Wednesday, 13 June 2012

Ambil visa dari Yahudi untuk ziarah Masjid al-Aqsa?


Akhir-akhir ini terdapat beberapa syarikat pelancongan yang menawarkan lawatan ke Masjid al-Aqsa. Dan pastinya tawaran itu mendapat sambutan daripada kalangan umat Islam yang berada dengan segala senang hatinya tanpa berfikir dan bertanya pandangan Islam mengenainya. Mereka menganggap ini satu peluang keemasan untuk menziarahi masjid yang digalakkan oleh Nabi s.a.w. sendiri supaya menziarahinya.

Sebagai memenuhi amanah ilmu, ana turunkan di sini perbahasan para ilmuan mengenai hukum menziarahi al-Quds khususnya Masjid al-Aqsa pada masa kini, yang dikupas oleh Dr. Anas Jarrab (PhD. Jami’ah al-Ulum al-Islamiyyah, takhassus Fiqh wa Usul Fiqh).

Menurut beliau, berlaku perselisihan pendapat yang agak sengit di kalangan ulamak berhubung persoalan ini. Ada yang berpendapat harus dan ada juga yang mengatakan haram. Setiap golongan mengemukakan hujah serta dalil masing-masing.

Hujah golongan yang mengatakan harus:

Golongan ini berpendapat harus bagi seseorang muslim menziarahi al-Quds dan Masjid al-Aqsa dengan mengambil visa dari kedutaan Israel. Antara alasan yang mereka bawa ialah:

1. Qias kepada ziarah Mekah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. yang mana Mekah ketika itu berada di bawah penguasaan Musyrikin Quraisy. Sedia maklum bahawa kaum Quraisy memerangi Nabi s.a.w. Mereka menguasai tempat paling suci di muka bumi ini, iaitu Bait-Allah al-Haram. Sekiranya perbuatan ziarah itu haram, sudah tentu Rasulullah s.a.w. tidak akan melakukannya.
2. Ziarah boleh membantu rakyat Palestin dengan memberikan sokongan material dan moral, lebih-lebih lagi kepada mereka yang menetap di al-Quds. Ini dapat meningkatkan semangat juang serta ketabahan mereka menentang musuh.
3. Perkongsian isu Palestin, khususnya isu al-Quds. Melalui lawatan dapat menzahirkan ikatan umat Islam dengan Bandar suci ini dan mendorong mereka mengambil berat mengenainya lebih daripada sebelumnya.
4. Ziarah sama sekali tidak bermakna mengiktiraf Negara Yahudi. Bahkan sekadar mengambil kebenaran masuk demi mencapai maslahah yang lebih besar, iaitu memelihara kesucian al-Quds dan meramaikan umat Islam di sana.
5. Qias kepada rakyat Palestin yang berada di dalam Palestin itu sendiri, di mana mereka masuk dan keluar al-Quds di bawah pengawasan Israel. Dan tidak ada seorang ulamak pun yang mengatakan keluar masuknya mereka itu haram.
6. Meraih pahala yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w. melalui sabda baginda yang bermaksud: “Jangan kamu bersusah payah bermusafir kecuali untuk mengunjungi tiga masjid; Masjid aku ini, Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa.” At-Tirmizi.

Dalil golongan yang mengatakan haram:

Golongan ini berpendapat tidak harus menziarahi Masjid al-Aqsa dengan mengambil visa daripada penjajah Israel atau kedutaan mereka. Dalil mereka ialah:

