Sunday, 9 December 2012

ALLAH,MALAIKAT,ADAM DAN DEMOKRASI


Firman Allah mafhumNya;
Dan (ingatlah) tatkala Tuhan engkau berkata kepada Malaikat : sesungguhnya Aku hendak menjadikan di bumi seorang Khalifah. Berkata mereka (Malaikat) : Apakah Engkau hendak menjadikan padanya orang yang merusak di dalamnya dan menumpahkan darah, padahal kami bertasbih dengan memuji Engkau dan memuliakan Engkau? Dia berkata : Sesungguhnya Aku lebih mengetahui apa yang tidak kamu ketahui. (Al-Baqarah : 30)






Dan telah diajarkanNya kepada Adam nama-nama semuanya, kemudian Dia kemukakan semua kepada Malaikat, lalu Dia berkata : beritakanlah kepadaKu nama-nama itu semua, jika adalah kamu makhluk-makhluk yang benar. (Al-Baqarah : 31)
Mereka menjawab : Maha Suci Engkau! Tidak ada pengetahuan bagi kami kecuali yang Engkau ajarkan kepada kami. Karena sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Tahu, lagi Maha Bijaksana. (Al-Baqarah : 32)
Berkata Dia : Wahai Adam! Beritahukanlah kepada mereka nama-nama itu semuanya! Maka tatkala telah diberitahukannya kepada mereka nama-nama itu semua, berfirmanlah Dia : bukankah telah Aku katakan kepada kamu, bahawa sesungguhnya Aku lebih mengetahui rahsia semua langit dan bumi, dan lebih aku ketahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan. (Al-Baqarah : 33)

Potongan ayat di atas menceritakan tentang suatu peristiwa besar yang telah berlaku di mana sekiranya peristiwa ini tidak terjadi maka tiadalah kita pada hari ini. Satu peristiwa yang menjadi sejarah dunia apabila manusia diciptakan dan ditugaskan menjadi pemimpin di muka bumi. Maka bermulalah sejarah ketamadunan ilmu apabila Adam diciptakan. Penulis ingin membawa pembaca berfikir tentang falsafah kepada peristiwa yang dirakamkan dalam al-Quran melalui kaedah dialog. Dialog ini memberikan nilai yang tersendiri apabila berlaku soal jawab antara Allah, Malaikat, dan Adam. Allah sebagai Khaliq, Malaikat dan Adam adalah sebagai makhluk ciptaan Allah.

Dalam Tafsir Fi Zilalil Quran karangan Syed Qutb mengatakan ayat ini adalah berkaitan pentadbiran. Pentadbiran adalah sesuatu sistem yang besar dimana merangkumi politik. Maka kita lihat apabila wujudnya Adam maka secara tidak langsung bermulalah sistem politik di dunia ini kerana Adam dicipta untuk menjadi pemimpin kepada sekalian makhluk. Untuk menjadi pemimpin dan memimpin perlu ada ilmu politik. Bagaimana mungkin manusia mampu mentadbir alam sekiranya tidak punyai ilmu politik. Mengatur, mengurus dan memastikan alam berada dalam keadaan yang baik iaitu tugas Bani Adam memberikan gambaran manusia perlu berfikir bagaimana untuk melakukannya. Justeru, itulah hikmah ilmu politik dipelajari.

Dalam Tafsir Al-Azhar karangan Prof. Dr. Hamka pula ada menerangkan sedikit berkaitan penerimaan beberapa ulama di manakah dialog ini diperkatakan. Terdapat dua golongan iaitu Salaf dan Khalaf. Secara mudahnya kita memahami Salaf adalah golongan yang hidup pada zaman Rasulullah dan sahabat, tabi’in (anak murid sahabat) dan tabi’ tabiin (anak murid tabi’in). Manakala Khalaf adalah golongan yang hidup selepas daripada ketiga-tiga zaman yang disebutkan tadi.

Salaf menerima ayat ini dengan tidak bertanya-tanya mahupun bersoal kerana beranggapan Allah telah berkenan untuk menceritakan perkara ghaib kepada kita tetapi dengan kemampuan fikiran manusia tetapi tidaklah pula kita mampu untuk masuk ke dalam yang ghaib itu. Berbeza pula dengan penerimaan Khalaf, mereka menggunakan kaedah mantik atau logik akal manusia untuk membuat pentafsiran tetapi dalam lingkungan bilik luas yang mempunyai dinding dan bumbung. Maka tidaklah mereka dibasahi hujan dan badai dalam membuat pentafsiran melainkan yang dibenarkan syariat.

Diperhalusi dialog antara Allah dengan Malaikat ini dapatilah kita sebenarnya lebih dekatlah pendekatan Khalaf kerana Allah sendiri menunjukkan bukti kepada Malaikat tentang sebab tindakan-Nya. Maka ketahuilah kita sebenarnya manusia sememangnya memerlukan mantik dalam menerima sesuatu peristiwa yang berlaku di sekeliling mereka. Tetapi sebenarnya Allah mahu juga menguji keimanan hamba-Nya, maka dibuatkan peristiwa yang bertentangan dengan hukum mantik atau logik akal manusia.

