Saturday 23 March 2013

Allah Mengangkat Ilmu Dengan Mematikan Ulama



Sidang pembaca yang dirahmati Allah

Kita telah kehilangan sebutir lagi permata berharga apabila seorang ulama terbaik zaman kini telah menemui ajalnya sebagai syuhada dalam serangan oleh pihak yang belum di kenal pasti.Al'alim Al`Allamah Asy Syaikh Said Ramadlan Al Buthi rahimahullahuta'ala ketika beliau mengisi Ta’lim di Masjid Al Iman di Kota Damsyiq, Syria, selepas maghrib Khamis, 21 Mac 2013. Beliau Syaikh Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buthi adalah salah seorang tokoh ulama dunia yang menjadi sumber rujukan masalah-masalah keagamaan.

Ketika kritikan terhadap tradisi Maulid dan zikir berjama’ah, misalnya, dilontarkan para pendakwa “muslim sejati”, al-Buthi hadir menjawab kritikan itu. Malah, dalil yang digunakan sama sepertimana dalil yang diperhujahkan para pengkritik itu.

Pada sisi lainnya, beliau juga mengkritik dengan tajam pola pemikiran Barat. Hujah-hujahnya membuat stereotip yang negatif terhadap Islam dan ketimuran pun luput.

Siapakah tokoh ulama kontemporer yang begitu alim ini? Sa’id Ramadhan Al-Buthi lahir pada tahun 1929 di Desa Jilka, Pulau Buthan (Ibn Umar), sebuah kampung yang terletak di bagian utara perbatasan antara Turki dan Iraq. Beliau  berasal dari suku Kurdi, yang hidup dalam tekanan kekuasaan Arab Iraq selama berabad-abad.

Bersama ayahnya, Syaikh Mula Ramadhan, dan anggota keluarganya yang lain, Al-Buthi berhijrah ke Damsyiq pada ketika umurnya memasuki empat tahun. Ayahnya merupakan figure yang amat dikaguminya.

Pendidikan daripada sang ayah sangat membekas dalam kehidupan intelektualnya. Ayahnya memang dikenal sebagai seorang ulama besar di Damsyiq. Bukan saja pandai mengajar murid-murid dan masyarakat di kota Damsyiq, Syaikh Mula juga seorang ayah yang memberikan sepenuhnya perhatian dan tanggung jawab bagi pendidikan anak-anaknya.

Dalam karyanya yang mengupas biografi kehidupan sang ayah, Al-Fiqh al-Kamilah li Hayah asy-Syaikh Mula Al-Buthi Min Wiladatihi Ila Wafatihi, Syaikh Al-Buthi mengurai awal perkembangan Syaikh Mula dari masa kanak-kanak hingga masa remaja ketika turut berpe-rang dalam Perang Dunia Pertama. Kemudian menceritakan pernikahan ayah¬nya, berangkat haji, hingga berhijrah ke Damsyiq, yang kemudian harinya menjadi titik awal kehidupan baru bagi keluarga asal Kurdi itu.

Masih dalam karyanya ini, Al-Buthi menceritakan kesibukan ayahnya dalam belajar dan mengajar, menjadi imam dan berdakwah, pola pendidikan yang diterapkannya bagi anak-anaknya, ibadah dan kezuhudannya, kecintaannya kepada orang-orang salih yang masih hidup maupun yang telah wafat, hubungan baik ayahnya dengan para ulama Damsyiq di masa itu, seperti Syaikh Abu Al-Khayr Al-Madani, Syaikh Badruddin Al-Hasani, Syaikh Ibrahim Al-Ghalayayni, Syaikh Hasan Jabnakah, dan lainnya, yang menjadi mata rantai tabarruk bagi Al-Buthi. Begitu besarnya atsar (pengaruh) dan kecintaan sang ayah, hingga Al-Buthi begitu terpacu untuk menulis karyanya tersebut.




