para ulama’ dari kalangan para sahabat r.a..

Al-Ustaz Al-Zubair ada menyebut dalam Al-Mustalah At-Tarbawi fi At-Turath Al-‘Arabi:

???? ??????? ?? ???????? ???? ??? ??? ?????? ?????? ?????? ??? ???? ??? ??? ??? ???? ????? ?? ????? ????? ?????? ?????? ?? ???? ?? ????? ?? ???? ?? ??????.

Maksudnya:

Ijazah adalah suatu perkara yang sangat mustahak yang perlu bagi seorang alim itu mendapatkannya agar thabit bahawasanya dia sudah sampai ke darjat yang secukupnya dalam bidang ilmu yang melayakkannya untuk meriwayatkan ilmu atau mengajarkan ilmu yang telah dia pelajari atau ambilnya dari Sheikhnya atau ustaznya”.

Selalunya, izin mengajar (Ijazah At-Tadris) atau berfatwa (Izn At-Tashaddur lil Ifta’) yang dikurniakan oleh para ulama’ kepada muridnya seiringan dengan suruhan agar mereka (para murid) menggantikan majlis pengajian mereka ketika ketiadaan mereka (para ulama’) atau suruhan agar para murid menyebarkan kitab-kitab atau ilmu yang mereka pelajari ke tempat-tempat lain (Nasyr Al-Ilm wa Ad-Da’wah).

Selalunya, para murid yang mendapat Ijazah At-Tadris daripada para ulama’ muktabar akan menggantikan majlis pengajian para ulama’ tersebut atau menyebarkan ilmu agama ke tempat-tempat lain sebagaimana saranan daripada para ulama’ tersebut. Para murid tersebut yang setelah itu menjadi para ulama’ generasi baharu dikenali sebagai Al-Ashaab (atau para pewaris) kepada para ulama’ terdahulu sebelum mereka.

Tradisi Ijazah atau pengkhususan dalam bidang keilmuan agama ini secara asasnya telah diamalkan sendiri oleh Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- ketika mengkhususkan kepada beberapa orang sahabat r.a. dalam keahlian tertentu. Sebagai contoh, keahlian para sahabat r.a. dalam bidang Al-Qur’an. Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:

)) ???? ?????? ?? ????? ? ?? ??? ???? ??? ????? ? ????? ? ????? ? ???? ?? ??? ((

Maksudnya: “Ambillah Al-Qur’an dari empat orang. Iaitu, dari Abdillah ibn Mas’ud r.a., Saidina Salim r.a., Saidina Mu’az r.a. dan Saidina Ubai bin Ka’ab r.a.”. [hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

Ini menunjukkan tradisi menjelaskan keahlian seseorang dalam bidang ilmu agama adalah suatu tradisi yang diamalkan sendiri oleh Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-. Ini kerana, bukan semua orang menguasai sesuatu bidang ilmu agama secara sama rata kerana ada sebahagian mereka mungkin melebihi sebahagian yang lain, sepertimana Saidina Ibn Abbas r.a. sendiri mahir dalam bidang Tafsir walaupun tidak disebut dalam hadith tadi dari sudut periwayatan Al-Qur’an.

Antara contoh ringkas yang lain adalah, Imam Sufiyan bin Uyainah memberi ruang fatwa kepada murid beliau iaitulah Imam As-Syafi’e r.a. secara tidak langsung menunjukkan keahlian Imam As-Syafi’e diakui sendiri oleh gurunya Imam Ibn Uyainah.

Diriwayatkan bahawasanya, Imam Ibn Uyainah r.ah. ketika ditanya tentang sesuatu hukum atau tafsir maka beliau akan menoleh ke arah Imam As-Syafi’e lalu berkata: “tanyalah kepada dia (Imam As-Syafi’e)”. [Manaqib As-Syafi’e: 1/338]

Diriwayatkan juga bahawa Imam Muslim bin Khalid berkata kepada Imam As-Syafi’e r.ah.: “Berfatwalah wahai Aba Abdillah (As-Syafi’e), kerana sudah sampai masanya untuk kamu berfatwa”. [ibid]

Begitu juga perihal guru Imam As-Syafi’e r.a., iaitulah Imam Malik r.a.. Diriwayatkan bahawasanya, Imam Malik r.a. pernah berkata:

?? ????? ??? ??? ?? ????? ??? ??? ????

Maksudnya: “Aku tidak berfatwa melainkan setelah tujuh puluh ulama’ mengakui bahawa aku layak untuk berfatwa”. [Kasyaf Al-Qana’ oleh Imam Al-Buhuti: 6/299 dan Al-Majmu’ (1/73) oleh Imam An-Nawawi]

Kita boleh melihat dalam kitab-kitab Tabaqat di mana setiap para ulama’ yang agung pada zaman mereka mempunyai silsilah keilmuan atau mempunyai senarai para guru yang juga merupakan dari kalangan para ulama’ muktabar. Ini menunjukkan secara jelas konsep sanad (sandaran) menjangkau penggunaannya dalam bidang hadith semata-mata, namun ianya suatu intipati sistem pegajian ilmu agama dalam tradisi Islam itu sendiri. Cuma, ianya pada ketika itu tidak dikenali sebagai “Sanad” kerana penggunaan istilah tersebut diguna secara spesifik oleh golongan Muhaddithin (ahli hadith) dalam bidang hadith semata-mata sehinggalah ianya berkembang sebagai suatu istilah yang merujuk kepada hubungan keilmuan antara para ulama’ yang kemudian dengan para ulama’ terdahulu sebelum mereka.

