Monday, 7 May 2012

Belajar Yang Salah Untuk Tahu Yang Betul

sidang pembaca yang dirahmati Allah

Ada orang berpendapat dakwah perlu menceritakan perkara yang baik-baik sahaja. Ajak orang solat, ajak orang senyum, ajak orang sedekah dan kempen perkara-perkara baik yang lain. Pokoknya kempen yang baik-baik sahaja.

Dan keyakinan ini juga menyatakan menceritakan perkara yang salah dan buruk akan membuatkan manusia lari dari dakwah. Ini berlaku bukan sahaja pada individu Muslim, sebaliknya turut menjangkiti kelompok-kelompok kaum Muslimin. Sedangkan mereka menyandarkan kelompok mereka kepada Islam dan dakwah.

Dilaporkan seorang tokoh dari sebuah kelompok dikenakan tindakan bahkan dipecat kerana melakukan ‘nahi mungkar’ (mencegah kemungkaran). Ini kerana kelompok tersebut hanya menyeru kepada perkara yang makruf sahaja dan semata-mata.

Kesalahan begini berlaku juga dalam metod pendidikan. Ada orang yang mengaku pakar pendidikan atau pakar psikologi mendakwa bahawa anak-anak tidak boleh dilarang-larang. Kerana, menurut mereka semakin ‘semakin dilarang, semakin dibuat’. Ini merupakan satu jarum halus untuk meruntuhkan sistem pendidikan yang diajar dalam Al-Qur’an dan ditunjukkan oleh Nabi melalui sunnahnya. Di dalam bukunya (terjemahan) Mendakwahi Anak (Dasar dan Tahapannya), Dr Fadhl Ilahi menyenaraikan metod pendidikan yang diajarkan oleh Nabi. Beliau bukan sahaja membawakan contoh-contoh perintah yang diberikan oleh Nabi kepada anak-anak, bahkan beliau juga membawakan banyak contoh larangan dan cegahan Nabi kepada anak-anak kecil yang berada disampingnya.

Prinsip menyatakan yang betul sahaja, jelas bertentangan dengan perintah Allah untuk ‘seru yang baik, cegah yang mungkar’.

Amar Makruf Nahi Mungkar Dalam Akidah

Dalam akidah umat Islam umumnya banyak diajar dengan perkara-perkara yang betul sahaja. Seperti rukun iman 6 perkara, rukun Islam 5 perkara dan rincian-rinciannya (walaupun rincian dan perbahasannya masih banyak boleh dibaiki).

Manakala yang salah dalam akidah tidak diajarkan. Sebagai contoh mudah ada puak yang mengaku Islam mendakwa rukun iman mereka berbeza dengan rukun iman yang diajarkan oleh Jibril as kepada Nabi Muhammad saw. Orang-orang Syiah memasukkan ‘taqiyah’ (berpura-pura) dan ‘imam dua belas sebahagian dari perkara imam yang wajib dipercayai.

Kesan dari mengajarkan hanya perkara yang betul sahaja maka kita lihat muncul dan berkembangnya perkara-perkara salah dalam agama. Dalam akidah perkara salah ialah firqah-firqah sesat dalam Islam. Justeru, tidak hairan di kalangan orang-orang yang ditangkap dan terdakwa menganut ajaran sesat, ada di kalangan mereka punya latar belakang agama (pendidikan formal) yang tidak kalah tinggi. Bahkan ada yang menyandang gelaran pensyarah, doktor dan professor.

Sebagai contoh yang paling hampir dengan kita ialah kes penangkapan lebih 200 penganut ajaran Syiah di Gombak baru-baru ini. Yang ditahan bukan sembarangan orang. Ada yang berpendidikan tinggi. Senario ini sama dengan ajaran-ajaran sesat lain yang berkembang.

Faisal Tehrani dan Syiah

Polemik penangkapan penganut ajaran sesat Syiah menjadi panas dan berlanjutan. Ia menarik perhatian massa untuk memahami dan mengetahui apakah sebenarnya ajaran Syiah. Di tambah pula beberapa figur dalam masyarakat terkait dengan fahaman Syiah ini. Salah seorang yang lantang dan menggelejat seperti cacing kepanasan ialah penulis novel Faisal Tehrani. Beberapa institusi agama dan institusi awam sudah mengambil langkah berhati-hati dengan melarang FT terlibat dengan kegiatan di premis mereka. Dan sudah ada kenyataan dari badan berotoriti dalam agama yang menegaskan betapa kuatnya pengaruh Syiah dalam karya-karya Faisal Tehrani. Dan yang terbaru FT melanjutkan dakyahnya lewat cerpen yang disiarkan  dalam akhbar Mingguan Malaysia dengan tajuk Wikifiqh. Dalam dana kehairanan umat Islam terpinga-pinga tertanya, “mengapa akhir-akhir ini banyak ajaran sesat muncul berleluasa?”

