Tuesday 24 April 2012

PERBEZAAN ANTARA SISTEM SYURA DENGAN SISTEM DEMOKRASI


Dari segi pemilihan khalifah/pemimpin :

Perbezaan dari segi pemilihan pemimpin adalah perbezaan yang paling ketara antara sistem syura dengan sistem demokrasi. Dalam sistem syura pemilihan khalifah atau seseorang yang bakal memimpin negara adalah berdasarkan apa yang telah disarankan oleh Allah S.W.T dalam al-Quran.

Menurut apa terkandung dalam al-Quran seseorang pemimpin itu haruslah mempunyai ciri-ciri atau pun kriteria-kriteria tertentu seperti seorang yang tinggi keimanan dan ketaqwaannya kepada Allah S.W.T, mempunyai ilmu pengetahuan yang luas terutamanya dalam konteks politik atau pemerintahan negara serta dalam konteks ekonomi dan sosial.

Di samping itu juga, seseorang khalifah itu haruslah mempunyai kesihatan fizikal dan mental yang baik, serta mempunyai kemahiran dalam bidang pertahanan negara iaitu kemahiran dalam ilmu peperangan.

Dalam konteks yang berlainan, pemimpin yang dilantik mengikut sistem syura adalah berasaskan kebenaran dan menjauhi sebarang bentuk kebatilan yakni pemimpin yang mempunyai sahsiah dan keperibadian yang baik serta bukan dari kalangan orang yang fasik mahupun munafik.

Ini selaras dengan apa yang disarankan dalam al-Quran yang sering menyuruh umat Islam supaya mengikuti kebenaran dan menjaga kebaikan masyarakat manusia dengan tidak mengambil kira terhadap suara dan kehendak golongan majoriti sebagai ukuran yang boleh diterima terutamanya dari segi pemilihan pemimpin. Firman Allah S.W.T dalam Surah Yunus ayat 32 yang bermaksud :
“Maka tidak ada sesudah kebenaran itu, melainkan kesesatan.”

Dalam ayat yang sama Allah S.W.T berfirman:
Maka apakah orang-orang yang menunjuki kebenaran itu lebih berhak diikuti ataukah orang yang tidak dapat memberi petunjuk kecuali (bila) diberi petunjuk?”

Ini jelas berlainan sama sekali dengan sistem demokrasi yang menjadikan suara majoriti dalam pemilihan pemimpin sebagai asas tanpa mengira sahsiah, akhlak, serta keperibadian pemimpin itu sendiri. Asalkan seseorang itu dicalonkan untuk menjadi pemimpin dan mendapat sokongan majoriti daripada rakyat maka terlantiklah seorang pemimpin yang bukan hanya berasaskan prinsip kebenaran, malah berkemungkinan jelas mentampakkan ia berasaskan kebatilan.

Contohnya seseorang pemimpin itu dilantik adalah bukan kerana kelayakannya dari segi kepemimpinan tetapi berdasarkan pemilikan hartanya yang banyak serta pengaruhnya dalam bidang-bidang tertentu terutamanya pengaruhnya dalam bidang ekonomi membolehkannya dicalonkan dalam pilihanraya. Dengan sogokan yang diberikan kepada rakyat membuatkannya dilantik menjadi pemimpin. Ini jelas menunjukkan kebatilan yang nyata dari segi pemilihan pemimpin dalam sistem demokrasi.

Walaupun tidak dinafikan syarat-syarat yang diperlukan dalam sistem demokrasi untuk seseorang itu boleh dicalonkan untuk bertanding dalam pilihanraya seperti mempunyai latar belakang yang baik dari segi akademik dan peribadi, bukan seorang yang telah disenarai hitamkan dan tidak pernah terlibat dalam sebarang bentuk jenayah atau pernah dipenjarakan namun ia tidak menunjukkan pemilihan pemimpin yang berasaskan kebenaran yang disarankan dalam al-Quran yang menekankan ciri keimanan kepada Tuhan yang menjadi tonggak dan tunjang kepada kepimpinan yang adil, bijaksana dan seumpamanya.

Dalam sistem syura, sebelum seseorang itu dilantik menjadi khalifah, calon khalifah itu sendiri dinilai dalam permesyuaratan ahli-ahli majlis syura. Seterusnya ia dinilai berdasarkan persetujuan seluruh rakyat dan rakyat bebas untuk menerima atau menolak seseorang calon khalifah tersebut. Hak kebebasan rakyat dapat dilihat dengan mengkaji terus ucapan khalifah Abu Bakar as-Siddiq seperti berikut :
"Wahai Manusia, sesungguhnya aku telah dilantik ke atas kamu dan bukanlah aku orang yang paling baik di antara kamu. Kalau aku lemah kamu betulkanlah aku dan kalau aku berbuat baik, kamu tolonglah aku, benar itu amanah dan dusta itu khianat. Yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisiku, sehingga aku mengambil hak daripadanya insya`Allah ...."

Daripada ucapan Khalifah Abu bakar ini terdapat beberapa perkara berkaitan kebebasan politik iaitu perkataan yang menyebut "saya telah dilantik ke atas kamu." Ini menunjukkan hak umat untuk memilih ketua negara. Manakala kata-kata “Bukankah aku orang paling baik di kalangan kamu." Ini menunjukkan ketua negara adalah juga daripada rakyat negara tersebut.