Sebagai contoh lagi, kita melihat di mana seorang imam agung bernama Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali r.ah. Beliau mengajar ilmu-ilmu agama di Al-Madrasah An-Nizhamiyyah dengan menggantikan tempat guru beliau iaitulah Imamul Haramain Abu Al-Ma’ali Al-Juwaini r.ah., bahkan menduduki majlis pengajaran yang lebih tinggi iaitu di Al-Madrasah Al-Nizhamiyyah di Baghdad. Imamul Haramain sendiri memberi izin kepada Imam Al-Ghazali r.ah. (dan beberapa murid beliau yang lain) untuk mengajar dan menggantikan beliau.

Wednesday 28 March 2012

MENJUNJUNG RASUL SAW GAYA CHECHYA

bekas minum yang dikatakan diguna oleh Baginda saw

 Presiden Republik Chechnya, Ramazan Kadirov pada 22 September lalu telah memindahkan bekas minuman yang dikatakan pernah digunakan oleh Nabi SAW dari London ke Chechnya. Usia bekas minuman tersebut dikatakan sudah menjangkau 14 kurun yang menguatkan lagi dakwaan ini. Kadirov telah berusaha sedaya upaya memindahkan bekas minuman tersebut ke negaranya. Setibanya di lapangan terbang Grozny, ia telah disambut dengan meriah dan kemudian dibawa pula ke Masjid Besar Grozny dalam konvoi besar dengan diringi kereta-kereta mewah.




Presiden Ramazan Kadirov telah diringi oleh Haji Ahmad Kadirov pengerusi Majlis Ulama Chechnya dalam upacara yang diadakan secara penuh meriah itu. Turut dibawa ialah dua helai karpet yang pernah menutup makam Nabi SAW dalam tempoh yang agak lama. Menurut Kadirov, sejarah bekas minuman berkenaan asalnya berada dalam simpanan salah seorang keturunan Nabi SAW sehinggalah akhirnya setelah melalui tempoh yang panjang ia tersimpan di London.


Meskipun kesan-kesan peninggalan Nabi SAW ini ada yang benar dan ada yang palsu. Namun, di sini bukan menjadi persoalan utamanya, kerana itu adalah berdasarkan keyakinan pengetahuan dan kajian masing-masing. Tolak menolak pasti ada. Persoalannya, bagaimana kita melihat apa yang dilakukan oleh presiden, ulama dan rakyat Chechnya ini, adakah ia suatu bentuk penghormatan atau pemujaan? Jika kita katakan sebagai pemujaan yang melampau batas dan yang ditegah oleh syarak, maka kita telah melontar Presiden Chechnya, ulama dan rakyatnya yang merupakan pejuang-pejuang Islam Chechnya sebagai berfahaman salah atau sesat.





Ini adalah tidak adil dan tidak wajar. Mengapa? Kerana bersangka baik sesama muslim adalah wajib. Maka kita katakan, itu adalah suatu bentuk penghormatan terhadap Junjungan Nabi SAW. Hakikat sebenar bekas minuman yang dimuliakan itu ialah memuliakan kedudukan Nabi SAW yang pernah menggunakannya. Ia juga disebut sebagai tabarruk (mengambil keberkatan) dengan kesan peninggalan Nabi SAW. Apatah lagi amat banyak dalil sahih yang mengharuskannya, sama ada di dalam Sahih al-Bukhari dan lain-lainnya.




Kita juga dapat melihat dari suatu sudut lain, kehebatan dan kekuatan pejuang-pejuang Chechnya sebenarnya adalah terletak pada pegangan mereka yang kukuh dengan agama serta hubungan kecintaan mereka yang erat kepada Junjungan Nabi SAW. Jika kita sering menyaksikan bagaimana kesan-kesan peninggalan seorang artis/selebriti Barat contohnya disanjung tinggi dan menjadi rebutan, walaupun nilainya jutaan dollar. Lalu kita katakan si-pembelinya adalah peminat setia. Maka apakah tidak wajar untuk kita katakan bahawa Presiden Chechnya dan rakyat Chechnya ini juga adalah peminat setia Nabi SAW??




Umat Islam kini begitu jauh dari Nabinya. Janganlah dijauhkan lagi umat ini dari Nabinya. Sudah amat banyak usaha-usaha dilakukan untuk menjauhkan mereka daripada Nabi mereka. Sehingga umat ini hanyut dan tidak mengenal siapa Nabi mereka. Dicanangkan bahawa Nabi SAW sudah mati, maka matilah Nabi SAW di dalam hati-hati umatnya. Allah.. Allah..


Monday 26 March 2012

RENUNGLAH SEJENAK KEKERDILAN KITA...

Tinggalkan sebentar dulu memikir tentang dunia akhir zaman yang penuh huru-hara ini... tentang kemelut politik yang menjengkelkan...
tentang peperangan dan pembunuhan yang tak berkesudahan... tentang ketamakan dan kerakusan nafsu manusia...


tentang kebejatan akhlak dan moral manusia... tentang cuaca dunia dan bencana alam yang tidak menentu...


tentang pencemaran alam dan kemusnahan ozon... tentang ideologi dan teologi batil yang mendukacitakan... dan pelbagai lagi.
Fikirkanlah dulu sejenak tentang siapa kita dan apa nilai diri kita di alam fana ini. Apa tujuan hidup kita dan sejauhmana kedudukan kita di sisi Tuhan Semesta Alam ini...


Lihatlah betapa kecil dan kerdilnya kita...





Note: 1 light year is equal to exactly 9,460,730,472,580.8 km (about 9.5 trillion km) or 5,878,625,373,183.608 miles (about 6 trillion miles). 1 light second = 186,000 miles.


