Tuesday 11 September 2012

Mereka Yang Berhujjahkan Ulama





Sidang pembaca yang dirahmati Allah

Seharusnya hendaklah difahami bahawa kaedah sebenar  dalam mengetahui kebenaran adalah apa yang berlandaskan dalil al-Kitab, as-Sunnah dan Ijma'. "Kebenaran itu berdasarkan dalil dan bukanlah ketokohan"! Apabila anda menjadikan seseorang ulama itu sebagai hujjah maka anda secara tidak langsung telah merosakkan agama islam yang suci ini. Bagaimanakah itu berlaku? Kerana secara ringkasnya anda seolah-olah memaksakan kemaksuman terhadap ulama tersebut daripada sebarang kesilapan dan dosa. Maka dengan ini secara tidak langsung kita telah menyamakan tarafnya dengan para Anbiya' alihimussalam.

Pada asasnya kata-kata ulama ini hanyalah menyokong dan menjelaskan maksud daripada nas-nas yang memerlukan kepada penjelasan samada dari sudut istinbat, bahasa, nasah wal mansuh, sebab-sebab turun ayat, sebab keluarnya hadis dan sebagainya. Ini sangat bermanfaat! Akan tetapi yang menjadi masalah ialah jika semua kata-kata ulama dan perbuatan mereka dijadikan hujjah dalam agama! Bukankah mereka (ulama) juga melakukan dosa? Bukankah kadang-kadang ulama ini juga ada yang tidak ulama? Bukankah disana terdapat perbezaan di antara wali Allah dan wali Syaitan? Adakah semua yang berserban dan berwatakkan orang alim secara zahir itu sudah melayakkan mereka untuk digelar ulama? Sedangkan terdapat segelintir mereka yang bertopengkan ulama ini memakan harta anak-anak yatim, pecah amanah, memakan harta dengan cara yang bathil dan sebagainya?

Saya amat hairan apabila kita membacakan hadis-hadis Nabi dalam permasalahan tertentu, tiba-tiba ada yang menyanggah hadis Nabi ini dengan kata-kata ulama walaupun kata-kata itu jelas salah dan bertentangan! "Eh, guru saya cakap lain? Dia pakar dalam bidang Nahu! Dia ulama terkenal!.....". Imam Malik ketika mengajar di masjid Nabawi berkata; "Setiap kata-kata manusia boleh diambil mahupun ditolak kecuali kata-kata penghuni kubur ini (Nabi Muhammad saw).

Mari kita lihat apakah kesannya jika semua kata-kata ulama dijadikan sebagai hujjah;
1) Masing-masing puak akan mendakwa bahawa ulama mereka adalah yang paling benar sekalipun amat jauh pegangannya terhadap ajaran dan al-Quran dan Sunnah. Maka dengan ini akan berterusanlah menjadikan umat islam sentiasa berpecah demi mempertahankan ulama tersebut yang seolah-olah celaan kepada agama jika ulama itu ditegur ataupun diprotes.

2) Menjadikan ulama tersebut takabbur dan angkuh kerana mempunyai pengikut yang sangat jinak dan sentiasa patuh dengan apa yang disebutkannya. Sekalipun jika apa yang disuruh oleh gurunya itu adalah suatu yang amat menggelikan hati guru tersebut. Sebagai contoh; "Kau ambil air kencing aku ini buat mandi, ianya akan menjadi ubat kepada sakit engkau".

3) Seolah-olah dengan ini menjadikan mereka adalah seorang yang maksum, sedangkan hanya Nabi dan Rasul sahaja yang bersifat maksum. Maka ini secara langsung bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah.

4) Menyuburkan sikap Ghuluw dikalangan para pengikut. (Wala Taghlu fid din)

5) Ini adalah sebahagian faktor yang menyebabkan golongan Yahudi dan Nasrani sesat dari agama asal mereka. Menjadikan kata-kata ulama mereka sebagai asas akidah seperti yang dilakukan oleh kristian dalam Majami' Niqiyyah tahun 325 masihi apabila mengatakan Isa adalah anak tuhan yang secara tidak langsung adalah juga tuhan.

6) Sedia dimaklumi bahawa kedapatan sebahagian ulama yang tidak beramal dengan ilmunya. Sebab itulah datang peringatan yang amat keras kepada mereka dalam hadis Nabi yang soheh.

7) Jika kata-kata ulama menjadi ukuran kepada kebenaran tanpa kita menjadikan dalil-dalil al-Quran dan al-Hadis sebagai keutamaan maka kita telah membelakangi ayat Allah yang menyatakan; (Jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara maka kembalikanlah ianya pada Allah dan Rasul)) Allah tidak menyatakan supaya dikembalikan pada ulama' kerana tidak semua yang bernama ulama itu adalah ulama.

8) Jika kata-kata ulama menjadi ukuran kepada kebenaran tanpa kita menjadikan dalil-dalil al-Quran dan al-Hadis sebagai asas, maka kita akan dapati ulama itu sendiri mempunyai pelbagai aliran dan mazhab dalam akidah. Ulama Muktazilah pasti akan bermati-matian mendokong hujah-hujahnya walaupun jelas salah! Begitu juga dengan yang lain.

9) Jika ulama menjadi hujjah, adakah ini bermakna jika ulama tersebut melakukan zina, meminum arak, maka hukumnya sudah jadi halal? Pasti ini amat mustahil menurut Ahli Sunnah. Tetapi anda jangan pelik jika inilah yang berlaku kepada sebahagian tarikat-tarikat sufi yang sesat.

10) Yang menjadi kewajipan kita ialah mengambil ilmu daripada ulama-ulama yang terkenal pegangannya pada al-Kitab dan as-Sunnah dan pandangan ulama-ulama salafus soleh. Mereka yang sering mendahulukan nas-nas wahyu berbanding akal.

Wallahu a'lam

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...