Thursday 21 June 2012

GERAKAN KEBANGKITAN DAN PERUBAHAN


PERUBAHAN DAN KEBANGKITAN.

Di sana terdapat perbezaan antara “tajdid” dan “jaded”. Kalimah “ad-Din al-Jadid” memberi maksud yang bercanggah dengan syariah, kerana terjemahannya adalah “agama yang baru”. Adapun kalimah “Tajdid ad-din” pula adalah kalimah keramat yang mulia dan layak diungkapkan dalam skop perbincangan ilmiyyah dan perlaksanaan.

Tajdid atau terjemahan Melayunya “pembaharuan”, atau telah dimelayukan juga kepada kalimah “reformasi”.

Tajdid ad-din bermaksud, gerakan untuk melakukan pembaharuan terhadap agama. Gerakan memperbaharukan agama bukan bermaksud mewujudkan agama baru, tetapi mengembalikan agama yang sudah ditinggalkan. Usaha mentajdidkan agama ini bukanlah satu lontaran retorik dan hipokrit, tetapi ianya adalah perkara yang telah dinyatakan oleh Rasulullah salallahu alaihi wasallam:

Al-Hakim An-Naisaburi menukilkan satu hadis dalam kitabnya;

عن أبي هريرة رضي الله عنه ولا أعلمه إلا عن رسول الله (ص) قال إن الله يبعث إلى هذه الأمة على رأس كل مائة سنة من يجدد لها دينها

Maksudnya:

    Daripada Abu Hurairah, dan aku tidak mengetahuinya melainkan daripada Rasulullah salallahu alaihi wasallam bersabda, "Sesungguhnya Allah membangkitkan kepada umat ini atas awal setiap seratus tahun mereka yang akan mentajdidkan (mujjadid) baginya agamanya."


Dalam hadis ini, Rasulullah sendiri telah mengungkap kewujudan manusia yang akan melakukan tajdid dalam agama. Mereka berusaha ke arah mengembalikan manusia kepada ajaran Islam yang telah ditinggalkan oleh manusia, khususnya orang Islam sendiri.

Bagi membasmi pemikiran karut meracuni pemikiran dan amalan umat Islam, baginda salallahu alaihi wasallam menyatakan tentang kewujudan manusia yang beriman untuk mengembalikan mereka kepada Islam mengikut acuannya yang betul. Kehadiran golongan yang mengembalikan mereka kepada Islam dalam bentuk yang betul itu dinamakan sebagai “mujaddid”



 Walaupun kebanyakan ulama melihat bahawa kalimah ‘man’ itu merujuk kepada individu, tetapi beberapa ulama terkemuka seperti Ibn al Athir dan al Hafiz al Zahabi pula melihat ianya bukanlah satu kemestian, bahkan ianya mungkin bermaksud satu kumpulan ulama yang bersama – sama membawa tajdid agama.

Dan, alangkah baiknyaa jika kumpulan ulama yang melakukan tajdid ini membentuk satu madrasah atau gerakan pemikiran dan amal yang tersusun dan saling bahu - membahu. Inilah syarah terhadap al hadis di atas yang paling baik dan realiti (waqiey) untuk kebangkitan umat Islam hari ini mengikut pandangan al Syeikh Yusuf al Qaradhawi.


ULAMA YANG MEMIMPIN KEBANGKITAN DAN PERUBAHAN

Perjuangan tajdid agama adalah disinonimkan dengan keadaan yang apabila lahirnya pemikiran meninggalkan agama. Atau dalam keadaan manusia menganggap sesuatu amalan yang tidak Islam sebagai Islam.

Dengan kelahiran Imam Ibnu Taimiyyah, Muhammad bin Abdul Wahab, Ibnu Al-Qayyim, Abu Hasan Al-‘Asyari, Hassan Al-Banna, Sayyeq Qutb, al-Maududi, Imam Ahmad bin Hanbal dan sebagainya adalah membuktikan bahawa mereka ini adalah golongan telah berusaha ke arah pentajdidan yang sesuai di zaman mereka.

Golongan Mujaddid yang lahir di kemudiannya, dengan gaya tajdid yang dipimpin oleh mereka tidak pernah memperlekehkan golongan mujaddid yang terdahulu.

Kita membaca perjuangan Imam Ahmad bin Hanbal (w 241 H) yang telah “berpeluh” dalam menghadapi golongan Muktazilah sehingga dia dipenjara oleh Muktazilah yang memerintah, iaitu zaman pemerintahan Al-Ma’mun yang telah terpedaya dengan dakyah Muktazilah dari seorang “ulama” muktazilah yang bernama Ahmad bin Abi Daud.