Perhatikan hadith Nabi SAW: 'Tidaklah langit yang tujuh dibandingkan dengan Kursi melainkan seperti sebentuk cincin yang tercampak di atas tanah padang yang luas. Dan kelebihan 'Arasy ke atas Kursi pula adalah seperti kelebihan padang yang luas ke atas sebentuk cincin'. (Sahih Ibn Hibban)






Allahu Akbar...


Para saintis Barat hanya percaya kejadian-kejadian Tuhan yang bersaiz gadang dan berskala mega ini setelah mengkaji dan menemuinya melalui kecanggihan teknologi sains pada masa kini.


Namun umat Islam sejak lebih 1400 tahun dahulu hanya percaya dengan semata-mata perkhabaran Nabi SAW sahaja serta membenarkannya dengan penuh keimanan. Mereka yakin dengan kekuasaan Allah Taala dan tiada apa yang mustahil bagi-Nya.


Misalnya dikhabarkan, penghuni syurga yang paling rendah tingkatannya, sekaligus yang terakhir sekali memasuki syurga (setelah diazab) adalah semisal raja yang paling hebat dari raja-raja di dunia, bahkan diberikan kepadanya syurga yang sebesar 10 kali ganda dunia ini. (Hadith Riwayat Muslim). Tentunya 10 kali ganda bumi itu adalah teramat kecil jika dibandingkan dengan simulasi alam semesta yang dipaparkan di atas.


Juga diceritakan tentang saiz malaikat Jibril AS yang memiliki 600 sayap dan setiap sayapnya pula adalah seluas antara Timur dan Barat. (Hadith Riwayat Ahmad). Malaikat juga mempunyai tahap kelajuan cahaya yang luar biasa. Tiada manusia yang diberi keistimewaan tersebut kecuali Nabi Muhammad SAW sehingga membolehkan baginda SAW merentasi 7 petala langit dalam masa sebahagian malam sahaja.


Demikian juga kepantasan Buraq, haiwan yang ditunggang oleh Nabi SAW dalam peristiwa Isra' amat cukup menakjubkan kerana ianya memiliki kelajuan sejauh mata memandang atau kelajuan supersonik.
Masih banyak lagi ukuran-ukuran yang berskala super ini sama ada dari segi saiz atau jarak yang dirakam dalam al-Quran dan juga hadith-hadith, seperti sepohon pokok di syurga yang jaraknya umpama seorang penunggang kuda yang gagah dan pantas cuba untuk merentasinya selama 100 tahun, namun masih tidak dapat sampai ke penghujungnya. (al-Bukhari dan Muslim)



Allahu Akbar...
Jelas bahawa kita hanyalah makhluk kerdil yang selalu ingkar dan angkuh, dan sering lupa.


Kembali dan insaflah.











ANALISIS PEMIKIRAN-bhg 1



Kesan Fahaman Jabariyyah: Halangan Kepada Cara Berfikir Masyarakat Melayu
Oleh: Khairul Nizam Mat Karim


Pendahuluan

Aliran Jabariyyah telah muncul pada akhir zaman pemerintahan Bani Umayyah dan juga merupakan salah satu aliran pemikiran yang terawal dalam sejarah pemikiran Islam. 

Walaupun arus penguasaan pemikirannya telah berlalu dan hanya menjadi tatapan mahupun rujukan masa kini, tetapi fahaman ini seakan-akan mempengaruhi corak berfikir segelintir masyarakat Melayu hari ini. Dilihat bahawa fahaman ini membawa kesan buruk kepada corak dan bentuk pemikiran masyarakat Melayu sehingga melemahkan bangsa Melayu untuk berkembang maju dan bersaing dalam era globalisasi atau dunia tanpa sempadan kini.

Satu artikal telah ditulis oleh Prof. Madya Dr. Wan Zailan Kamarudddin Wan Ali berkenaan perbahasan ini di bawah tajuk “ Aliran al-Mujbirah dan Kesan Pemikirannya di Malaysia. Dalam artikalnya beliau telah cuba menghurai perkembangan aliran ini dan menganalisa kesan-kesannya kepada dunia Islam dan juga kesannya di Malaysia. Tetapi beliau tidak menghuraikannya dengan terperinci terutama isu yang berkaitan dengan budaya masyarakat Melayu itu sendiri.

Maka dalam kertas kerja ini, fokus akan diberikan kepada menghuraikan bentuk budaya Masyarakat Melayu terutama dalam aspek cara berfikir yang mempunyai hubungkait dengan fahaman Jabariyyah. Di samping itu penulis juga akan menghuraikan secara ringkas bentuk pemikiran Jabariyyah yang dikatakan mempengaruhi pemikiran segelintir masyarakat Melayu kini, di samping melihat sejarah, tokoh dan apakah kaitan pemikiran Jabariyyah dengan pemikiran masyarakat Melayu. Di samping itu penulis akan cuba melihat idea yang cukup menarik untuk diteliti iaitu pembentukan Minda Melayu Baru dalam era globalisasi. Idea ini pada hakikatnnya mempunyai hubungkait yang rapat dengan penekanan aspek Pemikiran Kritis yang diusahakan oleh golongan akademik di negara kita terutama ingin melihat dari aspek Islam. Penulis juga akan cuba melihat beberapa kesan pengaruh pemikiran Jabariyyah dalam beberapa bidang sehingga menjadi halangan kepada perkembangan dan corak berfikir masyarakat Melayu untuk menjadi satu bangsa yang maju.

Walaupun tulisan ini terhad dengan batasan sebuah kertas kerja, namun ianya harus dilihat sebagai aspek penting dalam proses perkembangan pemikiran khususnya dalam masyarakat Melayu yang pada masa kini dilihat ketinggalan dalam banyak aspek. Tetapi harus diingat walaupun penekanan dan galakan diberikan dalam membudayakan pemikiran kritis mahupun kreatif, falsafah asas kehidupan(philosophical foundation) seperti konsep tauheed uluhiyyah, tauheed rububiyyah, khilafah, tazkiyyah an-nas dan al-falah harus dijadikan tunjang kepada perkembangannya agar tidak tersasar daripada cara berfikir yang dipaparkan di dalam Al-Quran.