Dari Damsyiq ke Kaherah

Sa’id Ramadhan Al-Buthi muda menyelesaikan pendidikan menengahnya di Institut At-Tawjih Al-Islami di Damsyiq. Kemudian pada tahun 1953 ia meninggalkan Damsyiq untuk menuju Mesir demi melanjutkan studinya di Universiti Al-Azhar. Dalam tempoh dua tahun, beliau berhasil menyelesaikan pendidikan sarjana S1 di bidang syari’ah. Pada tahun berikutnya di Universiti yang sama, ia mengambil kuliah di Fakulti Bahasa Arab hingga lulus dalam waktu yang cukup singkat dengan sangat memuaskan dan mendapat izin mengajar bahasa Arab.

Kemahiran Al-Buthi dalam bahasa Arab tak diragukan. Sekalipun bahasa ini adalah bahasa ibu orang-orang Arab seperti dirinya, sebagaimana bahasa-bahasa terkemuka dalam khazanah peradaban dunia, ada orang-orang yang memang dikenal kepakarannya dalam bidang bahasa, dan Al-Buthi adalah salah satunya yang menguasai bahasa ibunya tersebut. Di samping itu, kecenderungan kepada bahasa dan budaya membuatnya senang untuk menekuni bahasa selain bahasa Arab, seperti bahasa Turki, Kurdi, bahkan bahasa Inggeris.

Lulusnya dari Al-Azhar, Al-Buthi kembali ke Damsyiq. Ia diminta untuk membantu mengajar di Fakulti Syari’ah pada tahun 1960, hingga berturut-turut menduduki jabatan pentadbiran, bermula dari pengajar tetap, menjadi wakil dekan, hingga menjadi dekan di fakulti tersebut pada tahun 1960.



Barisan Ulama yang setia bersama-sama al-Syahid al-Buti melawan konspirasi jahat pihak asing terhadap Syria


Lantaran keluasan pengetahuannya, beliau diberi kepercayaan untuk memimpin sebuah lembaga penyelidikan theologi dan agama-agama di Universiti yang berpusat di Timur Tengah itu.

Tak lama kemudian, Al-Buthi dipilih pimpinan rektorat kampusnya untuk melanjutkan program doktoral bidang usul syari’ah di Al-Azhar hingga lulus dan berhak mendapatkan gelaran doktor di bidang ilmu-ilmu syari’ah.

Aktivitinya sangat padat. Beliau aktif mengikuti pelbagai seminar dan persidangan peringkat antarabangsa di pelbagai negara di Timur Tengah, Amerika, mahupun Eropa. Hingga sebelum kematian beliau, masih menjawat jawatan sebagai salah seorang anggota di lembaga peneli-tian kebudayaan Islam Kerajaan Jordan, anggota Majlis Tertinggi Penasihat Yayasan Thabah Abu Dhabi, dan anggota di Majlis Tinggi Senat di Universiti Oxford Britain.

Penulis yang Sangat Produktif

Al-Buthi adalah seorang penulis yang sangat produktif. Karyanya menca¬pai lebih dari 60 buah, meliputi bidang syari’ah, sastra, falsafah, sosial, masalah-masalah kebudayaan, dan lain-lain. Beberapa karyanya yang dapat disebutkan di sini, antara lain, Al-Mar‘ah Bayn Thughyan an-Nizham al-Gharbiyy wa Latha‘if at-Tasyri’ ar-Rabbaniyy, Al-Islam wa al-‘Ashr, Awrubah min at-Tiqniyyah ila ar-Ruhaniyyah: Musykilah al-Jisr al-Maqthu’, Barnamij Dirasah Qur‘aniyyah, Syakhshiyyat Istawqafatni, Syarh wa Tahlil Al-Hikam Al-‘Atha‘iyah, Kubra al-Yaqiniyyat al-Kauniyyah, Hadzihi Musykilatuhum, Wa Hadzihi Musykilatuna, Kalimat fi Munasabat, Musyawarat Ijtima’iyyah min Hishad al-Internet, Ma’a an-Nas Musyawarat wa Fatawa, Manhaj al-Hadharah al-Insaniyyah fi Al-Qur‘an, Hadza Ma Qultuhu Amama Ba’dh ar-Ru‘asa‘ wa al-Muluk, Yughalithunaka Idz Yaqulun, Min al-Fikr wa al-Qalb, La Ya‘tihi al-Bathil, Fiqh as-Sirah, Al-Hubb fi al-Qur‘an wa Dawr al-Hubb fi Hayah al-Insan, Al-Islam Maladz Kull al-Mujtama’at al-Insaniyyah, Azh-Zhullamiyyun wa an-Nuraniyyun.