Perjuangan itu telah disambung oleh murid-murid beliau yang dikenali sebagai golongan Hanabilah. Perjuangan mereka melawan Muktazilah dengan method Imam Ahmad bin Hanbal telah menyebabkan pertembungan hebat antara Muktazilah dan Ahli As-Sunnah ketika itu.
Selepas daripada itu, lahir pula seorang tokoh yang tidak kurang juga hebat dalam menghadapi golongan Muktazilah, iaitu Imam Abu Hasan Al-‘As’ari (W 324 H). Cara tokoh ini berserta pengikut-pengikutnya menghadapi Muktazilah agak berbeza dengan cara yang dipersembahkan oleh golongan Hanabilah.

Daripada itu, kita dapat melihat bagaimana “keharakian” yang wujud dalam jiwa mujaddid-mujaddid ini dalam menghadapi musuh di zaman mereka.



 ASPEK-ASPEK KEBANGKITAN ISLAM (TAJDID)

Berikut ini adalah berbagai aspek yang diprogramkan bagi sesuatu kebangkitan Islam (Tajdid).

1. Mengenalpasti penyakit-penyakit zaman kini:

Mengadakan diagnosis penyakit yang menjangkiti di dalam lingkungannya. Lantaran itu ahli gerakan tajdid perlu memandang segala masalah yang timbul di zamannya dan dapat mengetahui di mana jahiliyyah itu bersembunyi dan memulai operasinya di kalangan masyarakat itu.
Kemudian bagaimanakah caranya yang harus dilaksanakan untuk mengatasinya. Mereka juga  perlu mengetahui sejauh mana jahiliyyah itu menyebarkan pengaruhnya dalam kehidupan ini, dan apa pula peranan Islam dalam menghadapi kenyataan tersebut.

2. Rancangan pembaharuan:

Mengambil keputusan yang pasti di mana harus dilakukan serangan untuk melumpuhkan kekuatan jahiliyyah dan memungkinkan Islam menguasai seluruh kehidupan.

3. Penilaian batasan dan keupayaan:

Harakah mestilah dapat menimbang dan menghitung kekuatan yang ada pada seseorang serta menentukan garis-garis amliahnya dan langkah-langkah untuk membawa perubahan.

4. Perubahan Pemikiran:

Membentuk pemikiran, iman dan pandangan akhlak masyarakat ke dalam acuan Islam, memperbaharui sistem pendidikan dan menghidupkan kembali ilmu-ilmu pengetahuan dan sikap sikap ke-lslaman secara umum.

5. Penukaran secara Amali:

Membenteras tradisi-tradisi jahiliyyah, memurnikan akhlak dan memberi rangsangan jiwa untuk melaksanakan Syariah, dan mempersiapkan individu-individu yang mampu melaksanakan kepimpinan Islam.

6. Ijtihad:

Memahami asas-asas yang mendasar dalam agama, menilai kebudayaan yang dianuti pada ketika itu serta pelbagai kecenderungannya dari sudut pandangan Islam. Lalu menentukan perubahan-perubahan yang ingin dihasilkan sesuai dengan pola-pola kehidupan sosial yang berlaku berdasarkan Syariah untuk mencapai tujuan-tujuan tertentu, dan agar Islam mampu memimpin dunia dalam susunan masyarakat baru kelak.

7. Pertahanan Islam:

Mengimbangi kekuatan-kekuatan politik yang hendak melenyap dan menghancurkan kekuatan Islam. Mematahkan kekuasaan jahiliyyah agar Islam menjadi suatu kekuatan yang hidup.

8. Tajdid (menghidupkan kembali) sistem Islam:

Mencabut kembali kekuasaan itu dari tangan-tangan jahiliyyah dan menegakkan hukum menurut peraturan Islam, yang oleh syara' dikenal dengan nama "khalifah berdasarkan sistem nubuwwah".

9. Revolusi 'Alamiyyah

Berusaha untuk mengadakan pergolakan `alamiyyah dengan pengertian tidak memadai menegakkan hukum Islam itu dalam sesuatu daerah tertentu sahaja, atau di daerah-daerah yang memang majoritinya beragama Islam. Tetapi gerakan universal ini harus bangkit dengan teguh, mengawal meluasnya da'wah Islamiyyah di seluruh penjuru dunia. Sehingga dengan demikian kebudayaan Islam menjadi kebudayaan yang sedang bertahta di Barat dan di Timur. Kini tiba giliran Islam untuk tampil sebagai pimpinan dunia, baik dari segi akhlak cara berfikir mahupun politik.


