Monday, 2 July 2012

Muhasabah Ramadhan

Sidang pembaca yang dirahmati Allah

Rejab sudah pun berlalu. Kini masuk bulan Sya'aban. Lambaian Ramadan hanya tinggal sekitar 20 hari lagi. Belum terlambat untuk kita menceriakan hidup dengan keberkatan Syaaban.

Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili ra, berkata: Rasulullah bersabda, "Apabila masuk bulan Syaaban, (cerialah) dan sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."
Kita munajat dan berdoa seperti doa Rasulullah ketika masuknya Rejab:

 

Inilah doa tiga serangkai yang memadukan kemuliaan ketiga-tiga bulan yang sangat berkat ini. Tiga bulan inilah bulan medan perjuangan pejuang untuk membina jati diri, membentuk sahsiah dan memupuk kebersihan hati.

Selari dengan erti Syaaban iaitu berpecah-pecah atau berpuak-puak.
Pada zaman Jahiliyah, masyarakat Quraisy terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir. Dan apabila Rasulullah Salallahu alaihi wasallam datang, Baginda mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah Salallahu alaihi wasallam  telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya.

Diantara hadis yang paling masyhur ialah: Rasulullah Salallahu alaihi wasallam  bertanya kepada sahabat-sahabatnya, "Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?" Para sahabat menjawab, "Allah dan RasulNya lebih mengetahui." Sabda Rasulullah Salallahu alaihi wasallam , "Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali."

(Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).


Fadhilat Syaaban

Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan.
Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.
Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:

Memperbanyakkan puasa sunat

 

Memperbanyak doa, zikir dan berselawat

 

kepada Rasulullah

 

Beristigfar/bertaubat


Peristiwa-peristiwa penting di Bulan Syaaban

1. Malam Nisfu Syaaban

Dari Abi Hurairah ra dari Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya : "Telah datang Jibril as pada malam Nisfu Syaaban dan dia berkata, Ya Muhammad, pada malam ini pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka, maka berdirilah dan kerjakan sembahyang lalu angkatlah kepalamu dan kedua tanganmu ke langit!" Kata saya (Nabi Muhammad SAW): "Hai Jibril, apakah erti malam ini ?" Dia (Jibril) menjawab: "Pada malam ini telah dibuka 300 pintu rahmat, maka Allah telah mengampuni orang-orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali ahli sihir, bomoh hitam, orang-orang yang suka permusuhan/pergaduhan, peminum arak, orang-orang yang berbuat zina, pemakan riba, orang-orang yang derhaka kepada kedua orang tua, orang-orang yang suka mengadu domba (batu api) dan orang-orang yang memutuskan tali persaudaraan, maka sesungguhnya mereka itu tidak akan diampuni kesalahannya sehingga mereka mahu bertaubat dan tidak akan mengulang lagi atas perbuatannya itu."

Maka pergilah Nabi Muhammad SAW untuk mengerjakan sembahyang serta menangis di dalam sujudnya dengan membaca: "Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari seksaMu dan murka Mu dan aku tidak menghitung-hitung pujian kepadaMu, sebagaimana Engkau memuji kepadaMu sendiri, maka segala puji bagiMu sehingga Engkau redha." Dipetik dari Kitab Zubdatul Wa'idzin.

2. Penukaran Arah Kiblat

Pada awal diwajibkan perintah solat kepada umat Islam, Rasulullah SAW dan para sahabat berkiblatkan Baitul Muqaddis. Ini telah menjadi satu kontroversi pada waktu itu.
Umat Yahudi telah mendakwa bahawa agama mereka adalah benar dan diredhai oleh Allah SWT kerana umat Islam telah meniru arah ibadat mereka iaitu menghadap Baitul Muqaddis.

Umat Islam telah ditohmah dengan berbagai-bagai tohmahan dan ujian. Para Sahabat RA telah mengadu kepada Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW menyuruh mereka agar terus bersabar dengan ujian itu sehinggalah ada perintah baru dari Allah SWT.

Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha Mendengar tentang apa yang berlaku pada ketika itu. Allah SWT telah mewahyukan agar Rasulullah SAW mengadap ke Baitullah Kaabah.
Sebahagian ulama sirah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menerima wahyu perintah mengadap Baitullah pada 15 Syaaban semasa beliau mengimamkan solat.

Sebahagian ulamak mengatakan pada solat Asar, ada yang mengatakan Maghrib dan ada yang meriwayatkan pada solat Isya'. Rasulullah SAW sebagai imam terus mengadap ke Baitullah dan diikuti oleh para sahabat sebagai makmum.

3. Peperangan Bani Mustaliq (Muraisi')

Bani Mustaliq ialah salah satu puak dari kaum Yahudi. Mereka telah merancang untuk membunuh Rasulullah SAW dan berita ini disampaikan kepada Rasulullah SAW oleh seorang sahabat dari puak badwi.