ALIRAN JABARIYYAH: SATU ANALISIS KONSEPTUAL

1.1 Definisi

Aspek awal yang harus diperhalusi dalam perbincangan ini adalah aspek definasi. Melalui definasi perbincangan seterusnya akan lebih jelas dan mudah difahami. Aliran Jabariyyah, al-jabariyyah atau terdapat juga di dalam sumber lain disebut sebagai al-Mujbirah berasal daripada satu perkataan al-jabr, iaitu dari sudut bahasanya bermaksud “terpaksa” atau “tiada kehendak” dan “tiada kebebasan”. Dalam Lisān al-‘Arab memberi maksud kekuasaan Allah di atas ciptaanNya sama ada di atas apa yang dikehendaki daripada suruhan mahupun larangan . Di dalam istilah bahasa Inggeris ia disebut sebagai “fatalism” atau “predestination”. Di samping itu ia juga ada hubungkait dengan persoalan al-Qadr iaitu sesuatu ketetapan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T kepada sekelian ciptaannya termasuk manusia sejak awal penciptaannya.

Walaupun pada awal kemunculan, ia adalah sekadar fahaman yang mengemukakan bahawa manusia tidak mempunyai kuasa mahupun upaya dalam menentukan kehendak dan perbuatan. Ini bermaksud segala perbuatan adalah terpaksa atau terikat dengan kehendak mutlak Pencipta iaitu Allah S.W.T dan manusia tidak mempunyai sebarang ikhtiar ke atas dirinya . Kemunculan aliran ini juga adalah hasil daripada persoalan agama yang bekaitan dengan Aqīdah di samping perkembangannya dipengaruhi oleh sistem politik Islam iaitu aspek kepimpinan , Imamah atau Khilafah semasa pemerintahan Bani Umayyah. Manakala Harun Nasution di dalam buku beliau yang bertajuk Teologi Islam, Aliran-aliran Sejarah Analisa Perbandingan mengemukakan hujah yang menarik untuk dilihat bahawa fahaman Jabariyyah ini telah dianuti oleh masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam lagi.

Beliau menulis:

Bangsa Arab, yang pada waktu itu bersifat serba sederhana dan jauh dari pengetahuan, terpaksa menyesuaikan hidup mereka dengan suasana padang pasir, dengan panasnya yang terik serta tanah dan gunungnya yang gondol. Dalam dunia demikian, mereka tidak banyak melihat jalan untuk mengubah keadaan sekeliling mereka sesuai dengan keinginan mereka sendiri. Mereka merasa dirinya lemah dan tak berkuasa dalam menghadapi kesukaran-kesukaran hidup yang ditimbulkan suasana padang pasir. Dalam kehidupan sehari-hari mereka banyak tergantung pada kehendak natur. Hal ini membawa pada sikap fatalistis”

Di dalam kertas kerja ini penulis tidak akan membincangkan aspek sejarah terutama di sekitar sejarah Bani Umayyah, di mana munculnya aliran ini, tetapi perbincangan akan difokuskan kepada bentuk pemikiran atau fahaman yang dibawa oleh beberapa tokoh dalam aliran ini yang dilihat mempengaruhi cara berfikir masyarakat Melayu sebagaimana yang dijelaskan di dalam pendahuluan di atas.

1.2 Pengasas dan Pemikiran Jabariyyah

Di dalam bahagian ini akan dipaparkan tokoh-tokoh awal Jabariyyah serta dasar pemikiran yang dibawa. Walaupun pada hakikatnya setiap daripada peneraju aliran ini mempunyai beberapa dasar pemikiran yang popular yang diikuti oleh pengikutnya tetapi penulis akan memfokuskan hanya dasar pemikiran yang melibatkan persoalan berkaitan perbuatan manusia(af’al al- ‘ibat) dengan perbuatan Allah(af’al Allah). Ini adalah kerana atas dasar pemahaman inilah penulis melihat ianya mempengaruhi cara berfikir segelintir masyarakat Melayu di samping budaya yang didokongi oleh mereka.

1.2(a)Aliran Al-Jahmiyyah dan Pemikirannya

Aliran Jabariyyah telah mula dipaparkan di dalam sejarah teologi Islam ialah oleh Ja’d Ibn Dirham dan ia telah dikembangkan dengan hebatnya oleh Jahm bin Safwan al-Rasi. Seterusnya aliran ini digelar sebagai alilran al-Jahmiyyah bersempena dengan nama beliau. Aliran ini adalah sebuah aliran yang radikal dan ekstrem. Dalam aspek yang ingin dibincangkan dalam kertas kerja ini iaitu persoalan perbuatan manusia(afal al-ibat), bahawa manusia tidaklah mempunyai kebebasan, kehendak, kemampuan(al-istiţa’ah) mahupun daya usaha sendiri. Di samping itu manusia juga dikatakan tidak mempunyai ikhtiar atau pilihan. Maka segala apa yang dilakukakan oleh manusia adalah dipaksa(majbur) dengan tiada kemahuan dan pilihan baginya . Segala perilaku dalam sesuatu yang berlaku adalah telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Maka segala perilaku manusia itu hanyalah simbolik semata-mata atau kiasan seperti mana peredaran bumi, terbit dan terbenamnya matahari serta pasang dan surutnya air laut yang semua itu di dalam kawalan dan ketentuan Allah. Selain itu ia juga termasuk dalam melaksanakan kewajipan, menerima pahala dan dosa .