Diberitakan juga dalam Al-Quran berkaitan peristiwa Ibrahim dibakar dalam rumpunan kayu api yang marak tetapi baginda tidak tercedera sedikitpun. Waras akal api pastilah membakar dan air pastilah membasah. Juga peristiwa Mariam mengandung dan melahirkan Isa tanpa seorang lelaki melakukan persetubuhan dengannya. Sainstis hari ini tidak mahu menerima peristiwa tersebut kerana sperma perlu bergabung dengan ovum di tiub fallopio dan barulah boleh terciptanya kandungan. Dijawab oleh Al-Ghazali di sinilah peranan iman dimainkan apabila bertindak menerima perkara ghaib yang diceritakan Allah.
Sebab itu seorang seorang ahli falsafah moden; Emmanuel Kant berkata, “Betapapun kemajuan saya dalam berfikir, namun saya tetap mengosongkan sesudut dari jiwa buat saya percaya.” Maklumlah kita sebenarnya mantik dan iman itu sepatutnya bergerak seiring supaya tidak pula layang-layang terputus talinya kerana layang-layang itu ibarat mantik manakala tali ibarat iman yang memandunya. Jika terputus tali itu maka jatuhlah layang-layang dan jika tidak bertali tidaklah pula ianya mampu terbang. 

Perlulah kita percaya bahawa manusia yang diagungkan bisa juga melakukan kesilapan, maka perlu juga dikosongkan sedikit jiwa agar kita tidak membabi-buta menyokong yang salah.
Berbalik kepada dialog, Malaikat dikhabarkan oleh Allah ingin mencipta sejenis makhluk yang menjadi khalifah di muka bumi. Kemudian Malaikat bertanya kepada Allah mengapa ingin mencipta makhluk yang akan merusakkan bumi sedangkan bumi ini sudah aman dan Malaikat pula sentiasa bertasbih dan memuji-Nya. Dalam dialog ini ada satu perkara yang jarang kita bahaskan iaitu demokrasinya Allah. Malaikat telah mempersoalkan tindakan yang akan Allah lakukan tetapi tidak pula Allah memarahi Malaikat melainkan menjawabnya dengan mantik.

Dalam Tafsir Al Maraghiy karangan Ahmad Musthafa al-Maraghi, beliau mengatakan Allah bersabar dengan pertanyaan Malaikat. Di sini kita melihat Allah memberikan ruang kepada Malaikat untuk mengajukan soalan dan mengkritik tindakan-Nya. Hari ini kita melihat rakyat tidak boleh mempersoalkan tindakan kerajaan kerana apabila mempersoalkan akan dianggap penentang kepada kerajaan dan tidak bersyukur. Sedangkan rakyat berhak bertanya demi kepentingan mereka. Begitu juga segelintir pensyarah yang dipersoalkan tindakan mereka oleh pelajarnya maka diberikan markah yang rendah. Sungguh tidak demokratik!

Allah juga sebenarnya mengajar kepada kita supaya lebih berfikiran kritikal iaitu dengan mempersoalkan sesuatu tindakan sekiranya ia tampak tidak berfaedah. Sekiranya sesuatu perkara itu tidak mendatangkan manfaat kepada manusia maka ianya tidak perlu dilaksanakan. Rakyat perlu diberikan ruang untuk mengkritik dan mempersoal setiap tindakan kerajaan supaya rakyat lebih kritikal dan mampu memberikan faedah kepada negara. Bukan ditangkap dan didakwa sedangkan mereka yang merasuah dan menipu dibiarkan terbahak. Tujuan manusia dicipta di bumi adalah untuk menjadi pemimpin kepada umat manusia bukan menjadi perosak seperti yang dikatakan oleh Malaikat.

Di dalam dialog ini juga diajarkan kepada Adam tentang nama-nama kesemuanya yang dianggap mantik manusia. Kemudian ditunjukkan kepada Malaikat tentang nama-nama kesemuanya dan ditanyakan akan namanya. Malaikat tidak mampu menjawab dan berkata Allah-lah yang lebih mengetahui. Di sini kita melihat Adam mempunyai kelebihan dan Malaikat merendahkan diri dengan mengakui kekurangan dirinya. Apabila Allah memerintahkan Adam mengkhabarkan nama-nama itu maka barulah Malaikat ketahui akan kelebihan makhluk yang ingin diciptakan oleh Allah yang dikatakannya perosak bumi.

