Sidang pembaca yang di rahmati Allah
Entri kali ini adalah berkaitan takrif sunnah yang sebenar bagi membetulkan salah faham khususnya golongan tabligh yang merasakan hanya mereka sahaja yang ikut sunnah sedang jemaah lain jauh dari sunnah.
Oleh itu kami merasakan pencerahan ini penting supaya tidak ada lagi cemuhan dan tuduhan melulu orang tabligh kepada para ustaz yang mengajar ilmu islam dengan tuduhan 'tak ikut sunnah' dan lain-lain hanya kerana tak berjanggut,berserban,bersugi seperti mereka.
From: "Tengku Amal Fuad" <amal@shinmsb.po.my> Save Address Block Sender
To: soalfikah@hotmail.com
Subject: Sunnah Rasullullah
Nabi Muhammad ada mengatakan akhir zaman umat islam ini akan terpecah kepada 73 golongan. Semua masuk neraka kecuali satu. Lalu bertanya sahabat, bagaimana jika dia berada dalam zaman tersebut, lalu nabi Muhammad mengatakan," gigit Al Quran dan sunnahku kuat2 insyaallah kamu akan selamat".
Soalan saya ialah;-
Yang dimaksudkan sunnahku itu apakah semua sunnah yang diajarkan yaitu dari yang kecil sehingga sebesar2nya kita kena ikut? Misalannya dari masuk ketandas hingga memerintah negara. Kalau sekiranya masuk ke tandas pun kita tak ikut apakah kita tergolong dalam golongan yang masuk neraka?
Jawapan
Alhamdulillah inilah jawapannya:
Ini adalah termasuk di bawah
pembahasan ilmu Usul Feqh. Terimakasih atas soalan yang baik ini.-------------------
Sunnah di sini bukanlah bermaksud mandub, iaitu diberi pahala kepada pelakunya dan tidak berdosa kepada orang yang tidak mengerjakannya.
Sunnah di sini bermaksud: Sesuatu yang lahir dari Rasulullah s.a.w., samada perkataan, perbuatan dan pengakuan.
Ia adalah hadis nabi s.a.w. yang merangkumi hukum taklifi dan hukum wad'i. Kita lihat apa definasi hukum menurut Usuliyyun:
"Khitab (firman) Allah Taala yang berhubungkait dengan perbuatan mukallaf, samada yang berbentuk tuntutan atau pilihan atau menjadikan sesuatu itu sebagai sebab, syarat atau penghalang."
Maksud `khitab Allah' di sini ialah samada ia dinisbahkan secara langsung kepada Allah atau melalui perantara seperti Sunnah, ijma', qiyas dan sumber2 hukum lainnya.
Kita ambil sunnah, mengapa ia dimasukkan di bawah kata `khitab Allah'? Kerana pada hakikatnya sunnah/sabda Rasulullah s.a.w. itu kembali kepada Allah Taala. Sekalipun lahirnya dari Rasulullah s.a.w. tetapi ia diperolehi melalui jalan wahyu.
Sunnah yang mengandungi sabdaan, perbuatan dan taqrir/pengakuan dari Rasulullah s.a.w. yang memberi petunjuk Hukum, adalah dari wahyu Allah Taala, bukan dari hawa nafsu baginda.
--------------------
Berpegang kepada al-Quran ialah mengambilnya sebagai sumber hukum. Begitu juga apabila dikatakan berpeganglah kepada sunnah Rasulullah s.a.w. bermaksud mengambilnya sebagai sumber hukum.
Kami melihat beberapa kesilapan di dalam pemahaman masalah ini. Apabila dikatakan: Berpeganglah kepada sunnah, mereka memahami bahawa ia adalah mengamalkan sunnah dalam ertikata mandub.
Ini adalah salah…!!!!!!!
Sunnah dalam ertikata mandub adalah sebahagian kecil dari maksud sunnah dalam ertikata ia sebagai salah satu dari sumber hukum Islam.
Sebab itu kita dapat melihat sebahagian dari umat Islam di negara kita bersungguh-sungguh di dalam mengamalkan sunah yg bermaksud mandub dan dalam masa yang sama mereka terlupa untuk memperjuangkannya sebagai salah satu dari sumber hukum Islam.
Mereka berusaha bersungguh-sungguh membetulkan serban, mengemaskan jubah, menggenggam kuat-kuat kayu sugi, makan di dalam talam dsbnya. Sebahagiannya menganggap bahawa itu adalah sunnah yang disyariatkan. Mereka berbuat demikian dengan fahaman itulah sahaja sunnah yang perlu dipertahankan sebagaimana maksud beberapa hadis. Sebahagiannya pula, ada yang mencela rakan-rakannya yang lain kerana makan di atas meja, tidak menggunakan kayu sugi, tidak berjubah dan berserban. Mereka memandangnya dengan sinis dan berkata: "Bagaimana umat Islam boleh berjaya, tidak ikut sunnah!"