 Gaya bahasa Al-Buthi istimewa dan menarik. Tulisannya kaya dengan tema-tema yang dibawanya. Tulisannya tidak tersasar dan keluar dari akar permasalahan dan kaya akan sumber-sumber rujukan, terutama dari sumber-sumber rujukan yang juga diambil lawan-lawan debatnya.

Akan tetapi bahasanya ada kalanya tidak dapat dipahami dengan mudah oleh kalangan bukan pelajar, disebabkan unsur falsafah dan mantiq, yang memang merupakan kepakarannya. Oleh kerana itu, majlis dan halaqah yang diasakannya di pelbagai tempat keramaian kota Damsyiq menjadi sarana untuk memahami karya-karyanya.

Walau demikian, sebagaimana dituturkan pecinta Al-Buthi, di samping mampu membedah logik, kata-kata Al-Buthi juga sangat menyentuh hati, sehingga mampu membuat pembacanya berurai air mata.

 Pembela Mazhab yang Empat

Syaikh Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buthi membina halaqah pengajian di masjid Damsyiq dan beberapa masjid lainnya di sekitar kota Damsyiq, yang dijalankan hampir setiap hari. Majlis yang dipimpinnya selalu dihadiri ribuan jama’ah, laki-laki dan perempuan.

Selain mengajar di berbagai pusat pengajian, beliau juga aktif menulis di berbagai media massa tentang tema-tema keislaman dan hukum yang asing, di antaranya berbagai pertanyaan yang diajukan kepadanya oleh para pembaca. Ia juga menyemarakkan program dialog keislaman di beberapa stesyen televisyen dan radio di Timur Tengah, seperti di Iqra‘ Channel dan Ar-Risalah Channel.

Tokoh Pembela Ahlu Sunnah Waljamaah

Dalam hal pemikiran, Al-Buthi dianggap sebagai tokoh ulama Ahlussunnah wal Jama’ah yang lantang membela konsep-konsep Mazhab yang Empat dan aqidah Asy’ariyah, Maturidiyah, Al-Ghazali, dan lain-lain, dari serangan pemikiran dan pengkafiran sebahagian golongan yang menganggap hanya merekalah yang benar dalam hal agama (baca: Salafi Wahabi). Berbekal pengetahuannya yang amat mendalam dan diakui berbagai pihak, beliau masak dengan berbagai permasalahan yang timbul dengan fatwa-fatwanya yang bertabur hujah dari sumber yang sama yang untuk dijadikan dalil para lawan debatnya. Hujah-hujah Al-Buthi juga menyejukkan bagi yang benar-benar ingin memahami pemikirannya.

Al-Buthi bukan hanya seorang yang pandai di bidang syari’ah dan bahasa, ia juga dikenal sebagai ulama Sunni yang multidisiplin. Beliau terkenal dengan kealiman dalam ilmu falsafah dan aqidah, hafizh Qur’an, menguasai ulumul Qur’an dan ulumul hadis dengan cermat. Sewaktu beliau melakukan kritikan keatas pemikiran falsafah materialisme Barat, di sisi lain beliau juga melakukan pembelaan atas ajaran dan pemikiran mazhab fiqih dan aqidah Ahlussunnah, terutama terhadap tuduhan kelompok yang menisbahkan dirinya sebagai golongan Salafiyah dan Wahabiyah.

Dalam hal yang disebut terakhir, ia menulis dua karya yang meng-counter berbagai tuduhan dan dakwaan-dakwaan mereka, yakni kitab berjudul Al-Lamazhabiyyah Akbar Bid’ah Tuhaddid asy-Syari’ah al-Islamiyyah dan kitab As-Salafiyyah Marhalah Zamaniyyah Mubarakah wa Laysat Mazhab Islamiyy. Begitu pula hubungannya dengan gerakan-gerakan Islam seperti Ikhwanul Muslimin Syria yang kelihatan kurang baik, tentunya dengan berbagai perbezaan pandangan, yang menjadikan ketidaksetujuannya itu kelihatan dalam sebuah karya yang berjudul Al-Jihad fi al-Islam, yang terbit pada tahun 1993.