Dalam pernyataan yang lebih radikal sifatnya, mereka beranggapan bahawa kalau mereka mencuri maka Allah yang mencuri, kalau mereka sembahyang maka Allah yang sembahyang, kalau mereka berpuasa maka Allah yang berpuasa dan begitulah seterusnya. Sehinggakan terdapat segelintir daripada mereka mempunyai fahaman yang lebih dalam iaitu menyatukan dirinya dengan kewujudan Allah. Mereka berkata “wujudnya dan wujud Tuhan satu” . Ini juga adalah tergolong dalam golongan yang mempercayai konsep Wahdatul Wujud sebagaimana yang dibincangkan di dalam perbincangan Tasawwuf.

1.2(b) Aliran Al-Najjariyyah dan Pemikirannya.

Al-Husayn bin Muhammad al-Najjar adalah pelopor kepada kumpulan kedua dalam aliran al-Jabariyyah. Selain dipanggil sebagai al-Najjariyyah ia juga dikenali sebagai al-Husayniyyah sempena nama beliau. Syahrastani di dalam kitabnya al-Milal wa al-Nihal berpandangan bahawa aliran yang dibawa oleh al-Husyan ini adalah aliran yang pertengahan atau moderat sifatnya.

Mengenai persoalan perbuatan manusia(af’al al-‘ibad) dan perbuatan Allah(af’al Allah), beliau mengatakan bahawa Allah berkuasa sepenuhnya mencipta setiap perbuatan manusia sama ada baik atau pun buruk iaitu sama sebagaimana pemikiran yang dibawa oleh Jahm bin Safwan. Tetapi yang membezakan di antara kedua-duanya ialah berkenaan persoalan kasb atau acquisition . Ini bermaksud manusia mempunyai pengaruh kepada kekuasaan baru dalam kewujudan perbuatan-perbuatan mereka. Walaubagaimanapun setiap apa yang berlaku masih lagi di atas kehendak Allah S.W.T.

1.3(c) Aliran Al-Dirariyyah dan Pemikirannya

Aliran al-Dirariyyah juga merupakan salah satu daripada aliran al-Jabariyyah yang dipelopori oleh Dirar bin ‘Amru al-Kufi yang wujud di akhir pemerintahan Bani Umayyah. Pemikiran yang dibawa oleh Dirar ini juga dikatakan aliran yang moderat sebagaimana aliran al-Najjariyyah mengenai konsep kasb . Menurut fahaman ini Tuhan dan manusia bekerjasama dalam mewujudkan perbuatan-perbuatan manusia . Manusia tidak semata-mata dipaksa melakukan perbuatan mereka. Walaubagaimanapun pada hakikatnya setiap perbuatan manusia itu adalah diciptakan oleh Allah S.W.T.

Hubungan dengan budaya berfikir masyarakat Melayu

Diketahui umum bahawa Aqidah yang dianuti oleh masyarakat Islam di Malaysia ialah mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah atau al-Asya’irah. Pelopor kepada aliran mazhab ini ialah Abu al-Hasan ‘Ali bin Isma’il. Beliau merupakan keturunan yang kesembilan sahabat Nabi iaitu Abu Musa al-Asy’ari dan merupakan seorang tokoh ilmu kalam yang terkenal. Menurut Prof. Madya Dr. Wan Zailan Kamaruddin di dalam artikal yang membincangkan aliran Jabariyyah dan kesannya di Malaysia, beliau menyatakan sama ada sedar atau tidak akidah yang dianuti oleh masyarakat Islam di Malaysia ini adalah bersumberkan fahaman Jabariyyah . Aspek yang paling jelas dilihat dalam pengamalan masyarakat adalah dalam persoalan perbuatan manusia(af’al ‘ibad) dan perbuatan Allah(af’al Allah) sebagaimana yang ingin dihuraikan oleh penulis dalam menghubungkannya dengan corak berfikir masyarakat Malayu.

Di dalam artikal yang bertajuk “ Asal-Usul, Pengaruh dan Kesan Aliran Al-‘Asya’ari dan Al-‘Asya’irah di Malaysia dan Kepulauan Melayu” beliau telah memberi gambaran yang jelas bahawa terdapat dua aspek yang memperkuatkan hujah bahawa pengaruh al-Jabariyyah mendasari pegangan aqidah masyarakat Islam Malaysia. Dua aspek itu adalah:

(i) Bahan-bahan pengajaran dan pendidikan dan 
(ii) Tokoh-tokoh ulama’ yang menyampaikan ajaran tersebut.

Maka dengan pengajaran yang berlaku, akhirnya meninggalkan kesan yang mendalam dalam pemikiran masyarakat Melayu sehingga mereka lebih cenderung menyerah kepada Allah sahaja dalam banyak perkara daripada berusaha mengatasinya. Penulis tidak berhajat untuk menghuraikan aspek ini dengan lebih lanjut, maklumat ini hanya sekadar untuk melihat bagaimana fahaman al-Jabariyyah mula bertapak dan akhirnya menjadi sumber utama aqidah bagi masyarakat Islam di Malaysia keseluruhannya. Huraian akan difokuskan lebih kepada bentuk berfikir atau budaya berfikir segelintir masyarakat Melayu yang dikatakan sebagai “ lemah ” hasil daripada pengaruh aliran al-Jabariyyah.