PERANAN GERAKAN KEBANGKITAN DAN PERUBAHAN

Sebuah gerakan kebangkitan dan perubahan mestilah memainkan peranan yang utama di dalam gerakan tajdid Islami dan mengembalikan semula hak Islam untuk memimpin kehidupan seluruhnya selepas berjaya menghilangkan segala halangan yang menghalang.

Tajdid yang perlu dilaksanakan hendaklah tertumpu kepada dua perkara utama;

Pertama, membentuk sebuah pasukan Islam yang mampu memimpin masyarakat hari ini dengan Islam yang benar dan menyeluruh dan merawati penyakit mereka dengan penawar bersumberkan Islam itu sendiri. Pasukan Islam ini hendaklah memiliki tiga sifat utama; iman yang mendalam, kefahaman yang jelas dan ikatan yang kukuh.

Kedua, membentuk pandangan umum rakyat majoriti yang menyokong pasukan Islam tersebut dan memberikan bantuan dan kasih sayang mereka kepadanya selepas mengenali matlamat perjuangan dan melihat keikhlasan dan kekuatan mereka.

Pandangan umum sejagat yang positif inilah yang akan membuka dada mereka untuk menerima kehadiran dan hak umat Islam untuk menyusun kehidupan mereka berlandaskan hukum agama mereka sendiri di dalam negara umat Islam yang majoriti sebagaimana ianya bertepatan dengan seruan demokrasi yang dilaungkan oleh dunia mereka sendiri.


EMPAT LAPANGAN YANG PERLU DIUTAMAKAN

Dr Yusuf al Qaradhawi berpendapat bahawa pemusatan dan kesegeraan hendak digerakkan kepada empat lapangan amal yang paling penting untuk diterokai dengan jayanya iaitu;

Pertama, di alam lapangan pemikiran hendaklah diberi tumpuan yang mendalam dan pencerahan yang baru ke atas beberapa kefahaman Islam yang penting. Ini dinamakan al fiqh al jadid. Di antara kefahaman yang mesti diketengahkan ialah fiqh al awlawiyah,  fiqh al muazanah dan fiqh al maqasid.

Kedua, di dalam lapangan dakwah hendaklah ditumpukan kepada beberapa sektor dan kelompok masyarakat yang tertentu yang berpengaruh. Rakyat marhaen mestilah diselami kehidupan mereka. Kelompok perniagaan, bidang – bidang kewanitaan dan golongan akademik sebagai contoh adalah medan yang perlu dimedani dan dikuasai.

Ketiga, di dalam lapangan tarbiyah hendaklah ditumpukan kepada pembinaan kualiti yang tertentu ke atas kelompok kepimpinan masa depan terutama di dalam sudut fikrah dan iman. Inilah medan paling utama. Inilah kumpulan hari ini yang mengambil peranan kumpulan sahabat di zaman RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam.

Keempat, di dalam lapangan politik hendaklah ditumpukan kepada pemajuan pemikiran dan praktikalnya di dalam politik hubungan dalam dan luar negari termasuk dengan non muslim, agar dapat keluar daripada masalah dalaman dan sekatan oleh pihak luar selain merealitikan maksud ke’alamiahan Islam. Kefahaman politik yang terlalu dibayangi ujian dan serangan musuh yang mewujudkan politik perang, politik ekslusif dan politik taqlid hendaklah diperbaharui kefahamannya agar gerakan Islam terus maju atau setidak – tidaknya tidak terus ketinggalan di dalam memahami seterusnya memimpin umat.

PENUTUP

Gerakan perubahan dan kebangkitan mestilah memiliki segala ciri – ciri gerakan hizbuLLah demi mendapat janji kemenangan daripada Allah.

Gerakan tersebut hendaklah sentiasa membuka pintu kepada lambaian tajdid Islami terutamanya pada zaman kini yang semakin cepat berkembang dan berubah. Apapun, yang lebih penting adalah menjaga keaslian sebuah gerakan dakwah nabawiyah untuk umat manusia sejagat.



Rujukan :

1)    Al-Quran.
2)    Hadis Nabawiyyah.
3)    Al-Mustadrak ‘Ala Sahihain : 4/567 : hadis no : 8592.
4)    Abul Ala Al Maududi (1988) Harakatul Tajdid al-Islami.
5)    Al-Qaradhawi : Sohwatul Islamiyyah.


Ditulis oleh :

Ahmad Ulwan Hassim
Kuliah Usuluddin,
Universiti Al-Azhar, Kaherah

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...