Wednesday 4 July 2012

Apakah Pengajaran Daripada Kisah Ini??



SUATU pertempuran telah terjadi di antara golongan Islam dengan kaum musyrik. Masing-masing berjuang dengan cekap dan berani. Apabila pertempuran berhenti, mereka kembali ke markas dan begitu juga Nabi dan sahabat telah berkumpul.


Sahabat duduk berbincang mengenai pertempuran itu serta menceritakan kejadian-kejadian yang mereka lihat. Diantaranya mengenai seorang yang bernama Qozman yang telah bertempur dengan hebat dan cekap. Setiap musuh di hadapannya dapat dikalahkan.


”Tidak seorangpun diantara kita yang berharga jasanya lebih dari Qozman,” demikian kata seorang diantara mereka.


Mendengarkan itu Nabi pun menjawab :


”Sebenarnya dia itu golongan penduduk Neraka,”


Jawapan Nabi itu telah menarik perhatian mereka. Bagaimana seorang yang berjuang dengan gagah berani akan masuk neraka?


Seorang yang bernama Akhtsam el Khuza’ie segera menawarkan diri untuk menyelidiki kebenaran kata-kata Nabi sebentar tadi. Beliau akan menemani Qozman bertempur.


Keesokan harinya Qozman dan Aktsam keluar ke medan pertempuran bersama-sama. Pertempuran berjalan terus dan Aktsam terus bersama Qozman berada.


Akhirnya Qozman terkena pedang lawan dan luka parah. Dengan tiba-tiba Qozman meletakkan tangkai pedangnya di tanah dan mata pedang dihalakan ke dadanya, beliau membunuh diri dengan pedangnya sendiri. Kejadian itu disaksikan Aktsam dan dalam keadaan tenat beliau mendengar Qozman berkata :


”Demi Allah! Aku berperang bukan kerana agama tetapi kerana menjaga kehormatan kota Madinah supaya jangan dihancurkan quraisy. Aku berperang kerana membela kehormatan kaumku,”


Begitulah pengakuan Qozman sendiri. Setelah perang berhenti, Aktsam segera menemui Nabi.


”Asyhadu, engkau sebenarnya Rasulullah,” demikian Aktsam memulakan bicaranya di depan Nabi dan para sahabat lainnya.


”Ada apa?” Nabi bertanya.


”Tentang Qozman, bahawa engkau katakan beliau di antara penduduk neraka,” jawab Aktsam.


Sekelian yang ada segera berkumpul untuk mendengar dan merasa tertarik untuk mengetahui peristiwa itu. Maka Aktsam pun menceritakan semua perkara yang disaksikannya dari mula beliau mengikuti Qozman hingga akhirnya beliau membunuh diri.


Setelah mendengarkan itu, Nabi tampil lalu memberikan beberapa nasihat :


”Seorang yang beramal sebagai amalan penduduk syurga pada penglihatan orang ramai sebenarnya beliau adalah penduduk neraka. Begitullah juga seseorang yang kelihatannya melakukan amalan penduduk neraka sebenarnya beliau adalah penduduk syurga,”


Demikianlah Nabi memperingatkan umatnya. Qozman yang berani berjuang, tetapi keberaniannya hanya untuk mengharumkan nama, bukannya kerana Allah bukan kerana hendak mendapatkan pujian dan sanjungan orang ramai.


Amalan kerana Allah tidak akan terhenti kerana dicela orang atau menjadi bertambah kerana menerima pujian. Ikhlas itu adalah suatu tanda kesucian hati, khususnya hati seorang Islam. Jangan sekali-kali anda berlagak angkuh dan sombong dari amalan yang ada kerana semuanya di tangan Allah.


ULASAN SAYA:


Setiap orang ada pandangan masing-masing berkaitan kisah di atas yang berlaku di zaman Rasulullah salallahu alaihi wasallam.Tetapi saya melihat kisah ini mungkin berbeza daripada pandangan anda.


Beberapa pengajaran yang boleh saya nukilkan ialah:


1.Jangan menilai kebenaran seseorang melalui kerja buat lahiriah semata-mata tetapi selidikilah dahulu pemikiran dan kefahamannya tentang agama.


2. Rasulullah mengetahui kebaikan dan keburukan umatnya berdasarkan wahyu daripada Allah sebaliknya kita sebagai manusia biasa untuk mengetahuinya perlu menyiasat dan selidiki terlebih dahulu sebelum mempercayainya sebagaimana kami menyiasat dan menyelidikan Jemaah Tabligh sehingga ke akar umbinya sehingga kami mengetahui melalui Fatwa para ulama dan bukti- bukti lain akan kesesatan mereka.Dan kami sekali-kali tidak terpesona dengan stail penampilan dan kelembutan mereka berbicara agama.


3. Guru saya mengajar cara mengenali seseorang itu sebelum dijadi sahabat ialah ajak dia bermusafir jauh selama 3 hari.Selepas itu baru kita akan ketahui sifat terpuji dan tercela dia untuk di contohi atau di nasihati.


4. Menasihati orang yang merasa dia baik dan mulia adalah lebih sukar daripada menasihati orang yang merasa dia jahat dan berdosa.Pengalaman ini telah kami lalui dengan orang tabligh sejak dahulu lagi.


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...