ANALISIS PEMIKIRAN-bhg 2


BUDAYA BERFIKIR MASYARAKAT MELAYU

Pendahuluan

Idea mengenai Pemikiran Kritis merupakan suatu konsep pemikiran yang telah lama diperbincangkan bahkan digunapakai oleh ulama’ Islam terdahulu dalam hal periwayatan hadith. Ia bukan suatu yang baru sebagaimana yang diperkenalkan oleh tokoh-tokoh pemikir barat sama ada tradisional mahupun moden seperti Socrates, Plato, Aristotle, Edward de Bono dan ramai lagi. Bahkan juga ilmu-ilmu hadith telah diajar di dalam sistem pendidikan kita di peringkat sekolah menengah apatah lagi di peringkat universiti terutama di dalam bidang Pengajian Islam.

Walaubagaimanapun ia hanya dilihat sebagai satu aspek teoritikal dalam pembelajaran di dalam kelas tetapi bukan satu aspek yang dapat membentuk pemikiran atau cara berfikir golongan pelajar secara praktikal. Apatah lagi untuk membentuk pemikiran masyarakat Melayu yang hanya bersandarkan pembelajaran tradisional iaitu kitab-kitab jawi yang merupakan warisan tradisi dan tidak terdedah kepada sistem pembelajaran semasa iaitu Sistem Pendidikan yang komprehensif dari sudut silibus mahupun pengisian.

Bangsa Melayu cukup kuat pegangannya dengan warisan tradisi mereka terutama budaya setempat dari segi kefahaman Islam, cara berfikir, hidup bermasyrakat dan banyak lagi. Malah mereka agak sukar untuk menerima suatu bentuk idea baru yang dirasakannya akan menggugugat stabiliti kehidupan apatah lagi yang bersangkutpaut dengan kefahaman agama mereka. Ini bermaksud masih wujud masyarakat Melayu lama yang terlalu bertaklid dan taasub kepada bentuk pemikiran tradisi yang telah berakar-umbi dalam pemikiran mereka sehinggakan tidak membuka ruang kepada mereka untuk berfikir lebih jauh, aggresif, menganalisa berasaskan sumber yang benar, apatah lagi untuk bersikap rasional dengan memahami realiti setempat.

Penulis berangapan idea untuk pembentukkan Minda Melayu Baru amat bertepatan dalam abad ke-21 harus dipergiat dikalangan pelajar lagi. Ianya akan dapat melahirkan bangsa yang dinamik sama ada dalam pemahaman Islam, cara berfikir mahupun melaksanakan sesuatu idea dengan dapat memahami kehendak dan tuntutan semasa serta tidak bertaklid serta taasub dengan warisan tradisional semata-mata. Maka dalam penerangan seterusnya penulis akan melihat beberapa aspek kelemahan budaya Melayu yang dikaitkan dengan kesan fahaman Jabariyyah sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini.

Dalam menghuraikan beberapa aspek ini penulis juga akan membawa contoh-contoh peribahasa yang sehingga ke hari ini masih lagi bermain di bibir masyarakat Melayu sama ada golongan muda mahupun tua. Peribahasa ini dilihat sudah sebati dengan pemikiran masyarakat sehinggakan mempengaruhi corak berfikir dan tingkah-laku.

Pertama: Aspek Takdir dan Nasib

Persoalan takdir ini amat berkaitan dengan persoalan al-Qada’ dan al-Qadr di dalam Islam. Walaubagaimanapun pemahaman yang cetek berkenaan persoalan itu di samping dipengaruhi pemikiran aliran Jabariyyah yang difahami daripada warisan tradisi sebagaimana yang dihuraikan sebelum ini masyarakat Melayu mempunyai fahaman yang berbeza daripada pemahaman Islam yang sebenar. Mereka mempercayai bahawa semua perkara telah ditentukan oleh Allah S.W.T sama ada baik atau buruk. Manusia tidak ada daya dan kuasa untuk mengubah ketetapan itu. Oleh itu manusia harus berserah kepada takdir yang ditentukan oleh yang maha kuasa, sekiranya mereka berusaha untuk mencapai kejayaan sedangkan Allah telah menetapkan mereka akan gagal maka mereka akan tetap gagal juga. Ini bermaksud segala usaha mereka sia-sia.

Di bawah ini terdapat beberapa peribahasa yang sinonim dengan masyarakat Melayu dalam menghuraikan persoalan takdir .

Untung sabut timbul, untung batu tenggelam
Secubit tidak dapat jadi segenggam
Yang sejengkal tidak dapat jadi sedepa
Malang tak boleh ditolak, mujor tak boleh diraih


Dalam pemerhatian penulis tidak terdapat satu pun pepatah Melayu yang menyatakan manusia boleh mempengaruhi takdirnya. Ini cukup jelas kepada kita bahawa pengaruh Jabariyyah cukup sebati dalam masyarakat Melayu sehinggakan telah dipaparkan ke dalam peribahasa Melayu. Bahkan sehingga ke hari ini ianya masih di paparkan di dalam buku-buku peribahasa Melayu. Seharusnya untuk mengelakkan daripada ianya terus dihayati oleh generasi akan datang pihak berwajib harus mencari usaha bersepadu untuk mengenalkan konsep-konsep peribahasa Melayu yang lebih berkonsepkan proaktif, agresif serta inovatif dalam menghadapi masa depan yang mencabar.

Sudah diakui bahawa fahaman sedemikian yang menganggap takdir adalah segalanya berlawanan dengan ajaran Islam. Pada hakikatnya manusia disuruh dan diwajibkan menggunakan akal dan berusaha menggunakan kebolehan yang dikurniakan Allah kepada mereka. Allah berfirman:“ Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri ” . Kalaulah takdir menentukan segalanya apa perlunya Allah S.W.T mengutus para nabi untuk membimbing manusia ke jalan yang lurus. Cuba lihat dari aspek rasioanal, kalaulah datang orang untuk merompak kita, adakah kita biarkan sahaja ianya berlaku dan berserah pada takdir? Tidakkah kita berusaha untuk menghalang daripada perkara itu berlaku? Bagi pandangan penulis kebanyakan masyarakat yang berpegang pada fahaman ini, adalah orang yang sentiasa mencari helah di atas kemalasan dan tidak mahu berusah lebih dan akhirnya hanya menyalahkan takdir apabila mereka tidak berjaya dalam kehidupan.

