Sidang pembaca yang dirahmati Allah
Secara jujurnya, iduladha di negeri pantai Barat
Semenanjung tidaklah semeriah negeri pantai Timur khususnya Kelantan.Umumnya
sambutan idulfitri di Malaysia
sentiasa lebih meriah berbanding iduladha. Walau pun takbir hari raya iduladha yang berkumandang dari corong masjid dan media elektronik lebih lama
berbanding idulfitri yang hanya bersahutan dari malam raya hinggalah ke waktu
sebelum solat sunat pada keesokkan harinya, namun elemen-elemen kemeriahan idulfitri itu masih tidak terdapat dalam iduladha secara keseluruhannya.
Antara faktor-faktor
utama yang menyebabkan aidiladha tidak semeriah aidilfitri
Balik kampung: keghairahan
untuk pulang ke kampung agak berkurang berbanding idulfitri. Malah ada
sesetengah perantau merasakan bahawa balik kampung sewaktu aidiladha ibarat
satu perbuatan “sunat” sahaja berbanding hukum balik kampung sewaktu idulfitri
yang “wajib”. Maka tak balik pun tak apa.
Ziarah: Amalan
ziarah-menziarahi hampir tidak berlaku
pada sambutan iduladha. Berbanding idulfitri, sememangnya tak menang tangan
menghadiri majlis rumah terbuka. Kadang-kadang sehingga terlajak ke bulan
Zulkaedah, masih ada yang menganjurkan rumah terbuka idulfitri.
Maaf: sukar untuk
melihat amalan maaf-bermaafan berlaku di iduladha, berbanding aidilfitri yang
semestinya menjadi satu acara wajib. Ibarat tak lengkap beraya kalau tak minta
maaf, sehingga terkeluar ungkapan, maaf zahir dan batin. iduladha takde kan?
Duit raya: saya
sendiri sudah sangat lama tidak memberi dan menerima duit raya sewaktu iduladha, seingat saya dulu ketika zaman kanak-kanak pernah juga terima duit
raya iduladha dari pakcik dan makcik yang tidak pulang beraya ketika idulfitri.
Sekarang pakcik dan makcik pun sudah veteran. Nenek sudah tiada lagi. Maka
tidaklah mereka pulang ke kampung lagi. Berbanding idulfitri, kalau tidak
diberi duit raya, dipandang serong oleh kanak-kanaklah jawabnya.
Kuih raya: mana
ada manusia yang sanggup bersengkang mata membuat kuih raya untuk iduladha, apatah
lagi menjalankan perniagaan kuih raya. Berbanding idulfitri bersepah-sepah
orang jual kuih raya. Tak perlu pergi jauh, dalam ofis mesti ada punya.
Lagu raya: Kurang
kedengaran stesen radio tempatan memutarkan lagu raya. Yang membezakan iduladha dengan hari-hari biasa adalah ucapan hari raya dari pemanggil setia
serta takbir hari raya bermula dari 10 Zulhijjah hinggalah ke hari-hari tasyriq.
Mercun: memang
terdapat letupan mercun berkumandang memecah suasana malam iduladha, namun
iramamya tidaklah semerdu aidilfitri yang tak ubah macam medan perang. Berita
”saintis muda” yang mendapatkan rawatan di hospital akibat kecederaan jari juga
tiada di paparan akhbar. Kadang-kadang saya musykil di mana mereka mendapat
bekalan mercun ketika iduladha ini. Stok tak habis idiufitri dahulu
barangkali.
Baju raya: walau
pun indah lengkap bersamping di pagi iduladha, rata-rata itu adalah baju yang
sudah dirasmi sewaktu aidilfitri dahulu. Selepas dibasuh, baju tersebut duduk
diam dalam almari sementara menunggu datangnya aidiladha. Sesudah iduladha, barulah
dipakai dengan kadar yang lebih kerap, sekurang-kurangnya ketika menghadiri
majlis keagamaan anjuran komuniti. Tak pernah pula mendengar ada orang menempah
atau membeli baju baru semata-mata untuk menyambut iduladha. Mungkin ada, tapi
bilangannya tidaklah sebesar mana. Yang berbaju melayu serta berkain pelekat
sahaja pun ramai juga. Tak perlu pakaian formal.
Membeli-belah: tiada
jualan runtuh untuk menghasut masyarakat menghabiskan wang ringgit membeli-belah
sempena aidiladha. Cuba kalau idulfitri. Tak cukup dengan shopping complex
yang sedia ada, siap bukak bazar sementara lagi.
Ops sikap: menjelang idulfitri, anggota polis trafik biasanya merupakan antara golongan yang malang
kerana cuti hari raya mereka pasti dibekukan demi menghalang pesalah lalu
lintas dari bermaharajalela. Rentetan daripada itu, media cetak dan elektronik
saban hari menyiarkan statistik mangsa kemalangan jalan raya yang saban tahun
ada sahaja peningkatannya. Menjelang iduladha tidak kelihatan pula polis
trafik terpacak di bawah jejantas di lebuh raya. Maka tiada sesiapa yang
cutinya terpaksa dibekukan. Media cetak dan elektronik sepi tanpa apa-apa
statistik kemalangan jalan raya.