Selain itu, kata-kata seperti "Jika saya lemah kamu betulkanlah saya, jika saya berbuat baik kamu bantulah saya." Ucapan ini pula menunjukkan hak rakyat yang dianggap sebagai pemerhati bagi sesebuah pemerintahan. "Taatilah aku selagi aku taat kepada Allah, apabila aku durhaka kepada Allah dan Rasulnya kamu tidak wajib taat lagi kepada ku." Kenyataan ini pula menunjukkan, bahawa walaupun seseorang pemerintah itu ada mengikut sistem-sistem dalam sesebuah negara namun apabila beliau tidak lagi mengikut lunas-lunas agama Islam maka rakyat tidak perlu patuh kepadanya.

Berbeza sama sekali dalam sistem demokrasi apabila seseorang itu telah dilantik menjadi pemimpin, ia perlu patuh dan taat dalam segenap segi walaupun dalam perkara-perkara kemungkaran dan kemaksiatan. Dalam sistem demokrasi, seseorang pemimpin itu hanya boleh digulingkan dalam pilihanraya dan selagi ia memegang jawatannya, rakyat perlu akur dengan arahan yang dikeluarkan dan hanya boleh mempertikaikannya sekiranya ada sokongan majoriti. 

http://dukeamienerev.blogspot.com


ULASAN SAYA: 

Di dalam organisasi PAS ada Majlis Syura yang akan menapis setiap calon yang akan bertanding dlm PRU yang di anggotai oleh para ulama yang pakar dalam bidang siyasah (politik) dan lain-lain bidang.

Ini bermakna sekiranya PAS di beri peluang menjadi Kerajaan memerintah Malaysia maka sistem Syura ini akan di amalkan dan diletakkan di tempat yang selayaknya.

Masalahnya sekarang kuasa itu belum diberi maka sistem itu masih berada di peringkat parti dan belum dapat dilaksanakan di peringkat negara.

Di atas penerangan ini semoga dapat menjawab anggapan sesetengah golongan yang tidak mahu menyokong PAS di atas sebab tidak memahami kedudukan sebenar "DEMOKRASI VS SYURA" ...bukan "POLITIK VS SYURA"

6 comments:

  1. Perbandingan yang sepatutnya ialah POLITIK VS DIKTATOR.........SYURA VS DEMOKRASI.

    Ini baru betul

    ReplyDelete
  2. Dusta...mana ada PAS tapis calon...Mat Sabu jelas adalah Syiah tapi masih dipilih jadi calon..bahkan jadi Naib Presiden pulak.....demokrasi adalah sistem Yahudi....matlamat tetap tidak akan menghalalkan cara...aku tetap tak akan libatkan diri dengan sistem Yahudi...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau begitu anda juga jgn guna matawang kertas,simpan duit dlm bank dan darah yg mengalir dlm badan anda adalah bersumber drp penggunaan wang kertas yg di cipta oleh yahudi.

      Begitu juga sistem kewangan seluruh dunia guna sistem kapitalis iaitu sistem kafir.kemana anda mahu lari drp terlibat dgn sistem kafir itu??.

      Delete
    2. Dlm perlembagaan Pas jelas menyatakan kuasa majlis syura ulama menapis calon yg akan bertanding.

      Soal kenapa mat sabu boleh jadi calon?
      Kalau seorang rasul boleh lantik org musyrik(kafir) sbg penunjuk jalan dlm peristiwa hijrah,apalah sangat org spt mat sabu yg mengucap syahadah yg mahu melihat hukum Islam ditegakkan.

      Dlm fahaman Aswj selagi seseorang itu tidak menzahirkan penentangan terhadap Islam maka tak salah kita bekerjasama.

      Delete
  3. Maksud sdr pendekatan jemaah tabligh itu relevan dan menepati sunnah rasul saw??

    Mungkin sdr terlupa bahwa ketika periode Mekkah belum muncul golongan MUNAFIK .Golongan itu muncul setelah Islam berkuasa di Madinah.

    Di zaman kini golongan munafik telah menebar dimana-mana termasuk dalam jemaah islam.Jadi untuk mengklimkan periode sekarang adalah periode Mekkah adalah kurang tepat.

    Kami lebih condong untuk mencontohi tindakan para sahabat ketika peristiwa hari kewafatan Rasul saw atau kita katakan periode khulafa ar rasyidin.

    itu lebih relevan untuk zaman kini......

    ReplyDelete
  4. Dalam bab periode ini kami melihat kpd cabaran yang menanti bukan realiti yang menguasai.Untuk mudah faham kami boleh nyatakan iaitu:

    1. ketiadaan daulah khilafah- maka kewajipan utama mengwujudkannya dahulu berdasarkan sistem yg sedia ada tapi dgn syarat diolah menjadi islamik.Dalilnya ialah perbuatan para sahabat menunda pengurusan jenazah Baginda saw utk terlebih dahulu memilih ketua negara walaupun saat itu negara dlm keadaan aman (tiada kes zina,buang anak,hiburan melampau,k-pop,rempit,bohsia dll).

    2. Para sahabat ketika itu tidak menubuhkan jemaah dakwah utk berkeliling Jazirah Arab menyeru manusia arab kpd iman dan amal.dalilnya sebaik sahaja perlantikan Sydna Abu Bakar ra sbg Khalifah telah wujud nabi-nabi palsu yg di ketuai oleh Musailamah dll.Ditambah dgn sebahagian umat islam yg enggan membayar zakat kpd kerajaan.

    Ini menunjukkan bahawa iman umat islam (org awam) ketika itu belum begitu kuat dan kukuh(walhal mereka hidup di zaman sebaik-baik kurun).sekiranya pendekatan jemaah tabligh itu betul nescaya khalifah Abu Bakar akan hanya menghantar jemaah dakwah utk menguatkan iman mereka tetapi sebaliknya yang dihantar ialah ketumbukan tentera jihad untuk mengertak dan menghancurkan golongan tersebut.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...