Kedua: Aspek Usaha dan Berdikari

Walaupun masyarakat Melayu mengggalakkan untuk berusaha tetapi sikap yang berserah pada nasib lebih kuat sehingga konsep usaha itu tidak dapat dilaksanakan dengan sepenuh hati. Sebagai contoh sikap “ ala kadar ” , “ cukup makan ” yang pada pandangan penulis harus dilenyapkan dari pemikiran generasi kini. Inilah antara satu sebab masyarakat Melayu ketinggalan dalam apa jua bidang terutama ekonomi dan pendidikan.

Tan Sri Dato’ Muhammad Ali Hashim menulis mengenai realiti sebenar masyarakat Melayu di dalam kertas kerjanya yang bertajuk Agenda Melayu: Ekonomi Melayu Pasca-Krisis Mencapai Kekebalan, “Pada hakikaynya, Melayu mempunyai dilema yang lebih hebat apabila dilihat di dalam konteks pencapaian Melayu yang masih jauh ketinggalan di dalam pelbagai bidang berbanding dengan pencapaian orang-orang bukan Melayu.....” .

Selain itu di dalam peribahasa Melayu juga kita dapat melihat betapa aspek usaha tidak dititikberatkan :

Belajar tinggi-tinggi akhirnya ke dapur juga
Ulat dalam batu pun ada rezekinya



Ketiga: Aspek Memandang ke Hadapan

Tedapat satu peribahasa Melayu yang menggalakkan untuk memandang ke hadapan iaitu, “ Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna ” , tetapi pengaruhnya di dalam masyarakat masih di tahap yang rendah. Ini adalah kerana sikap untuk berserah pada nasib masih lagi kuat dalam pemikiran masyarakat.

Keempat: Aspek Orientasi Akhirat keterlaluan

Di samping itu didapati masyarakat Melayu kurang mementingkan kehidupan di dunia mahupun untuk mencari kekayaan dan bersaing dengan bangsa lain. Ini adalah kerana fahaman ketentuan Allah yang mana semua akan mati dan akan meninggalkan segala-galanya di dunia. Sepertimana dapat dilihat dalam peribahasa iaitu “ Dunia ini pinjam-pinjaman, ke akhirat juga sudahnya ” . Selain itu pengamalan konsep ibadah sempit, mengutamakan bentuk ritual persendirian, kurang aspek kemasyarakatan dalam bidang mu’amalat, akhlak, persekitaran sosial dan fizikal, kebajikan komuniti, masyarakat dan umah serta pengamatan konsep takdir yang keterlaluan dan sempit dan hanya berserah pada nasib. Sedangan dalam Islam, Allah menyuruh hambanya berusaha dengan gigih di dunia dalam mencari kekayaan dengan cara yang halal walaupun akhirat adalah keutamaannya.

Kelima: Aspek Sindrom Mediokriti(Pencapaian Rehdah)

Ramai di antara masyarakat Melayu sama ada golongan Muda, Tua, peniaga, pelajar mahupun orang awam yang bersikap dengan “ sikap tidak apa ” dalam banyak hal. Ini adalah kerana semua itu telah ditetapkan oleh Allah. Justeru atas sikap itu mereka terus tidak mahu cuba merobah fikiran yang lebih jauh sehinggakan berpuas hati dengan pencapaian “cukup makan”, cari jalan mudah dalam banyak hal, dan kurang daya fikiran untuk bersaing terutama apabila mereka hanya di dalam kelompok Melayu sahaja.

Keenam: Sindrom Pergantungan

Sikap terlalu bergantung kepada nasib dan takdir akhirnya sikap ini terbawa-bawa kepada kebergantungan kepada hal yang bercirikan keduniaan. Sebagai contoh biasiswa, subsidi, pinjaman, kontrak daripada kerajaan dan banyak lagi. Akhirnya ini akan melemahkan dan membantutkan kreativiti dan inovasi terutama dalam pemikiran dan tindakan termasuk pembangunan masyarakat. Kesannya seperti kemunduran serta tidak dapat bersaing dengan bangsa lain. Sehinggakan ramai di antara graduan Melayu yang menganggur terutama daripada lulusan agama selepas tamat pengajian disebabkan sikap kebergantungan sepenuhnya kepada kerajaan untuk mendapatkan kerja. Mereka seolah-olah tidak boleh berfikir dan kreatif untuk mencipta peluang sendiri seperti melibatkan diri dalam perniagaan dan pelbagai peluang lain .

Ketujuh:Ketakutan kepada Matematik dan Sains

Akibat daripada fahaman yang sempit dan malas berfikir serta tidak mahu meningkatkan usaha dan komitmen yang lebih, ramai di kalangan pelajar melayu tidak berapa minat untuk mengikuti pengajian sains di peringkat universiti. Tetapi tidak dinafikan masih lagi ada pelajar yang mempunyai kesungguhan dengan usaha yang berterusan dan akhirnya berja dalam pelajaran mereka.