1. Sesungguhnya Allah Ta’ala melarang kita bekerjasan dengan musuh dan menolong mereka. Allah berfirman maksudnya: “… dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan…” (Al-Maidah:2). Masuk ke dalam al-Quds dan Masjid al-Aqsa dengan mengambil visa daripada mereka bererti kita menolong Yahudi dari segi material dengan membayar harga visa dan lain-lain. Dari segi moral juga memberi keuntungan kepada mereka dengan menunjukkan bahawa mereka membenarkan umat Islam masuk untuk ziarah Masjid al-Aqsa. Ini jelas merupakan satu bentuk tolong menolong dalam perkara dosa.
2. Sesungguhnya mengiktiraf rejim Yahudi adalah haram sebagaimana diputuskan oleh jumhur ulamak. Mengambil visa daripada mereka bererti kita memperakui kewujudan dan keabsahan kedutaan mereka. Dengan itu secara langsungnya kita mengiktiraf keabsahan kewujudan rejim mereka serta kekuasaannya di atas bumi umat Islam.
3. Palestin kini sedang dijajah. Kewajipan kita adalah membebaskan dan membersihkannya dari penjajahan. Sekiranya kita tidak mampu membebaskannya, maka lebih utama kita memboikot pihak yang menjajahnya, bukan dengan cara kita masuk ke dalam kedutaan mereka dan meminta izin daripada mereka untuk masuk, kemudian mereka yang menentukan sama ada kita boleh masuk atau tidak.
4. Masuk ke dalam keduataan Israel kemudian ke bumi Palestin menjadikan itu satu kebiasaan yang akan menjadikan orang berasa tidak salah lagi Yahudi menjajah bumi itu. Apa lagi segolongan besar mereka yang dapat masuk itu mengambil kesempatan pula menziarahi penempatan haram mereka seperti Tel Aviv, Haifa, Netanya, dan Kaisarea. Ini bererti suatu perkara yang mungkar dan keji.

Perbahasan dan tarjih (pemilihan pendapat yang paling tepat):

Pada hakikatnya, masalah ini tidak boleh dilihat dari satu sudut sahaja. Sebaliknya mesti dilihat dari semua sudut;
- dari sudut fiqh al-waqi’ (fiqh reality) di mana kita bercakap tentang reality yang dihadapi oleh umat Islam masa kini, bukan masa lampau
- dari sudut fiqh al-muwazanat yang bermaksud mengkaji maslahah (kebaikan) dan mafsadah (kerosakan) yang timbul daripada perkara ini (ziarah) kemudian mendahulukan mana yang lebih utama daripada keduanya (maslahah dan mafsadah). Al-Qarafi, di dalam kitabnya “Al-Furuq” berkata: “Maka sesungguhnya suruhan-suruhan Syarak berdasrkan maslahah yang murni atau benar-benar jelas (khalisah dan rajihah). Dan larangan-larangannya berdasarkan mafsadah yang khalisah dan rajihah.
- Isu ini juga berkaitan dengan fiqh al-maalat, iaitu mengambil kira natijah dan kesudahan selepas sesuatu tindakan yang kita lakukan. Dalam hal ini, Ibn al-Qayyim berkata di dalam kitabnya “I’lam al-Muwaqqa’een” : “Oleh kerana maqasid (matalamat) tidak boleh dicapai kecuali dengan sebab serta jalan-jalan yang menyampaikan kepadanya, maka sebab-sebab dan jalan-jalan itu mengikut matalamat yang hendak dicapai itu (dari segi hukumnya)”. Imam asy-Syatibiy, di dalam kitabnya “Al-Muwafaqat” berkata: “Dan melihat kepada maal (apa yang akan terjadi akhirnya) sesuatu perbuatan adalah sesuatu yang dituntut dan dan diberi perhatian oleh Syarak, sama ada maal itu bersesuaian atau bercanggah dengannya”.

Oleh itu, apabila kita melihat isu ini secara sempurna dan menyeluruh kita mentarjihkan pendapat yang mengatakan haram berdasarkan hujah-hujah yang dibentangkan oleh golongan ini. Pihak yang mengatakan harus, berpegang kepada maslahah yang diharap akan berlaku, sedangkan pihak yang mengatakan haram mengingatkan mafsadah yang akan berlaku. Para ulamak telah menjelaskan bahawa apabila bertentangan antara mafsadah dengan maslahah, mestilah didahulukan dengan menolak atau mengelak mafsadah. Hal ini disebut oleh Ibn Nujaim al-Hanafiy di dalam kitabnya “al-Asybah wa an-Nadzair”: “Menolak mafsadah lebih diutamakan daripada menarik maslahah. Maka apabila berlawanan antara mafsadah dan maslahah, dahulukan menolak mafsadah”.