Mengamalkan sunnah za'idah seperti berserban, berjubah, bercelak dsbnya tidak salah samasekali. Malah ia menjadi satu kelebihan bagi pengamal berkenaan, lambang kecintaannya kepada Rasulullah s.a.w. serta akan diberi pahala jika niatnya betul. Tetapi yang salah ialah beranggapan bahawa sunnah yang dimaksudkan oleh sabda Rasulullah s.a.w. ialah sunah-sunah yang begitu sahaja, dengan melupakan atau meminggirkannya sebagai salah satu dari sumber hukum.
Pernah guru kami yang dimuliakan al-Marhum Tuan Guru Haji Abdul Wahab bin Saad, diceritakan kepada kami oleh anakandanya Drs Mohd Redzuan, pada suatu ketika Tuan Guru mendengar radio siaran soaljawab agama. Ustaz radio itu ditanya, "Apa itu Sunnah?" Ustaz itu menjawab: "Buat dapat pahala, tinggal tidak berdosa." Mendengar itu, Tuan Guru hanya tersenyum sahaja menandakan kekeliruan ustaz berkenaan. Bukan salah tetapi keliru.
Oleh itu, apabila diajukan tentang sunnah, perlu difahami dahulu sunnah pada kedudukan mana? Pada kedudukannya sebagai sumber hukum (khitab Allah) atau sebagai salah satu dari pembahagian hukum?
------------------------
Sunnah nabi sebagai sumber hukum terbahagi kepada dua:
1) Yang bersangkut dengan hukum taklifi
Menurut Jumhur ulamak, ia terbahagi kepada 5:
1. Wajib: "Tiada sembahyang bagi orang yang tidak membaca Fatihatul Kitab." (HR Bukhari & Muslim). Menunjukkan wajib membaca fatihah di dlam sembahyang.
2. Mandub (sunnah) : Azan, iqamah dsbnya.
3. Haram- "Barangsiapa yang melaknat orang mukmin seperti membunuhnya." (HR Bukhari & Muslim)
4. Makruh - Sesungguhnya Allah itu memakruhkan memperkatakan itu dan ini, banyak soal dan membazir-bazirkan harta (Bukhari dan Muslim).
5. Ja'iz (harus) - "Ubahlah warna rambut ini dengan sesuatu, jauhilah warna hitam' (HR Nasa'I & Abu Daud). Sebahagian ulamak menganggapnya sebagai perintah harus sahaja bukan sunnah.
2) Yang berhubungkait dengan hukum wadh'I
Iaitu sunah yang menjadikan sesuatu itu sebagai sebab, penghalang, syarat, sah, fasid, azimah dan rukhsah.
Contoh sunnah yang menjadi mani' (penghalang) kepada pembunuh menerima warisan seperti sabdanya: "Tiada bagi pembunuh itu warisan." (HR Malik, Ahmad & Ibnu Majah)
Orang yang membunuh bapanya dihalang dari mendapat warisan darinya.
--------------------
Soal: Misalannya dari masuk ketandas hingga memerintah negara. Kalau sekiranya masuk ke tandas pun kita tak ikut apakah kita tergolong dalam golongan yang masuk neraka?
Jawab: Berdasarkan pembahagian di atas, dapat dilihat bahawa jika kita meninggalkan yang:
* Wajib, maka kita akan berdosa
* Mandub, seperti adab masuk tandas, kita tidak berdosa.
* Makruh, kita akan mendapat pahala.
* Haram, kita akan mendapat pahala.
* Harus/ja'iz, tidak berdosa dan berpahala samada buat atau tinggal.
Lebih dahsyat sekali ialah menolak Sunnah sebagai salah satu dari sumber hukum. Inilah yang paling dilaknat oleh Rasulullah s.a.w.
SOAL: apakah semua sunnah yang diajarkan yaitu dari yang kecil sehingga sebesar2nya kita kena ikut?
JAWAB: Yang wajib, wajib diikut. Yang mandub, lebih baik diikut. Yang makruh, lebih baik ditinggalkan. Yang haram wajib ditinggalkan. Yang ja'iz, boleh buat dan boleh ditinggalkan.
Kesimpulan:
-----------
Jadikanlah sunnah sebagai salah satu dari sumber hukum.
Sekian, wallahu a'lam.
Rujukan:
--------
Muhamad Abu Zahrah, Usul al-Feqh
Abdul Wahab Khalaf, Usul al-Feqh
Dr. Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Feqh al-Islami, vol 1
--------
Muhamad Abu Zahrah, Usul al-Feqh
Abdul Wahab Khalaf, Usul al-Feqh
Dr. Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Feqh al-Islami, vol 1
No comments:
Post a Comment