Walau pun begitu,
istilah “lebih meriah” yang selalu difikirkan orang di Lembah Klang itu saya
kira masih relevan. Mungkin kerana cuti umum untuk perayaan iduladha di
sebilangan negeri seperti Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu adalah sama seperti
cuti umum idulfitri iaitu dua hari. Maka sewajarnya iduladha di sambut
semeriah aidilfitri.
Saya kira tempoh
cuti yang lebih panjang ini adalah bersesuaian untuk memberi lebih masa kepada
umat Islam menjalankan ibadah korban. Biasanya masjid-masjid besar dengan
kedudukan kewangan yang kukuh mengorbankan binatang ternakan dalam satu jumlah
yang besar. Dengan jumlah sukarelawan korban yang terhad, jika dibuat dalam
masa dua hari sudah tentu tidak penat bukan?
kesilapan yang dilakukan dalam proses menyembelih korban seperti foto diatas ialah tidak membuka ikatan di kaki lembu tersebut.Sepatutnya setelah selesai sembelih ikatan tersebut 'wajib' dibuka agar lembu itu mengelupur dalam keadaan 'bebas merdeka'
Kemeriahan iduladha itu diteruskan dengan juadah di hari raya ini tetap istimewa
setanding dengan idulfitri. Masih ada ketupat rendang, nasi dagang dan nasi
himpit, laksa atau lontong.
Masih ada letupan
mercun dan percikan bunga api, walau pun nadanya tidaklah semeriah aldilfitri.
Masih ramai yang
sudi balik kampung untuk berjumpa sanak saudara.
Maka seharusnya
tidak menjadi kepelikkan seandainya iduladha disambung lebih meriah berbanding idulfitri.
Berbeza dengan
suasana di Lembah Klang atau negeri-negeri bersekutu yang lain, cuti iduladha
hanyalah sehari. Kalau tidak kerana solat sunat iduladha dan ibadah korban, mungkin
hari raya iduladha seperti cuti umum biasa sahaja.
Malah dari segi
agama, kebesaran iduladha itu sepatutnya LEBIH BESAR DAN UTAMA(MERIAH) MELEBIHI idulfitri.
Malah dari segi
ibadah, kelihatan aidiladha lebih mantap berbanding idulfitri.
Fadilat idulfitri itu sebenarnya terkandung di dalam bulan Ramadhan dan bukan pada
hari raya itu. Takbir raya dan zakat fitrah juga hanya boleh dilaksanakan
sebelum solat sunat idulfitri sahaja. Amalan-amalan lain hanyalah lebih kepada
amalan sunat serta adat budaya orang melayu sahaja.
Di dalam iduladha terkandung pelbagai ibadah yang diberi ganjaran besar oleh Allah SWT
bagi mereka yang mengamalkannya dengan niat yang tulus ikhlas.
Terkandung
padanya ibadah haji yang wajib dilaksanakan bagi menyempurnakan rukun Islam
yang kelima. Di dalam ibadah haji itu pula terkandung pelbagai lagi sub-ibadah
yang perlu disempurnakan untuk mendapat haji mabrur.
Terkandung
padanya ibadah korban yang boleh disempurnakan pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Terkandung
padanya takbir hari raya juga boleh dilaungkan lebih lama seperti tarikh-tarikh
yang disebutkan tadi.
Terkandung
padanya ibadah korban bagi mencari keredhaan Allah SWT serta memperingati
peristiwa yang berlaku ke atas Nabi Allah Ibrahim dan anaknya Nabi Allah Ismail.
Semoga negeri-negeri
lain turut menyambut iduladha lebih meriah berbanding idulfitri.
oleh:Azuhuri Mustaqim
Antara perkara yang SEPATUTNYA umat islam lakukan sebagai SUNNAH dalam menyambut kebesaran Iduladha ialah:
ReplyDelete1. Membeli atau menempah baju baru khususnya yang akan dipakai di pagi hari raya seperti baju melayu/jubah/baju kurung dll.Bukan memakai semula baju yang telah dipakai pada Raya Idulfitri.
2. Mengadakan 'OPEN HOUSE' dengan menjemput kaum keluarga,sanak saudara,jiran,sahabat handai dengan sambutan yang meriah dan berbagai aneka makanan.
3. Hati dan minda hendaklah ditarbiyah dengan ilmu agar merasakan kebesaran Iduladha itu lebih AULA daripada Idulfitri.
4. Ringankan mulut dan tangan mengucap/menulis 'SELAMAT HARIRAYA IDULADHA'kepada umat islam yang lain dan bermaaf-maafan.
5. Bersemangat dan penuh ketundukan dalam melaungkan takbir,tasbih dan tahmid pada malam hari raya dan hari-hari tasyrik.