Sunday 30 September 2012

Satu post mortem dalam menyambut Iduladha


Sidang pembaca yang dirahmati Allah

Secara jujurnya, iduladha di negeri pantai Barat Semenanjung tidaklah semeriah negeri pantai Timur khususnya Kelantan.Umumnya sambutan idulfitri di Malaysia sentiasa lebih meriah berbanding iduladha. Walau pun takbir hari raya iduladha yang berkumandang dari corong masjid dan media elektronik lebih lama berbanding idulfitri yang hanya bersahutan dari malam raya hinggalah ke waktu sebelum solat sunat pada keesokkan harinya, namun elemen-elemen kemeriahan idulfitri itu masih tidak terdapat dalam iduladha secara keseluruhannya.


Antara faktor-faktor utama yang menyebabkan aidiladha tidak semeriah aidilfitri

Balik kampung: keghairahan untuk pulang ke kampung agak berkurang berbanding idulfitri. Malah ada sesetengah perantau merasakan bahawa balik kampung sewaktu aidiladha ibarat satu perbuatan “sunat” sahaja berbanding hukum balik kampung sewaktu idulfitri yang “wajib”. Maka tak balik pun tak apa. 

Ziarah: Amalan ziarah-menziarahi  hampir tidak berlaku pada sambutan iduladha. Berbanding idulfitri, sememangnya tak menang tangan menghadiri majlis rumah terbuka. Kadang-kadang sehingga terlajak ke bulan Zulkaedah, masih ada yang menganjurkan rumah terbuka idulfitri.

Maaf: sukar untuk melihat amalan maaf-bermaafan berlaku di iduladha, berbanding aidilfitri yang semestinya menjadi satu acara wajib. Ibarat tak lengkap beraya kalau tak minta maaf, sehingga terkeluar ungkapan, maaf zahir dan batin. iduladha takde kan?

Duit raya: saya sendiri sudah sangat lama tidak memberi dan menerima duit raya sewaktu iduladha, seingat saya dulu ketika zaman kanak-kanak pernah juga terima duit raya iduladha dari pakcik dan makcik yang tidak pulang beraya ketika idulfitri. Sekarang pakcik dan makcik pun sudah veteran. Nenek sudah tiada lagi. Maka tidaklah mereka pulang ke kampung lagi. Berbanding idulfitri, kalau tidak diberi duit raya, dipandang serong oleh kanak-kanaklah jawabnya.

Kuih raya: mana ada manusia yang sanggup bersengkang mata membuat kuih raya untuk iduladha, apatah lagi menjalankan perniagaan kuih raya. Berbanding idulfitri bersepah-sepah orang jual kuih raya. Tak perlu pergi jauh, dalam ofis mesti ada punya.

Lagu raya: Kurang kedengaran stesen radio tempatan memutarkan lagu raya. Yang membezakan iduladha dengan hari-hari biasa adalah ucapan hari raya dari pemanggil setia serta takbir hari raya bermula dari 10 Zulhijjah hinggalah ke hari-hari tasyriq.

Mercun: memang terdapat letupan mercun berkumandang memecah suasana malam iduladha, namun iramamya tidaklah semerdu aidilfitri yang tak ubah macam medan perang. Berita ”saintis muda” yang mendapatkan rawatan di hospital akibat kecederaan jari juga tiada di paparan akhbar. Kadang-kadang saya musykil di mana mereka mendapat bekalan mercun ketika iduladha ini. Stok tak habis idiufitri dahulu barangkali.

Baju raya: walau pun indah lengkap bersamping di pagi iduladha, rata-rata itu adalah baju yang sudah dirasmi sewaktu aidilfitri dahulu. Selepas dibasuh, baju tersebut duduk diam dalam almari sementara menunggu datangnya aidiladha. Sesudah iduladha, barulah dipakai dengan kadar yang lebih kerap, sekurang-kurangnya ketika menghadiri majlis keagamaan anjuran komuniti. Tak pernah pula mendengar ada orang menempah atau membeli baju baru semata-mata untuk menyambut iduladha. Mungkin ada, tapi bilangannya tidaklah sebesar mana. Yang berbaju melayu serta berkain pelekat sahaja pun ramai juga. Tak perlu pakaian formal.

Membeli-belah: tiada jualan runtuh untuk menghasut masyarakat menghabiskan wang ringgit membeli-belah sempena aidiladha. Cuba kalau idulfitri. Tak cukup dengan shopping complex yang sedia ada, siap bukak bazar sementara lagi.

Ops sikap: menjelang idulfitri, anggota polis trafik biasanya merupakan antara golongan yang malang kerana cuti hari raya mereka pasti dibekukan demi menghalang pesalah lalu lintas dari bermaharajalela. Rentetan daripada itu, media cetak dan elektronik saban hari menyiarkan statistik mangsa kemalangan jalan raya yang saban tahun ada sahaja peningkatannya. Menjelang iduladha tidak kelihatan pula polis trafik terpacak di bawah jejantas di lebuh raya. Maka tiada sesiapa yang cutinya terpaksa dibekukan. Media cetak dan elektronik sepi tanpa apa-apa statistik kemalangan jalan raya.

