Friday 24 May 2013

Dr Yusof Qardhawi dan kebangkitan rakyat Mesir



Ulasan Buku Al-Qaradhawi Dan Kebangkitan Rakyat
Oleh: Amidi Abd Manan
Membaca  buku Sheikh Dr Yusof al-Qaradhawi yang  baru diterjemahkan serta diterbitkan baru-baru ini, menggamit kenangan ketika memimpin Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia dahulu. Peristiwa berlaku sekitar tahun 1996, sebagai pemangku presiden, saya mewakili PKPIM, berbuka puasa dalam satu majlis yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan yang ketika itu Menterinya adalah Tan Sri Muhyidin Yasin.

Ketika  dalam majlis berkenaan, Sheikh Yusof al-Qaradhawi  telah ditanyakan mengenai jurang generasi (generation gap), antara yang muda dan yang tua dalam sebuah gerakan Islam. Beliau menjawab kedua-dua generasi ini amat penting dalam memastikan kejayaan sebuah perjuangan. Beliau mengungkapkan "hamasatu al-syabab wa hikmatu al-syuyukh' amat diperlukan dalam satu formula perjuangan yang ideal. Ia adalah gabungan yang diperlukan bagi menghasilkan kejayaan yang dinanti ummah.

Dalam  buku yang menghimpunkan ucapan, pandangan,  fatwa dan nasihat serta kata-kata dorongan, teradun di dalamnya perkara yang telah disebutkan 16 tahun dahulu. Dalam mukadimah buku ini dicatatkan:

"Pada  hari Jumaat 11 Febuari - ketika orang  ramai berasa putus asa setelah mendengar  ucapan Mubarak - ketika itu kami melihat dan mendengar khutbah tuan (Sheikh Yusof al-Qardhawi), di skrin layar yang dipasang di dataran, tuan bersumpah bahawa revolusi ini pasti berjaya, berlandaskan firman Allah :

"Bahawa  sesungguhnya merekalah orang-orang yang diberikan  pertolongan mencapai kemenangan. Dan bahawasanya tentera Kami (pengikut-pengikut Rasul), merekalah orang-orang yang mengalahkan (golongan yang menentang kebenaran)" Ucapan  ini telah menusuk ke jiwa kami bahawa  revolusi ini pasti berjaya."

Ucapan  yang dimaksudkan dalam petikan ini adalah  khutbah Jumaat pada minggu tersebut yang disampaikan dari Qatar, yang dikenali sebagai "Khutbah al- Qasm" (sumpah). Dengan  takdir Allah jua Hosni Mubarak telah mengumumkan  perletakan jawatan sebagai Presiden Mesir pada petang hari yang sama, sedangkan beliau telah menegaskan untuk terus mempertahankan kedudukannya dan menentang segala usaha menjatuhkan beliau di sebelah paginya.

Dalam  ucapan mahupun wawancara menerusi al-Jazeera,  Sheikh Yusof al-Qaradhawi sentiasa mengingatkan beberapa perkara iaitu:

Kesahihan perjuangan pemuda-pemuda di dataran Tahrir Pemeliharaan akhlak dan ketertiban para demonstrator.
Memohon sokongan dari seluruh pelosok rakyat Mesir agar bersama-sama dengan golongan pemuda ini
Mengingatkan tentera terhadap tanggungjawab mereka menjaga keselamatan rakyat dan mendengar segala tuntutan rakyat
Mengutuk polis atas tindakan menembak sehingga mati ratusan demonstrator

Beliau  juga sekaligus menjawab beberapa persoalan  yang timbul ekoran demonstrasi besar-besaran rakyat Mesir. Antaranya hukum berdemonstrasi, gelaran khawarij yang ditujukan kepada demonstran, penjelasan mengenai persoalan khuruj (memberontak menjatuhkan pemerintah Islam), dan sikap yang perlu diambil oleh para ulama khususnya ulama Mesir terhadap kebangkitan rakyat ini.

Ini  sekaligus membuka kefahaman kepada kita akan pendekatan yang dianjurkan Islam dalam menentang kemungkaran yang dilakukan oleh seorang pemimpin seperti Hosni Mubarak. Sheikh Yusof al-Qaradhawi telah memberikan bimbingan secara langsung kepada masyarakat mengenai asas penentangan, kaedah muzaharah (penzahiran rasa/ demonstrasi) serta kecermatan dalam menggunakan kaedah usul fiqh tertentu.

Penglibatan  Sheikh Yusof al-Qaradhawi dalam kebangkitan  rakyat Mesir ini tidak bersendirian. Lain-lain anggota keluarganya turut terlibat seperti anaknya Abdul Rahman, yang mendapat jolokan "Penyair Revolusi". Tidak ketinggalan menantu beliau Dr. Hisyam Marsi yang telah ditahan oleh pihak berkuasa Mesir.

Ia  menggambarkan kehidupan beliau yang bukan sahaja  sebagai ulama menara gading tetapi turun ke gelanggang merasai setiap denyut nadi dan penderitaan umat. Beliau tidak teragak-agak memberikan sepenuh sokongan kepada golongan muda yang mengemudi kebangkitan rakyat ini. Beliau turut menerima amaran dari sahabat beliau yang melihat kelantangan yang ditunjukkan, boleh menggugat kedudukan dan keselamatan beliau.

