Tuesday 6 November 2012

Riwayat Hidup Imam An Nawawi rah.


                             pokok yang tumbuh di makam Imam An Nawawi rah di Damsyik Syria



Muqaddimah

Para ulama terdahulu adalah teladan terbaik buat para ulama yang datang kemudian, khususnya di zaman kita sekarang. Kehebatan mereka bukan sahaja kerana kesungguhan mencari dan menyumbangkan ilmu, tetapi juga dari aspek peribadi- luaran dan dalaman, dan keberanian mereka menegakkan al-amr bil makruf wannahy an almunkar, termasuk menegur pemerintah sebagai satu jihad yang besar ‘Kalimatulhaq inda sultanin ja’ir’. Di antara mereka ialah al-Imam an-Nawawi rahimahullahu Taala.

Dari kecil hingga remaja

Imam Nawawi lebih dikenali dengan gelaran ini. Nama sebenarnya ialah Yahya bin Sharaf bin Muri bin Hasan bin Husin bin Muhammad bin Jum’at bin Hizam anNawawiy. Lahir pertengahan Muharram 631H di Nawa, pinggir Damsyiq, Syria.

Ketika umurnya 7 tahun, di malam 27 Ramadhan, bapa Imam Nawawi pernah menceritakan: ‘Beliau tidur di sisiku. Ia terjaga pertengahan malam dan mengejutkan aku. Ia berkata: ‘Wahai bapaku! Apakah cahaya yang memenuhi rumah ini? Beliau mengejutkan semua penghuni rumah. Kami tidak melihat apa-apa. Aku tahu bahawa malam itu ialah malam Qadar.’

Ketika umurnya 10 tahun, berlaku satu peristiwa kepada Imam Nawawi yang menyebabkan Sheikh Yasin bin Yusof al-Marakishi membuat firasat Imam Nawawi akan menjadi seorang tokoh hebat di zamannya nanti, paling zuhud, dan bermanfaat buat manusia.

Ta’liq:
Tokoh akan datang boleh di’firasat’kan sebelum masanya melalui petanda-petanda awal. Para murabbi perlu cakna terhadap petanda-petanda awal itu. Perlu ambil tindakan pro-aktif menyuburkan benih itu.

Sangat halobakan ilmu

Imam Nawawi belajar ketika usianya agak lewat, iaitu 19 tahun. Namun kecekalan, ketabahan dan kesungguhan luarbiasa menuntut ilmu menjadikan gurunya kagum dan sayang kepadanya. ‘2 tahun aku belajar, rusukku tidak pernah jatuh ke bumi…’.

Beliau belajar dari pagi , petang sehingga malam. Beliau belajar 12 subjek sehari dalam pelbagai disiplin ilmu dengan ramai guru. Kebetulan ramai ulama masyhur di zamannya.

Masa Imam Nawawi banyak dihabiskan samada untuk belajar, mengarang, menulis, memberi komentar, menghurai atau beribadat di tengah malam. Tiada masa berkaraoke, tiada masa menonton tv, tiada masa berpesta, tiada masa untuk segala aktiviti dunia, bahkan untuk anak isteri kerana beliau tidak berkahwin.

Seorang sahabatnya pernah ‘putus asa’ untuk menurut Imam Nawawi dari segi disiplinnya belajar dan ‘bertasauf’. Beliau hanya makan sekali selepas Isyak dan minum di waktu dinihari. Badannya menjadi ‘kering’ disebabkan cara hidupnya seperti itu. Halobanya kepada ilmu mengatasi yang lain. Justru, tidak pelik, dalam jangka waktu sekitar 6 tahun sahaja belajar Imam Nawawi sudah menguasai pelbagai disiplin ilmu.

Karya Imam Nawawi melebihi 40 buah-panjang, pendek, kitab lengkap, tidak lengkap, beberapa helaian.

Apabila Imam Nawawi meninggal dunia sebelum sempat menyiapkan kitabnya yang terkenal, al-Majmu’., beberapa orang ulama menyambung karyanya itu. Di antara mereka ialah Sheikh Taqiyuddin as-Subki. Beliau menyebut satu perkara penting: ‘untuk menulis seperti hebatnya Imam Nawawi menulis memerlukan 3 perkara:

i. faragh al-bal wattisa’ azzaman (Otak yang tidak banyak memikir hal lain dan kelapangan masa). Imam Nawawi memenuhi ciri ini kerana ia tidak beristeri dan berkeluarga.

ii. mengumpulkan semua kitab yang boleh membantu melihat pandangan-pandangan ulama. Imam Nawawi berjaya melakukan demikian kerana kemudahan yang ada di tempatnya pada masa itu.

iii. Niat yang baik, banyaknya warak dan zuhud serta amal soleh yang menyinari sinarnya. Imam Nawawi juga berjaya melakukannya.

Ta’liq:
Lewatnya belajar tidak menghalang dari mendapatkan ilmu, dengan syarat bersungguh dan menebus balik masa yang terlepas itu. Contoh: Abu Hurairah ra. Mencari ilmu mesti ada disiplin. Belajar dengan ramai guru, tapi bukan sebarang guru. Menyumbang ilmu, terutama bagi mendapat keberkatan dari ilmu memerlukan syarat-syarat seperti yang disebut di atas.