Kelapan: Kesalahfahaman Tafsiran Ayat-Ayat Al-Quran

Di dalam beberapa sumber yang membincangkan persoalan aliran Jabariyyah ini, terdapat ayat-ayat al-Quran yang disandarkan oleh kaum aliran ini sebagai sokongan kepada pemahaman mereka iaitu segala perkara yang berlaku adalah di bawah pengusaan Allah dan manusia tidak mempunyai ikhtiar dalam apa jua yang berlaku. Oleh itu di dalam bahagian ini penulis ingin melihat beberapa ayat yang yang disandarkan kepada aliran Jabariyyah ini dari perspektif tafsir. Adakah ia benar-benar merujuk kepada apa yang difahami oleh golongan Jabariyyah atau pun terdapat tafsiran lain di sebaliknya.

Contoh Ayat:

Kalau sekiranya Kami turunkan malaikat kepada mereka, dan orang-orang yang telah mati berbicara dengan mereka dan Kami kumpulkan(pula) segala sesuatu kehadapan mereka niscaya mereka tidak (juga) akan beriman, kecuali jika Allah menghendaki, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

SurahAl-An’am(6):112.


Penekanan yang khusus dibuat adalah pada maksud “niscaya mereka tidak(juga) akan beriman kecuali jika Allah menghendaki”. Pada hakikatnya ayat ini untuk menerangkan sikap keras kepala, kejahilan kaum musyrikin dan sikap mereka terhadap kerasulan Muhammad S.A.W iaitu akan beriman apabila telah melihat sendiri mukjizat risalah kerasulan dan bukti-bukti lain. Menurut tafsiran Ibn Kathir, walaupun bukti itu akan diberikan kepada mereka sedangkan Allah dengan kekuasaannya masih tidak mahu memberi hidayah untuk mereka beriman maka mereka tetap akan kufur . Sesungguhnya mereka yang telah ditetapkan oleh Allah dalam Lauh Mahfuz bahawa mereka akan mati dalam kekufuran seperti kaum musyrikin ini, maka selamanya mereka tidak akan beriman walaupun segala macam bukti dipaparkan. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

Sesungguhnya orang-orang yang telah pasti terhadap mereka kalimat Tuhanmu, tidaklah akan beriman. Meskipun datang kepada mereka segala macam keterangan, hingga mereka menyaksikan azab yang pedih.

Surah Yunus (10):96 – 97.


Jika dilihat daripada tafsiran ayat tersebut ianya menunjukkan kepada kekuasaan Allah dari aspek memberi hidayah. Semestinya aspek hidayah adalah di bawah kekuasaan dan kehendak Allah dan tidak ada hubungkaitnya dengan kekuasaan, ikhtiar mahupun usaha manusia. Maka pada pandangan penulis ayat ini tidak ada hubungkait yang kuat untuk menyokong pendapat Jabariyyah.

Dalam huraian di atas penulis hanya membuat pembahagian aspek ringkas dalam menerangkan corak berfikir masyarakat Melayu yang sedikit sebanyak menunjukkan wujud unsur Jabariyyah di dalamnya. Walaupun sebahagiannya tidak berapa menonjol di samping wujud unsur sampingan lain. Telah dilihat bahawa kesan pemikiran membawa impak yang amat besar kepada mana-mana bangsa khususnya Melayu sebagaimana yang dibincangkan. 



Kembali kepada perbahasan kesan Aliran Jabariyyah sebagai penghalang kepada cara berfikir masyarakat Melayu. Sama ada sedar atau tidak, hakikatnya fahaman berserah pada takdir dan nasib yang diwarisi dari generasi terdahulu masih lagi dirasai oleh masyarakat Melayu sama ada golongan tua atau pun muda dan sama ada berpendidikan atau pun tidak. Dan ianya dilihat sabagai satu sebab kemunduran masyarakat Melayu Islam terutama di Malaysia di samping aspek-aspek lain.

Penulis melihat bahawa pada hakikatnya generasi Melayu kini masih belum bersedia dengan pendekatan pemikiran kritis ini untuk diketengahkan. Ini adalah kerana peratus untuk melahirkan generasi yang mampu berfikir dengan baik atau generasi yang mempunyai minat untuk melahirkan idea-idea baru yang kreatif cukup sukar apatah lagi untuk menangani isu-isu terkini yang melibatkan kajian yang mendalam dari pelbagai sudut. Jika dilihat di Institut Pengajian Tinggi Awam(IPTA) golongan pelajar dari jurusan agamalah akan memikul tanggungjawab ini.

Tetapi hakikatnya pelajar-pelajar ini masih tidak mempunyai pemikiran yang terbuka dan mempunyai sumber yang terhad iaitu hanya berdasarkan nota-nota di bilik kuliah sahaja. Dan ada juga sebahagian daripada mereka berjuang hanya untuk mendapatkan gred yang baik di dalam peperiksaan semata-mata dan tidak pula benar-benar memahami apa yang dipelajari. Manakala segelintir daripada mereka pula telah ditanam dengan fahaman kepartian yang mendalam. Di sini penulis melihat bahawa semua itu memerlukan usaha dan komitmen yang berterusan dan istiqamah. Adakah kita melihat generasi Melayu Islam berada dalam kapasiti itu berbanding generasi lain?

Penutup

Walaubagaimanapun sebagai kesimpulan awal, penulis optimis dengan pembangunan untuk melahirkan generasi baru yang berfikiran kritis dan tidak hanya bertaklid atau menerima bulat-bulat apa sahaja yang mereka terima. Tetapi penulis mengandaikan bahawa usaha-usaha awal untuk meningkatkan daya berfikir dan minat untuk berfikir dengan menghadapi cabaran abad ini harus dipergiat terutama di peringkat universiti. Jika usaha ini berjalan dengan baik dengan sokongan golongan berwajib penulis percaya kita akan dapat melahirkan generasi yang boleh menjadi global player, insan al-kamil serta agent of change yang bukan hanya berfikiran kritis tetapi memahami nilai-nilai agama yang tinggi.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...