Tawassuth

Di era 1990-an, Al-Buthi telah menampakkan keintelektualannya dengan menggunakan sarana media informasi, seperti televisyen dan radio. Ini demi membawa pemikiran-pemikirannya yang tawassuth (pertengahan) di tengah gerakan-gerakan fundamentalisme Islam yang muncul.

Sayangnya, disebabkan keakrabannya dengan penguasa politik Syria saat itu, Hafizh Al-Asad, menimbulkan sikap dingin di kalangan pemerhati politik. Namun pendekatannya itu menjadi wadah politik Syria dalam menyokong perjuangan Hamas (Harakah al-Muqawamah al-Islamiyah) dalam menghadapi ancaman Israel, sekalipun beberapa pandangannya dicemuh beberapa pihak.

Walaupun di usia yang semakin senja, Syaikh Al-Buthi masih tetap menulis, samada melalui websitenya yang sendiri mahupun beberapa media massa dan elektronik lainnya. Betapa besar harapan umat ini, khususnya kalangan Ahlussunnah wal Jama’ah, menanti karya-karyanya yang lain terlahir, untuk memenuhi dahaga ilmu yang tak pernah habis-habisnya. 

Di mata beberapa ulama dan ustadz-ustadz yang pernah menimba ilmu di Syria, saat ini Al Buthi lebih dikenal sebagai tokoh ulama sufi dibanding tokoh pergerakan. Buku-buku karya Al Buthi banyak beredar di Indonesia dan karyanya banyak menjadi rujukan. Salah satu bukunya berisi kritik terhadap gerakan kelompok Salafy Wahabi berjudul Salafiyyah; Marhalah Zamaniyyah Mubarakah La Mazhab Islami.



 Kata Al-Habib Ali-Al-Jufri "Aku telah menelefonnya dua minggu lepas dan beliau (Dr Ramadhan Al-Buti) berkata pada akhir kalamnya: "Tidak tinggal lagi umur bagi aku melainkan beberapa hari yang boleh dikira. Sesungguhnya aku sedang mencium bau syurga dari belakangnya. Jangan lupa wahai saudaraku untuk mendoakan aku" 

Pada beberapa hari sebelum kewafatannya, beliau berkata "Setiap apa yang berlaku padaku atau yang menuduhku daripada ijtihadku, maka aku harap ia tidak terlepas dari ganjaran ijtihad" (yang betul mendapat dua ganjaran dan yang tidak mendapat satu ganjaran). Semoga Allah senantiasa memberikan ampunan dan Rahmat yang agung kepada beliau, amiin. Rahimahullah ya Syaikhul Syuhada'..

Adalah suatu kedustaan jika ada pihak menambah kata-kata Habib Ali al-Jufri perihal perbicaraannya dengan al-Syahid Dr. Ramadhan menyokong konspirasi kuasa asing ke atas Syria. Lihat juga (link), khutbah terakhir al-Buti (link), respon Mufti Syria (link), dan fatwa seorang Ulama yang mendorong pembunuhan al-Buti (link) serta tuduhan keji seorang Ulama Saudi terhadap al-Buti (link). Adalah perlu jelas di sini, beliau sama sekali tidak bersama dengan kemungkaran rejim diktator Basyar, akan tetapi beliau lebih cenderung untuk menolak campur tangan kuasa asing terhadap Syria.


Al Fatehah.............amin

sumber: http://faizassyirazi.blogspot.com/2013/03/menyoroti-biografi-al-allamah-dr-said.html

1 comment:

  1. Kami menangis bila mendengar berita itu pada pagi jumaat.Sesungguhnya kecintaan kami kepada as syahid al buthi amat mendalam walaupun hanya mentelaah kitab-kitab beliau sahaja yang ada dalam simpanan kami.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...