Friday 2 August 2013

IBLIS VS ORANG BERILMU



Sidang pembaca yang dirahmati Allah

Beberapa hari lagi iblis dan syaitan akan kembali bebas setelah sebulan terbelenggu (tak semua) disebabkan kemulian dan keberkatan bulan Ramadhan.Mereka akan kembali menjalankan tugas hakiki yang telah diamanahkan oleh "BOS" mereka.

Oleh itu beruntunglah mereka yang memenuhi malam dan siang Ramadhan dengan majlis-majlis ilmu dan mengupgred seberapa banyak ilmu yang disampaikan melalui tazkirah di masjid dan surau untuk dipraktikkan pada 11 bulan yang akan datang.

Syaitan dan iblis mempunyai matlamat untuk menyesatkan manusia melalui godaannya. Namun, ia amat sukar dilaksanakan sekirannya manusia itu seorang yang berilmu dan ikhlas.

Keutamaan Ilmu


Firman Allah yang bermaksud : "Allah meninggikan darjat orang yang beriman dan orang yang diberi ilmu pengetahuan (dalam kalangan kamu) dengan beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa-apa yang kamu lakukan." (Surah al-Mujadalah 58 : 11)

Mudah bagi syaitan untuk menyesatkan orang yang tidak berilmu dan menjerumuskan mereka ke dalam neraka. Mereka melakukan ibadah dalam keadaan jahil sehingga ada yang tidak menyedari bahawa perkara yang mereka yakini dan amalkan itu salah dan jauh daripada ajaran Rasulullah s.a.w. Pada sangkaan mereka, ia adalah betul.

Syaitan mudah memperdaya orang tidak berilmu supaya melihat kebenaran sebagai kebatilan, manakala kebatilan dilihat sebagai kebenaran. Mereka tidak dapat membezakan kerana kejahilan yang ada pada diri.

Daripada Ibn Abbas, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Seorang yang berilmu lebih berat bagi syaitan daripada 1000 orang ahli ibadah." (Riwayat al-Tirmizi)


Namun, iblis dan syaitan tidak pernah berputus asa untuk menggelincirkan manusia daripada petunjuk Allah biarpun terhadap orang yang soleh.

Orang Berilmu Melawan Syaitan


Ibn Abi al-Dunya meriwayatkan daripada Ali bin 'Asim daripada sebahagian penduduk Basrah, beliau berkata : "Ada seorang yang berilmu mengikat persaudaraan dengan ahli ibadah.

Syaitan berkata kepada iblis : 'Aku tidak mampu memisahkan kedua-dua orang ini.'

Iblis berkata : 'Serahkan mereka berdua kepadaku.'

Iblis menunggu di jalan yang dilalui oleh ahli ibadah itu. Ketika ahli ibadah itu mendekati, iblis menjelma sebagai lelaki tua yang mempunyai tanda bekas sujud di antara kedua-dua matanya. Iblis berkata kepadanya : 'Ada sesuatu yang sudah lama kusimpan dan ingin kutanyakan kepada tuan.'

Ahli ibadah berkata : 'Tanyalah. Jika aku dapat menjawab, maka aku akan menjawabnya.'

Iblis berkata : 'Adakah Allah mampu menjadikan langit, bumi, gunung, pepohon dan air di dalam satu telur tanpa perlu menambah atau mengurang sedikit pun daripada ukuran ini?'

Ahli ibadah tersebut terdiam. Lalu iblis berkata : 'Pergilah.'

Kemudian, iblis memandang teman-temannya dan berkata : 'Aku telah mampu merosakkan dan menjadikannya orang ini ragu-ragu terhadap Allah.'

Selepas itu, iblis duduk di jalan yang biasa dilalui oleh orang yang berilmu. Ketika orang berilmu itu mendekati, iblis menghampirinya dan berkata : 'Sesungguhnya, sudah lama aku memendamkan sesuatu yang aku ingin tanyakan kepadamu."

Orang berilmu itu menjawab : 'Tanyalah. Jika aku boleh menjawab, maka aku akan menjawabnya.'

Iblis mengulangi pertanyaannya sebagaimana yang ditanya kepada ahli ibadah. Orang berilmu itu menjawab : 'Ya, boleh.'

Iblis tidak berpuas hati, lalu bertanya lagi : 'Tanpa perlu menambah sedikit pun daripada ukuran ini?'

'Ya,' jawab orang berilmu tersebut. Lalu dia membaca ayat 82 surah Yasin, maksudnya : 'Sesungguhnya, keadaan kekuasaan-Nya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada (hakikat) benda itu : 'Jadilah engkau!' Maka ia akan terus berlaku.'

Iblis berkata kepada teman-temannya : 'Lebih baik tinggalkan orang seperti ini.'"

Orang yang berilmu mempunyai iman yang kukuh, ikhlas, berani dan tegas dalam mempertahankan kebenaran serta amalannya. Berbeza dengan orang jahil yang sentiasa berada dalam keraguan, maka mereka mudah diperdaya oleh syaitan.
 

(Luqt al-Marjan fi Ahkam al-Jan oleh Imam al-Suyuti)

Pengajaran-Moral of the story:

Perbezaan orang yang berilmu dengan abid (ahli ibadah tapi jahil)

1- Mampu dan berani menjawab soalan berserta nas dan dalil sebalik si abid tidak berani atau ragu-ragu untuk menjawab soalan.Bahkan mereka mencari berbagai alasan seperti malas,banyak isu lain dll.

2- Orang berilmu suka@gembira untuk menjawab soalan kerana dengannya ia boleh menyampaikan kebenaran,mendapat pahala,menyelesaikan masalah si penanya dan menyebarkan ilmu.Sebaliknya orang jahil (abid) tidak suka@benci menjawab soalan dan akan mencari berbagai helah agar kejahilannya tidak diketahui.

3- Si abid (jahil) mudah untuk ditipu sebaliknya orang alim (berilmu) sukar/payah bagi syaitan untuk ditipu.

Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...