Tuesday, 19 June 2012

sebuah dialog: pelbagai rumusan..........

Kisah Utbah bin Rabi'ah.

Utbah Bin Rabiah merupakan salah seorang tokoh di dalam kaum Quraisy yang menentang dakwah yang dibawa oleh Nabi salallahu alaihi wasallam dan para pengikutnya. Beliau juga mempunyai ikatan kekeluargaan dengan Nabi salallahu alaihi wasallam.

 

Sudah sekian lama Utbah bin Rabiah menyimpan niat supaya Nabi salallahu alaihi wasallam berhenti dari berdakwah. Pada suatu hari, Nabi Muhammad salallahu alaihi wasallam sedang bersendirian di Masjidil Haram, kesempatan ini telah digunakan oleh Utbah untuk memujuk Nabi bagi menghentikan dakwah baginda. Utbah telah pergi menemui Nabi salallahu alaihi wasallam seraya berkata ; “Wahai saudaraku, engkau adalah orang yang terpandang dan berasal dari keluarga yang dihormati, akan tetapi engkau telah membawa masalah besar di dalam kaum mu dengan memecahbelahkan perpaduan mereka.

 

Dengar dengan teliti, aku mahu mengajukan usul dan tawaran kepada mu. Fikirkan dengan bersungguh-sungguh dan aku harap engkau mempersetujuinya. Sekiranya engkau tidak mempersetujui kesemuanya mungkin sebahagian daripadanya juga sudah cukup.”

Nabi pun menjawab, “Baiklah, sampaikan apakah tawaran mu itu ?”

 

Utbah pun menyampaikan usul dan tawarannya, “Wahai saudaraku ! sekiranya engkau melakukan dakwah mu ini kerana mahu mendapatkan harta kekayaan, kami sanggup mengumpulkan sebahagian daripada harta kekayaan kami dan akan kami serahkan kepadamu sehingga engkau menjadi antara orang yang terkaya di antara kami.

 

Sekiranya engkau mengidamkan kehormatan dan pangkat/kekuasaan daripada dakwahmu ini, kami mampu menjadikan engkau sebagai pemimpin kami dan menurut segala keputusanmu. Ataupun engkau mahu menjadi raja kami? Kami juga boleh mengangkatmu menjadi raja kami?

 

Sekiranya apa yang membuatkan engkau melakukan dakwah ini adalah daripada penguasaan jin yang berada di dalam tubuhmu dan engkau tidak dapat melepaskan diri daripada penguasaan jin tersebut, kami sanggup mencari dukun atau tabib yang mampu menyembuhkanmu. Berapa tinggi pun biaya perubatannya kami sanggup menanggungnya.”

 

Nabi Muhammad salallahu alaihi wasallam pun menjawab “Dengarkan pula kata-kataku, wahai saudaraku !”

Utbah pun berkata, “Baiklah, aku mahu mendengarkannya!”

 

Nabi salallahu alaihi wasallam pun membacakan ayat Al-Quran, iaitu surah Fussilat dari awal dan apabila tiba di ayat yang ke 13 yang bermaksud, “ Sekiranya mereka berpaling katakan, ‘Aku memperingatkan kamu dengan petir seperti petir yang menimpa kaum A’ad dan kaum Tsamud.’ “ Wajah Utbah menjadi pucat kerana takut dan meminta baginda menghentikan bacaannya.

 

Tanpa menghiraukan ketakutan yang melanda Utbah, Nabi salallahu alaihi wasallam terus membacakan surah Fussilat sehingga ayat 37, Utbah menjadi semakin takut dan akhirnya pergi meninggalkan Nabi salallahu alaihi wasallam dengan wajah yang pucat lesi.

Sekembalinya Utbah kepada kaumnya, para pemimpin Quraisy kehairanan dan tertanya-tanya, apakah yang terjadi kepada Utbah.

 

Utbah menjelaskan kepada mereka, “Aku mendengarkalimat-kalimat yang belum pernah aku dengar selama ini, bukan syair dan bukan mentera dukun. Percayalah kepadaku dan biarkanlah sahaja Muhammad itu. Lebih baik kita menghindarinya dan aku yakin kata-katanya itu kelak akan menjadi berita yang besar. Sekiranya nanti dia memperoleh kemenangan, kerajaannya itu bererti kerajaan kita semua, kerana kita adalah kaum Quraisy. Semoga kita berbahagia dibawah pimpinannya.”

 

Mendengar kata-kata Utbah itu, para pembesar Quraisy berteriak, “Kamu terkena sihir Muhammad, wahai Utbah!”

Utbah menjawab, “Terserah kepada apa yang kamu mahu katakan berkaitan dengan diriku.”

 

ULASAN SAYA:

Semua kita telah tahu kisah dialog di atas antara Rasul salallahu alaihi wasallam dengan Utbah bin Rabiah (pembesar Quraisy).Di antara isi dialog ialah apa yang telah di bold merah itu untuk saya membuat rumusan.

Sesetengah orang tabligh melihat dialog itu sebagai dalil menunjukkan Nabi salallahu alaihi wasallam tidak inginkan kekuasaan dan pangkat.Lalu mereka setkan dalam fikiran bahawa islam tidak ditegakkan dengan kekuasaan dan pengaruh.Sebaliknya hanya dengan seruan dakwah iman kepada Allah semata.

 

Adakah kefahaman ini betul?? 

 

Kesilapan Tabligh dalam menilai dialog tersebut ialah kerana tidak melihat objektif kepada tawaran tersebut.Begitu juga dengan sifat Utbah bin Rabiah itu sendiri menawarkan tawaran itu atas kapasiti apa....??

Adalah penting sekali apabila seorang hakim itu hendak menjatuhkan hukum,mengadili dan menilai hujjah para peguam melihat dari sekecil-kecil perkara hingga kepada yang besar sebelum hukum di jatuhkan.

 

Begitulah juga apabila kita menilai dialog di atas perlu melihat kepada punca,sebab,tujuan dan yang seumpamamya sebelum kita mengatakan pendirian kita.Jangan kita berpada dengan hanya membaca teks dialog tersebut secara harfiah lalu terus memberi "fatwa" (islam tidak ditegakkan dengan politik).

 

Dari pengamatan kami,kaedah beginilah kebanyakan orang tabligh praktikkan dalam mereka memahami syariat islam (sejarah nabi,sahabat,ibadah,hukum-hakam dll).Dengan bahasa mudahnya 'mereka faham selapis'.

 

Inilah akibatnya bila mempelajari sejarah hanya berdasarkan kitab dengan membaca sendiri tanpa mempelajari dengan berguru.Sedang sekarang ini telah banyak kitab-kitab sejarah islam telah di tulis para ulama antaranya Fiq al sirah tulisan Dr Said Ramadhan al Bhuti. 


1 comment:

  1. kepada yang berminat mengikuti pandangan orang tabligh berkaitan isu di atas boleh lawat link :

    http://wirapendang.blogspot.com/2011/07/adakah-kuasa-mampu-mengubah-segalanya.html

    Cuba kita perhati komen para penyokong mereka.Amat menyedihkan...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...