Amaran  tersebut dijawab dengan pernyataan:
"Apa  yang sentiasa kami pohonkan pada Allah  ialah supaya diakhirkan umur kami dengan shahadah yang tulen, berada dijalan-Nya, semoga diampunkan dosa-dosa yang lalu, dihapuskan segala keburukan, dan disempurnakan hidup kami bersama golongan abrar."

Buku  ini merupakan satu dokumen sejarah penglibatan  ulama dalam satu babak kebangkitan umat. Sheikh Yusof al-Qaradhawi menginginkan bahawa kebangkitan ini dicatat dengan sejujurnya bagi mengekang interpretasi liar musuh Islam yang sekian lama cuba menyisihkan peranan ulama dalam mana-mana perjuangan rakyat.

Tidak  terkecuali catatan sejarah penentangan penjajah  Inggeris di negara kita yang mempertontonkan watak-watak ulama seperti Abdul Rahman Limbong dan Tok Janggut sebagai pemberontak yang tidak perlu mendapat simpati rakyat.

Semoga kebangkitan rakyat di Mesir disoroti serta difahami  menerusi pendekatan yang sewajarnya, memandangkan ia bukanlah kebangkitan yang datang entah dari mana, tanpa sebarang pengarahan, hanya dimulakan oleh cetusan di media sosial. Ia adalah sebuah kebangkitan pemuda yang menyedari tentang kemuliaan dan kebebasan insan dengan didorongi oleh panduan yang diberikan oleh ulama tersohor dunia.

Bahagian  kedua buku ini memuatkan pandangan dan  ulasan beberapa orang penulis, ulama dan pemikir sosial di rantau Arab mengenai keterlibatan Yusof al-Qaradhawi dalam kebangkitan rakyat ini. Semoga  buku ini memberikan manfaat kepada semua  pembaca yang mahu menilainya secara jujur dan ikhlas.

ULASAN KAMI:

Masih ada di kalangan ahli PAS khususnya di tempat kami melihat kebangkitan islam dalam skop yang sempit.Mereka seolah-olah beranggapan hanya PAS sahaja yang layak berjuang untuk islam.Apabila ada ahli yang memberi respon kepada kebangkitan rakyat Malaysia yang berbilang kaum ketika ini (Blackout 505),mereka memandang dengan sinis dan menganggap kami sudah tidak wala' dengan pimpinan.

Apabila dua pemimpin utama PAS (dato' Mustafa Ali dan Yb Mahfuz Omar) diarahkan untuk menjadi wakil PAS dalam kebangkitan rakyat Sabtu ini sebenarnya sudah cukup untuk menjawab hujjah mereka bahawa pendirian kami selari dengan pucuk pimpinan.

Sebenarnya berdasarkan kebangkitan yang berlaku di Mesir itu tidak timbul soal "BERJUANG SECARA SEMBRONO ATAU BERDASARKAN SEMANGAT".Ini kerana dalam buku tulisan Dr Yusof Qardhawi sendiri beliau mengiktiraf kebangkitan golongan muda tersebut walaupun mereka datang dari pelbagai latar belakang samada sosialis,kapitalis,liberal,Non muslim dan ahli gerakan islam sendiri.

Apa yang penting gerakan islam mesti pandai mengambil kesempatan atas kebangkitan tersebut dengan menyiapkan pemimpin yang akan mengisi kerajaan baru yang akan meletakkan islam di tempatnya yang betul.Perbetulkan cara kita berfikir dan jangan memandang rendah golongan mana pun baik dari golongan sosialis bahkan athies sekalipun kerana sejarah kebangkitan tidak hanya berlaku dikalangan umat islam sahaja tetapi ia juga berlaku dikalangan orang sesat ( revolusi syiah Iran) bahkan juga komunis Rusia (revolusi Blosvik).

Dalam sirah Nabawi kita mengenali Abu Talib yang membela islam (Rasulullah saw) sehingga ke akhir hayatnya dalam keadaan tidak beriman maka kenapa kita memandang sinis golongan yang bukan dari gerakan islam memimpin kebangkitan di negara kita?

Sebenarnya watak manusia yang bernama Abu Talib telah muncul semula di zaman moden ini dengan latar belakang yang berbeza ingin membantu kebangkitan islam menentang kezaliman pemerintah.Ini sesuai dengan hadith Nabawi yang bermaksud:

“Sesungguhnya tidak akan masuk surga kecuali jiwa yang muslim. Namun boleh jadi Allah akan menolong agama ini melalui orang yang fajir (bermaksiat).” (HR Al Bukhari dan Muslim)

Hadith ini memberi isyarat kepada  kita jangan menghina/memandang lekeh golongan lain yang telah mendapat kesedaran ini.Kita juga patut berterima kasih dengan ustaz Azhar Idrus kerana kami merasakan kebangkitan anak muda ketika ini hasil daripada menonton dan menghadiri siri kuliah agama dari beliau baik melalui youtube,cd,atau secara langsung di masjid dan surau.

Diharap dengan tulisan Dr Yusof Qardhawi yang tidak memandang lekeh kebangkitan pemuda di Mesir dapat memberi pelajaran berguna kepada ahli PAS yang merasakan ia lebih alim@berilmu dari ulama tersebut.

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...