pokok yang tumbuh di makam Imam An Nawawi rah di Damsyik Syria
Muqaddimah
Para ulama terdahulu adalah teladan terbaik buat para ulama yang datang
kemudian, khususnya di zaman kita sekarang. Kehebatan mereka bukan sahaja
kerana kesungguhan mencari dan menyumbangkan ilmu, tetapi juga dari aspek
peribadi- luaran dan dalaman, dan keberanian mereka menegakkan al-amr bil
makruf wannahy an almunkar, termasuk menegur pemerintah sebagai satu jihad yang
besar ‘Kalimatulhaq inda sultanin ja’ir’. Di antara mereka ialah al-Imam
an-Nawawi rahimahullahu Taala.
Dari
kecil hingga remaja
Imam
Nawawi lebih dikenali dengan gelaran ini. Nama sebenarnya ialah Yahya bin
Sharaf bin Muri bin Hasan bin Husin bin Muhammad bin Jum’at bin Hizam
anNawawiy. Lahir pertengahan Muharram 631H di Nawa, pinggir Damsyiq, Syria.
Ketika
umurnya 7 tahun, di malam 27 Ramadhan, bapa Imam Nawawi pernah menceritakan:
‘Beliau tidur di sisiku. Ia terjaga pertengahan malam dan mengejutkan aku. Ia
berkata: ‘Wahai bapaku! Apakah cahaya yang memenuhi rumah ini? Beliau
mengejutkan semua penghuni rumah. Kami tidak melihat apa-apa. Aku tahu bahawa
malam itu ialah malam Qadar.’
Ketika
umurnya 10 tahun, berlaku satu peristiwa kepada Imam Nawawi yang menyebabkan
Sheikh Yasin bin Yusof al-Marakishi membuat firasat Imam Nawawi akan menjadi
seorang tokoh hebat di zamannya nanti, paling zuhud, dan bermanfaat buat
manusia.
Ta’liq:
Tokoh
akan datang boleh di’firasat’kan
sebelum masanya melalui petanda-petanda awal. Para
murabbi perlu cakna terhadap petanda-petanda awal itu. Perlu ambil tindakan
pro-aktif menyuburkan benih itu.
Sangat
halobakan ilmu
Imam
Nawawi belajar ketika usianya agak lewat, iaitu 19 tahun. Namun kecekalan,
ketabahan dan kesungguhan luarbiasa menuntut ilmu menjadikan gurunya kagum dan
sayang kepadanya. ‘2 tahun aku belajar, rusukku tidak pernah jatuh ke bumi…’.
Beliau
belajar dari pagi , petang sehingga malam. Beliau belajar 12 subjek sehari
dalam pelbagai disiplin ilmu dengan ramai guru. Kebetulan ramai ulama masyhur
di zamannya.
Masa
Imam Nawawi banyak dihabiskan samada untuk belajar, mengarang, menulis, memberi
komentar, menghurai atau beribadat di tengah malam. Tiada masa berkaraoke,
tiada masa menonton tv, tiada masa berpesta, tiada masa untuk segala aktiviti
dunia, bahkan untuk anak isteri kerana beliau tidak berkahwin.
Seorang
sahabatnya pernah ‘putus asa’ untuk menurut Imam Nawawi dari segi disiplinnya
belajar dan ‘bertasauf’. Beliau hanya makan sekali selepas Isyak dan minum di
waktu dinihari. Badannya menjadi ‘kering’ disebabkan cara hidupnya seperti itu.
Halobanya kepada ilmu mengatasi yang lain. Justru, tidak pelik, dalam jangka
waktu sekitar 6 tahun sahaja belajar Imam Nawawi sudah menguasai pelbagai
disiplin ilmu.
Karya
Imam Nawawi melebihi 40 buah-panjang, pendek, kitab lengkap, tidak lengkap,
beberapa helaian.
Apabila
Imam Nawawi meninggal dunia sebelum sempat menyiapkan kitabnya yang terkenal,
al-Majmu’., beberapa orang ulama menyambung karyanya itu. Di antara mereka
ialah Sheikh Taqiyuddin as-Subki. Beliau menyebut satu perkara penting: ‘untuk
menulis seperti hebatnya Imam Nawawi menulis memerlukan 3 perkara:
i.
faragh al-bal wattisa’ azzaman (Otak yang tidak banyak memikir hal lain
dan kelapangan masa). Imam Nawawi memenuhi ciri ini kerana ia tidak beristeri
dan berkeluarga.
ii.
mengumpulkan semua kitab yang boleh membantu melihat pandangan-pandangan ulama.
Imam Nawawi berjaya melakukan demikian kerana kemudahan yang ada di tempatnya
pada masa itu.
iii.
Niat yang baik, banyaknya warak dan zuhud serta amal soleh yang menyinari
sinarnya. Imam Nawawi juga berjaya melakukannya.
Ta’liq:
Lewatnya
belajar tidak menghalang dari mendapatkan ilmu, dengan syarat bersungguh dan
menebus balik masa yang terlepas itu. Contoh: Abu Hurairah ra. Mencari ilmu
mesti ada disiplin. Belajar dengan ramai guru, tapi bukan sebarang guru. Menyumbang
ilmu, terutama bagi mendapat keberkatan dari ilmu memerlukan syarat-syarat
seperti yang disebut di atas.