Maka bagaimana kalau mafsadah yang akan timbul lebih besar daripada maslahah yang diharapkan? Tentulah menolaknya lebih utama. Al-‘Izz bin Abdus-Salam berkata di dalam kitabnya “Qawaed al-Ahkam”: “Sekiranya mafsadah lebih besar daripada maslahah, kita tolak mafsadah dan tidak perlu peduli dengan hilangnya maslahah”.

Menolak hujah golongan yang mengatakan harus:

1. Qias kepada Nabi menziarahi Mekah untuk menunaikan umrah adalah qias ma’a al-fariq, iaitu qias sesuatu perkara kepada sesuatu yang berbeza dengannya. Kaum Quraisy bukan penjajah kora Mekah. Sebaliknya mereka adalah penduduk tempatan sejak berzaman. Mereka bukan datang dari serata pelusuk dunia untuk menguasai Mekah. Berbeza dengan Yahudi yang menjajah bumi Palestin dengan menggunakan kekerasan, menghalau dan mengusir penduduk asal secara zalim dan tidak bermaruah.

2. Adapun alasan membantu rakyat Palestin dengan bantuan material dan moral, boleh dilakukan dengan menyalurkan bantuan melalui jalan-jalan yang sah dan dipercayai. Dari segi sokongan moral pula, boleh dilakukan dengan mendokong isu Palestin, memberi kesedaran, menyebarkan kefahaman mengenainya dengan pelbagai cara yang sah. Ini boleh meningkatkan sokongan dunia dan mengambil berat mengenainya.

3. Kata-kata bahawa mengambil visa tidak bererti mengiktirah Yahudi adalah bercanggah dengan reality. Sedia maklum bahawa kedutaan adalah satu pengiktirafan kepada kewujudan sesebuah Negara. Masuk ke dalam kedutaan dan ambil visa adalah satu bentuk pengiktirafan kepadanya. Lebih-lebih lagi apabila kita mengambil visa bererti kita kena hormat undang-undang mereka dan tidak boleh melakukan perkara yang boleh menyentuh kepentingan mereka. Ini tentunya bercanggah dengan ajaran agama kita. Bagaimana kita boleh mengiktiraf ketuanan mereka di atas bumi umat Islam? Bagaimana kita reda berjanji tidak akan mencemarkan keselamatan mereka di atas bumi Palesti pada hal jihad menentang mereka adalah fardu ain?

4. Adapun qias kepada orang dalam Palestin yang keluar masuk itu juga qias ma’a al-fariq. Orang Palestin berinteraksi dengan Yahudi adalah berdasarkan fiqh al-waqi’ dan fiqh adh-dharurah. Mereka tidak boleh keluar dari rumah mereka dan tidak boleh mendapatkan apa-apa dokumen kecuali dengan izin Yahudi. Untuk mereka ada hukum khas yang tidak boleh disamakan dengan muslimin yang tidak berada di bawah penjajahan. Qaedah Fiqhiyyah menegaskan bahawa: “Sesuatu perkara itu apabila telah sempit akan diluaskan” dan “Dharurat (keterpaksaan) mengharuskan yang dilarang”. Maka qaedah ini diaplikasikan ke atas orang Palestin. Ia tidak boleh diaplikasikan ke atas orang lain yang tinggal di luar kerana mereka tidak terperangkap di dalam belenggu penjajahan.
5. Adapun hujah untuk mendapat pahala, maka kita boleh mendapatkannya dengan ziarah al-Haramain (Mekah dan Madinah). Di situ pahalanya lebih berganda-ganda lagi berbanding dengan al-Quds. Di samping itu maslahah yang umum, iaitu tidak bekerjasama dengan Yahudi dan memboikot mereka lebih diutamakan daripada maslahah khusus yang diperolehi oleh individu tertentu daripada ziarah itu.

Dengan ini jelaslah kepada kita kekuatan hujah pihak yang mengatakan haram berbanding dengan pihak yang mengatakan harus ambil visa dari Yahudi untuk ziarah Masjid al-Aqsa.

والله تعالى اعلم

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...