Ketika ini tahulah kita bahawasanya manusia dan Malaikat mengetahui sesuatu ilmu atau perkara atas kehendak Allah. Pasti ada kekurangan ilmu dalam kalangan manusia mahupun Malaikat. Kita lihat bagaimana rendah diri Malaikat menerima ilmu Adam kerana Malaikat tidak mempunyai ilmu pengetahuan tentang nama-nama itu dan tidak pula sombong tidak mahu mempelajarinya. Segelintir jemaah yang 'sombong' berkata kita tidak memerlukan orang luar untuk memberikan tarbiyah kerana kita mempunyai manhaj tarbiyah yang tersendiri. Ini sangat bertentangan kerana Malaikat mengakui dan belajar daripada Adam. Kita pula yang lebih sombong!
Kesimpulannya kita perlu membuat semakan terhadap diri sendiri adakah kita ini orang yang demokratik kerana Allah tidak memarahami Malaikat apabila Malaikat mengkritik tindakan Allah bahkan Allah menggunakan kaedah mantik dengan menunjukkan nama-nama kepada Malaikat dan ditanyakan namanya. Apabila Malaikat tidak mampu menjawab diperintahkan Adam untuk mengkhabarkan nama-nama itu. Maka barulah Malaikat percaya bahawasanya mahkluk diciptakan Allah ini mempunyai kelebihan. Malaikat mengakui kelemahan dan belajar daripada Adam, jadi adakah kita mahu mengakui kelemahan kita dan menerima kritikan dan mempelajari daripada orang lain? Adakah kita masih sombong dengan ilmu yang ada pada kita semata-mata? Jika kita masih begitu maka ingatlah Allah sudah demokratik!

1 comment:

  1. Istilah demokrasi yang sering disalah fahami oleh kebanyakkan orang islam yang menolak mentah-mentah sistem tersebut khususnya sebahagian besar orang tabligh dan hizbur tahrir.

    Kesilapan mereka ialah melihatnya dari kacamata barat atau merujuk kepada tafsiran barat(kafir)sedangkan sepatutnya yang perlu dilihat ialah konsepnya.Sebagaimana takrif adil dan zalim,kalau ikut kamus barat tidak sama dengan takrif dalam kamus islam.ADIL BAGI ORANG MELAYU IALAH SAMA RATA SEDANG TAKRIF ISLAM IALAH MELETAKKAN SESUATU PADA TEMPATNYA.

    Dalam hal ini islam sejak lebih 1400 tahun dahulu telahpun mempraktik sistem demokrasi menurut acuan wahyu(syari'at)tetapi sejarah ini telah digelapkan oleh yahudi dan kristian sebagaimana mereka mengelapkan fakta-fakta penemuan agung dalam bidang ilmu sains,astronomi,kedoktoran,biologi dll oleh tokoh-tokoh ilmuan islam lalu digantikan tokoh di kalangan bangsa mereka sendiri seperti isaac newton dll dalam buku-buku teks yang diajar di sekolah.

    Hanya dalam abad ini baru ada usaha dari cendikiawan muslim menulis buku-buku mendedahkan jasa-jasa ilmuan islam dalam bidang-bidang tersebut seperti buku yang ditulis oleh prof mahmud zuhdi dll.

    Maka begitulah juga sistem demokrasi ini di pesongkankan makna sebenar oleh penjajah barat agar umat islam berpecah-belah lalu meninggalkan bidang politik atas sangkaan tidak islamik dan mereka berjaya dalam rancangan itu.

    Tetapi janji Allah melalui lidah RasulNya bersabda;

    " Maka bahawasanya siapa yang hidup (lama) di antaramu nescaya akan melihat perselisihan (faham) yang banyak. Ketika itu pegang teguhlah Sunnahku dan Sunnah Khalifah Ar Rasyidin yang diberi hidayah. Pegang teguhlah itu dan gigitlah dengan gerahammu."
    (Hadis riwayat Imam Abu Daud dan lain-lain. Lihat Sunan Abu Daud juzuk 4, muka surat 201)

    “Akan sentiasa ada segolongan dari umatku yang berperang dan berjuang di pintu Damsyik dan di sekelilingnya, dan pintu Baitul Maqdis dan di sekitarnya , tidak dapat menggugat mereka orang-orang yang enggan menolong mereka. Mereka terus teguh di atas kebenaran sehingga ke hari kiamat" . (Abu Ya’la dan Ibn ‘Asakir)

    Hadith pertama menyebut 'akan berlaku perselisihan faham' adalah merujuk perkara dasar bukan masalah furuk dalan bab feqah.Istilah demokrasi ini juga termasuk dalam 'perselisihan faham' hingga berlaku pecah belah sepanjang sejarah islam hingga sekarang.

    Manakala hadith kedua adalah khususnya menyebut isu mutakakhir ini di palestin dan syiria yang mana peperangan berlaku atas platform politik dan agama.Ini menjadi bukti jelas bahawa isu agama dan politik tidak boleh dipisahkan sama sekali.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...