Bersifat
zuhud sebelum membicarakan zuhud
Imam
Nawawi terkenal dengan sifat zuhudnya. Ia tidak berbicara tentang zuhud, tidak
pula menentang ahli tasauf tetapi beliau mempraktikkan zuhud dan tasauf. Makan
minum, pakaian, tempat tinggal dan kehidupannya mungkin begitu rigid dan sangat
tidak selesa bagi sesetengah orang, tetapi itulah jihad bagi seorang bernama
Imam Nawawi.
Banyak
perkara karamah berlaku dalam hidupnya. Muridnya yang terkenal, Ibn al-Attar
menyebut beberapa kisah ‘pelik’ bersama Imam Nawawi. Katanya: ‘Saya pernah
bersama guru saya itu dan kalau mahu ditulis pengalaman itu, ia akan memakan
berjilid-jilid buku.’
Ta’liq:
Karamah
bukanlah perkara yang dituntut dari asalnya. Ia datang apabila kita memenuhi
tuntutan Tuhan. ‘Istiqamah lebih baik dari seribu karamah’. Imam Nawawi
mengumpulkan Istiqamah dan karamah.
Berjihad
menegur pemerintah
Imam
Nawawi juga seorang yang berprinsip yang sangat tegas dengan hukum syarak.
Ketika Raja az-Zahir ingin mengenakan cukai ke atas rakyat bagi membiayai
jihad, Imam Nawawi adalah antara beberapa orang ulama di zaman itu yang tidak
bersetuju dan ‘tidak menandatangani surat
sokongan’ itu. Bahkan, beliau menulis surat
kepada gabenor Raja az-Zahir supaya menyampaikan satu surat/memorandum kepada
Raja az-Zahir.
Demikian
juga apabila penguasa mengambil tindakan memagari kawasan tanah yang menjadi
hakmilik dan telah diusahakan oleh penduduk Damsyiq. Beliau juga menulis satu surat kepada pemerintah
menasihatkannya supaya berlaku adil.
Surat yang ditulis walaupun menyatakan tidak setujunya
dengan sesuatu perkara tetapi bahasa
yang digunakan cukup berhikmah dan penuh kasih sayang kepada pemerintah Islam
ketika itu. Pemerintah mendaulatkan Islam paling tinggi hukumnya, cuma beberapa
perkara yang dibuat adalah kezaliman peribadi.
Ta’liq:
Kesibukan
mencari ilmu dan menyumbangkan ilmu tidak menghalang Imam Nawawi melakukan
tugas menegur kerajaan. Bentuk teguran boleh dilakukan melalui pelbagai
saluran. Mendiamkan diri terhadap kemungkaran lalu menjadi syaitan bisu
bukanlah cara yang diwarisi dari ulama seperti Imam Nawawi.
Penutup
Demikianlah
kisah Imam Nawawi yang hebat. Maka tidak pelik apabila karyanya seperti kitab
RiadhusSalihin dibaca dan diterjemah. Kitabnya al-Majmuk yang tidak selesai
dikarang itu dibantu untuk diselesaikan oleh as-Subki dan kemudiannya oleh
ulama-ulama lain. Kitabnya Hadis 40 menjadi kitab teks yang dibaca di surau dan
masjid. Begitu juga karya-karyanya yang lain. Bahkan tidak pelik juga apabila
maqamnya di kampungnya sendiri iaitu ‘Nawa’ ditumbuhi sebatang pokok besar
beberapa pemeluk. Ketika saya menziarahi maqamnya sekitar tahun 1996 sewaktu
belajar di Jordan dan lawatan ke Syria, kami diberitahu bahawa pada
daun dan dahan pokok itu dikatakan tertulis kalimah-kalimah Tauhid. Bimbangkan
khurafat berlaku, dahan-dahannya dipotong. Kalimah-kalimah Tauhid itu tertulis
pula pada batang pokok itu. Ia sukar dibuang kerana pokoknya yang cukup besar
itu.
Yang
penting ialah Imam Nawawi telah menjaga agama Allah ketika beliau hidup di atas
bumi, maka Allah menjaganya pula selepas matinya di dalam bumi.
(Kuliah
tentang biografi Imam Nawawi termasuk huraian surat yang ditulis kepada Raja az-Zahir boleh
diikuti di bahagian koleksi ceramah audio video di portal saya
www.niknasri.com)
Kalau sidang pembaca peka dan rajin buat kajian,cuba lihat blog-blog karkun tabligh ...
ReplyDeleteAda tak mereka menukilkan atau mengisahkan tokoh-tokoh para ulama silam yang muktabar dalam blog mereka??
setakat yang kami survey hingga kini TIDAK ADA!!!
yang banyak kisah-kisah ulamak kelompok mereka sahaja.seolah-olah ulama lain tak ada jasa kepada islam...
ATAU MUNGKIN KAMI TERLEPAS PANDANG...
KALAU ADA SILALAH BAGI LINK NYA.....
KALAU TAK ADA MAKA ITU SANGAT PELIK DAN MISTERI...
kan ulama itu pewaris para nabi dan rasul.Mencintai ulama bermakna mencintai Rasul saw.
tak gitu....?