Walau pun begitu, istilah “lebih meriah” yang selalu difikirkan orang di Lembah Klang itu saya kira masih relevan. Mungkin kerana cuti umum untuk perayaan iduladha di sebilangan negeri seperti Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu adalah sama seperti cuti umum idulfitri iaitu dua hari. Maka sewajarnya iduladha di sambut semeriah aidilfitri.

Saya kira tempoh cuti yang lebih panjang ini adalah bersesuaian untuk memberi lebih masa kepada umat Islam menjalankan ibadah korban. Biasanya masjid-masjid besar dengan kedudukan kewangan yang kukuh mengorbankan binatang ternakan dalam satu jumlah yang besar. Dengan jumlah sukarelawan korban yang terhad, jika dibuat dalam masa dua hari sudah tentu tidak penat bukan?

kesilapan yang dilakukan dalam proses menyembelih korban seperti foto diatas ialah tidak membuka ikatan di kaki lembu tersebut.Sepatutnya setelah selesai sembelih ikatan tersebut 'wajib' dibuka agar lembu itu mengelupur dalam keadaan 'bebas merdeka' 


Kemeriahan iduladha itu diteruskan dengan juadah di hari raya ini tetap istimewa setanding dengan idulfitri. Masih ada ketupat rendang, nasi dagang dan nasi himpit, laksa atau lontong.

Masih ada letupan mercun dan percikan bunga api, walau pun nadanya tidaklah semeriah aldilfitri.

Masih ramai yang sudi balik kampung untuk berjumpa sanak saudara.

Maka seharusnya tidak menjadi kepelikkan seandainya iduladha disambung lebih meriah berbanding idulfitri.

Berbeza dengan suasana di Lembah Klang atau negeri-negeri bersekutu yang lain, cuti iduladha hanyalah sehari. Kalau tidak kerana solat sunat iduladha dan ibadah korban, mungkin hari raya iduladha seperti cuti umum biasa sahaja.

Malah dari segi agama, kebesaran iduladha itu sepatutnya LEBIH BESAR DAN UTAMA(MERIAH) MELEBIHI idulfitri.

Malah dari segi ibadah, kelihatan aidiladha lebih mantap berbanding idulfitri.

Fadilat idulfitri itu sebenarnya terkandung di dalam bulan Ramadhan dan bukan pada hari raya itu. Takbir raya dan zakat fitrah juga hanya boleh dilaksanakan sebelum solat sunat idulfitri sahaja. Amalan-amalan lain hanyalah lebih kepada amalan sunat serta adat budaya orang melayu sahaja.

Di dalam iduladha terkandung pelbagai ibadah yang diberi ganjaran besar oleh Allah SWT bagi mereka yang mengamalkannya dengan niat yang tulus ikhlas.

Terkandung padanya ibadah haji yang wajib dilaksanakan bagi menyempurnakan rukun Islam yang kelima. Di dalam ibadah haji itu pula terkandung pelbagai lagi sub-ibadah yang perlu disempurnakan untuk mendapat haji mabrur.

Terkandung padanya ibadah korban yang boleh disempurnakan pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Terkandung padanya takbir hari raya juga boleh dilaungkan lebih lama seperti tarikh-tarikh yang disebutkan tadi.

Terkandung padanya ibadah korban bagi mencari keredhaan Allah SWT serta memperingati peristiwa yang berlaku ke atas Nabi Allah Ibrahim dan anaknya Nabi Allah Ismail.
 
Semoga negeri-negeri lain turut menyambut iduladha lebih meriah berbanding idulfitri.

oleh:Azuhuri Mustaqim

1 comment:

  1. Antara perkara yang SEPATUTNYA umat islam lakukan sebagai SUNNAH dalam menyambut kebesaran Iduladha ialah:

    1. Membeli atau menempah baju baru khususnya yang akan dipakai di pagi hari raya seperti baju melayu/jubah/baju kurung dll.Bukan memakai semula baju yang telah dipakai pada Raya Idulfitri.

    2. Mengadakan 'OPEN HOUSE' dengan menjemput kaum keluarga,sanak saudara,jiran,sahabat handai dengan sambutan yang meriah dan berbagai aneka makanan.

    3. Hati dan minda hendaklah ditarbiyah dengan ilmu agar merasakan kebesaran Iduladha itu lebih AULA daripada Idulfitri.

    4. Ringankan mulut dan tangan mengucap/menulis 'SELAMAT HARIRAYA IDULADHA'kepada umat islam yang lain dan bermaaf-maafan.

    5. Bersemangat dan penuh ketundukan dalam melaungkan takbir,tasbih dan tahmid pada malam hari raya dan hari-hari tasyrik.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...