Dan ada juga yang mengeluh, “mengapa ada orang-orang yang terpelajar terpengaruh dengan ajaran sesat seperti Syiah?”

Jawapannya sudah disebutkan oleh Rasul saw dan sudah pun dijelaskan oleh para ulama’ sepanjang zaman.

Di dalam bukunya al-Irsyaad Ila Sahihi Iktiqad (terj. Sudah Benarkah Akidah Kita), Syaikh Dr Soleh Fauzan al-Fauzan menjelaskan, antara tanda-tanda dekatnya kiamat ialah “munculnya golongan yang sesat seperti Khawarij dan Rafidhah.”

Buku-Buku Yang Menjelaskan Syiah dan Akidah Sesat Yang Lain

Buat pencinta ilmu dan orang-orang yang ikhlas mencari kebenaran saya senaraikan beberapa buku-buku yang bermanfaat untuk mengkaji firqah dan golongan sesat dalam Islam.



 

1. Al-Milal Wa Al-Nihal karangan Muhammad bin Abdul Karim Al-Syahrastani (469-548 H/ 1076-1153M). Terjemahan oleh Prof Asywadie Syukur, PT Bina Ilmu Surabaya.

Tidak keterlaluan jika saya katakan buku ini merupakan teks wajib untuk mengkaji kelompok-kelompok pemikiran dalam Islam. Bahkan lebih dari itu ia juga memuatkan kajian terhadap agama dan aliran falsafah yang lain seperti Yahudi, Nasrani, Majusi, Yunani, Brahma dan banyak lagi.

Karangan Syahrastani ini diiktirf sebagai karya yang pertama menyusun kajian agama dan falsafah secara sistematik. UNESCO telah menaja terjemahan buku ini ke dalam bahasa Perancis dengan judul Livre des religions et des sects.

Bab Syiah dibincangkan dalam 40 halaman.

2. Aqaid Firaq Dhallah wa Aqidah Firqah Najiyah (Menyingkap Aliran dan Paham Sesat) karangan Ummu Tamim Izzah binti Rasyad. Terjemahan oleh Sufyan Zaidin Sinaga, Pustaka Imam Ahmad Jakarta.

Ini buku kontemporari. Bab Syiah dibincangkan sebanyak 18 halaman. Pengarang buku ini merupakan anak murid sarjana hadis Syaikh Mustafa al-Adawi dari Mesir.

Baca reviu : http://encikbaca.wordpress.com/2010/12/06/menyingkap-aliran-dan-paham-sesat/

 

3. Mulia Dengan Manhaj Salaf. Karanga Ustaz Yazid bin Abdul Qadir Jawwas, Pustaka At-Taqwa, Jakarta.

Buku ini memberi fokus kepada manhaj salaf. Pada bahagian akhir buku ini dimuatkan beberapa contoh golongan yang sesat seperti Khawarij, Jaringan Islam Liberal, Jamaah Al-Arqam, Syiah, Ahmadiyah, Hizbut Tahrir, Jamaa’h Tabligh dan beberapa lagi.

Yang bagusnya buku ini ialah, pengarang membawa beberapa syubuhat atau kekeliruan yang sering ditimbulkan oleh golongan sesat. Kemudian pengarang membawakan pula jawapan dan bantahan terhadap syubhat tersebut.

4. Kemudian antara buku-buku khusus yang menjelaskan tentang Syiah yang dituliskan oleh Maulana Muhammad Asri Yusof. Beliau dikenali antara orang yang pakar dan sering dirujuk dalam isu Syiah. Buku beliau ialah Pengaruh Syiah dalam Tasawuf dan Tarikat dan Syiah Rafidhah : Di Antara Kecuaian Ulama; dan Kebingungan Umah. Keduanya terbitan Pustaka Basyirah, Kelantan.

Ada beberapa lagi naskah yang menjelaskan tentang golongan sesat dalam Islam khususnya Syiah. Namun, saya masih belum sempat membaca dan menelitinya. Atas dasar amanah ilmu, saya perlu membaca dan menyemak terlebih dahulu kandungannya sebelum dipanjang atau direkomenkan kepada orang lain. Ini kerana sabda Nabi saw yang maksudnya:” seseorang itu sudah dianggap berdusta apabila menyampaikan setiap apa yang dia dengar”( atau tahu sebelum menyemaknya).

Semoga tulisan ini memberi manfaat kepada pembaca.

Wallahua’lam.

sumber-http://ikatkata.wordpress.com/2011/01/10/belajar-yang-salah-untuk-tahu-yang-betul/

1 comment:

  1. Mulia dgn manhaj salaf karangan yazid jawwas. Knp tuan tak tuliskan sama antara yg disesatkan oleh yazid jawwas ialah golongan asyaariah dan almaturidiyah(90% muslim)Dah baca buku habis atau sengaja menukil separuh separuh. Yazid jawwas tu wahabi totok indo. Tuan siapa ya..?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...