Peperangan ini adalah turutan dari peperangan bani Quraizah, kaum yahudi yang telah dihalau oleh Rasulullah SAW keluar dari Madinah.
Peristiwa ini terjadi pada bulan Syaaban, 5H. Pasukan kaum muslimin dapat melumpuhkan pasukan Bani Mustaliq.

Sebagian pasukan Bani Mustaliq ada yang ditawan, termasuklah salah seorang puteri pemuka Bani Mustaliq yaitu Barrah, yang nama lengkapnya adalah Barrah binti al-Harris bin Dirar bin Habib bin Aiz bin Malik bin Juzaimah Ibnu al-Mustaliq. Al-Harris bin Dirar, ayah Barrah adalah pemimpin Bani Mustaliq.

Barrah telah menjadi tawanan perang milik Sabit bin Qais. Disebabkan Barrah ini seorang perempuan yang cerdik, ia meminta untuk dibebaskan dari Sabit bin Qais, setelah diadakan pembicaraan, Sabit bin Qais meminta tebusan yang mahal.

Tetapi, Barrah waktu itu langsung menemui Rasulullah SAW untuk membicarakan masalah tebusan bagi dirinya.
Kemudian Rasulullah SAW pada waktu itu menyetujui membebaskan Barrah dan menebusnya dari Sabit bin Qais dan terus menikahi Barrah dan Rasulullah SAW mengganti nama Barrah menjadi Juwairiyah.

Tindakan Rasulullah SAW ini telah memberi banyak faedah kepada umat Islam ketika itu, diantaranya ialah ramai dikalangan Bani Mustaliq yang memeluk Islam dan terpadamnya dendam permusuhan di antara umat Islam dan Bani Mustaliq.
Juwairah meninggal dunia pada tahun 56H.

 

Kesimpulan


Kesilapan umat islam dalam menanti-nanti kedatangan bulan Ramadhan adalah apabila mereka mengabaikan dua bulan sebelum itu iaitu Rejab dan Syaaban.Semua orang tahu akan kemulian,keagungan dan kelebihan Ramadhan sebagai penghulu segala bulan tetapi sangat sedikit yang memahami dan membuat persediaan rapi untuk menyambut kedatangan bulan suci tersebut.

 

Sebagai contoh adalah umpama orang yang hendak mengerjakan kemuncak rukun islam iaitu ibadah Haji di Baitullah.Persediaan awal telah dibuat setahun sebelum itu bahkan mungkin lebih dengan meyimpan wang,menjaga kesihatan,membeli barang keperluan,menghadiri kursus haji bersiri dan lain-lain lagi.

Begitu pula ibu bapa yang ingin menikahkan anaknya juga akan membuat persiapan awal sekurangnya 2 bulan sebelum hari pernikahan dengan  pelbagai persiapan seperti tempahan baju,kad jemputan,bahan mentah untuk santapan dan 1001 macam lagi.

Tetapi untuk menyambut bulan yang paling agung dan mulia seperti Ramadhan,persiapan semeriah itu hampir tidak  kita temui dalam jiwa umat islam mutakhir ini. Setakat ini belum saya jumpa masjid/surau atau secara individu memasang banner  dengan perkataan “AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN KARIM”

 

Atau ayat lain yang seumpamanya.Dari sudut individu pula persiapan dari segi rohani juga tidak di titik beratkan oleh umat islam kini seperti  melaksanakan puasa sunat,qiamulail,membaca al quran secara istiqomah dan ibadat sunat yang lain bagi meningkatkan kekuatan rohani dan taqqarrub kepada Allah.

 

Cuba kita perhatikan bagaimana Allah memberikan contoh kepada kita bagaimana persediaan yang Allah lakukan kepada Nabi Muhammad salallahu alaihi wasallam sebelum Baginda di bawa naik ke langit (israk mikraj).Untuk menyambut atau menempoh satu kemulian@Anugerah dari ALLAH perlu persediaan dari segi rohani terutamanya (kekuatan iman) agar najitah yang terhasil daripada itu akan mendatangkan manfaat untuk diri kita sendiri.

 

Sebahagian ulama ada menyatakan bahawa ‘BARANGSIAPA YANG INGINKAN  MANFAAT 100% DARIPADA RAMADHAN MAKA HENDAKLAH IA MEMULIAKAN REJAB DAN SYAABAN DENGAN AMALAN-AMALAN SUNAT YANG TELAH DI ANJURKAN OLEH RASUL SALALLAHU ALAIHI WASALLAM”.

 

Mudah-mudahan dengan kita memuliakan Rejab dan Syaaban adalah tanda kita mengharapkan dan menyambut kedatangan Ramadhan dengan penuh kecintaan dan keredhaan seperti yang di jelaskan oleh sebuah hadith :

Sabda Rasulullah Salallahu alaihi wasallam dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud :
"Barangsiapa merasa gembira dengan sebab kedatangan bulan Ramadhan nescaya Allah Taala mengharamkan jasadnya daripada api neraka".

Di antara tanda orang itu gembira dengan kehadiran Ramadhan ialah ia telah bersiap-siap sejak bulan Rejab lagi dengan amalan-amalan sunat.

Wallahu’alam

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...