Bersifat zuhud sebelum membicarakan zuhud

Imam Nawawi terkenal dengan sifat zuhudnya. Ia tidak berbicara tentang zuhud, tidak pula menentang ahli tasauf tetapi beliau mempraktikkan zuhud dan tasauf. Makan minum, pakaian, tempat tinggal dan kehidupannya mungkin begitu rigid dan sangat tidak selesa bagi sesetengah orang, tetapi itulah jihad bagi seorang bernama Imam Nawawi.

Banyak perkara karamah berlaku dalam hidupnya. Muridnya yang terkenal, Ibn al-Attar menyebut beberapa kisah ‘pelik’ bersama Imam Nawawi. Katanya: ‘Saya pernah bersama guru saya itu dan kalau mahu ditulis pengalaman itu, ia akan memakan berjilid-jilid buku.’

Ta’liq:
Karamah bukanlah perkara yang dituntut dari asalnya. Ia datang apabila kita memenuhi tuntutan Tuhan. ‘Istiqamah lebih baik dari seribu karamah’. Imam Nawawi mengumpulkan Istiqamah dan karamah.

Berjihad menegur pemerintah

Imam Nawawi juga seorang yang berprinsip yang sangat tegas dengan hukum syarak. Ketika Raja az-Zahir ingin mengenakan cukai ke atas rakyat bagi membiayai jihad, Imam Nawawi adalah antara beberapa orang ulama di zaman itu yang tidak bersetuju dan ‘tidak menandatangani surat sokongan’ itu. Bahkan, beliau menulis surat kepada gabenor Raja az-Zahir supaya menyampaikan satu surat/memorandum kepada Raja az-Zahir.

Demikian juga apabila penguasa mengambil tindakan memagari kawasan tanah yang menjadi hakmilik dan telah diusahakan oleh penduduk Damsyiq. Beliau juga menulis satu surat kepada pemerintah menasihatkannya supaya berlaku adil.

Surat yang ditulis walaupun menyatakan tidak setujunya dengan  sesuatu perkara tetapi bahasa yang digunakan cukup berhikmah dan penuh kasih sayang kepada pemerintah Islam ketika itu. Pemerintah mendaulatkan Islam paling tinggi hukumnya, cuma beberapa perkara yang dibuat adalah kezaliman peribadi.

Ta’liq:
Kesibukan mencari ilmu dan menyumbangkan ilmu tidak menghalang Imam Nawawi melakukan tugas menegur kerajaan. Bentuk teguran boleh dilakukan melalui pelbagai saluran. Mendiamkan diri terhadap kemungkaran lalu menjadi syaitan bisu bukanlah cara yang diwarisi dari ulama seperti Imam Nawawi.

Penutup

Demikianlah kisah Imam Nawawi yang hebat. Maka tidak pelik apabila karyanya seperti kitab RiadhusSalihin dibaca dan diterjemah. Kitabnya al-Majmuk yang tidak selesai dikarang itu dibantu untuk diselesaikan oleh as-Subki dan kemudiannya oleh ulama-ulama lain. Kitabnya Hadis 40 menjadi kitab teks yang dibaca di surau dan masjid. Begitu juga karya-karyanya yang lain. Bahkan tidak pelik juga apabila maqamnya di kampungnya sendiri iaitu ‘Nawa’ ditumbuhi sebatang pokok besar beberapa pemeluk. Ketika saya menziarahi maqamnya sekitar tahun 1996 sewaktu belajar di Jordan dan lawatan ke Syria, kami diberitahu bahawa pada daun dan dahan pokok itu dikatakan tertulis kalimah-kalimah Tauhid. Bimbangkan khurafat berlaku, dahan-dahannya dipotong. Kalimah-kalimah Tauhid itu tertulis pula pada batang pokok itu. Ia sukar dibuang kerana pokoknya yang cukup besar itu.

Yang penting ialah Imam Nawawi telah menjaga agama Allah ketika beliau hidup di atas bumi, maka Allah menjaganya pula selepas matinya di dalam bumi.

(Kuliah tentang biografi Imam Nawawi termasuk huraian surat yang ditulis kepada Raja az-Zahir boleh diikuti di bahagian koleksi ceramah audio video di portal saya www.niknasri.com)

1 comment:

  1. Kalau sidang pembaca peka dan rajin buat kajian,cuba lihat blog-blog karkun tabligh ...

    Ada tak mereka menukilkan atau mengisahkan tokoh-tokoh para ulama silam yang muktabar dalam blog mereka??

    setakat yang kami survey hingga kini TIDAK ADA!!!

    yang banyak kisah-kisah ulamak kelompok mereka sahaja.seolah-olah ulama lain tak ada jasa kepada islam...

    ATAU MUNGKIN KAMI TERLEPAS PANDANG...
    KALAU ADA SILALAH BAGI LINK NYA.....

    KALAU TAK ADA MAKA ITU SANGAT PELIK DAN MISTERI...

    kan ulama itu pewaris para nabi dan rasul.Mencintai ulama bermakna mencintai Rasul saw.

    tak gitu....?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...