Monday 26 March 2012

ANALISIS PEMIKIRAN-bhg 1



Kesan Fahaman Jabariyyah: Halangan Kepada Cara Berfikir Masyarakat Melayu
Oleh: Khairul Nizam Mat Karim


Pendahuluan

Aliran Jabariyyah telah muncul pada akhir zaman pemerintahan Bani Umayyah dan juga merupakan salah satu aliran pemikiran yang terawal dalam sejarah pemikiran Islam. 

Walaupun arus penguasaan pemikirannya telah berlalu dan hanya menjadi tatapan mahupun rujukan masa kini, tetapi fahaman ini seakan-akan mempengaruhi corak berfikir segelintir masyarakat Melayu hari ini. Dilihat bahawa fahaman ini membawa kesan buruk kepada corak dan bentuk pemikiran masyarakat Melayu sehingga melemahkan bangsa Melayu untuk berkembang maju dan bersaing dalam era globalisasi atau dunia tanpa sempadan kini.

Satu artikal telah ditulis oleh Prof. Madya Dr. Wan Zailan Kamarudddin Wan Ali berkenaan perbahasan ini di bawah tajuk “ Aliran al-Mujbirah dan Kesan Pemikirannya di Malaysia. Dalam artikalnya beliau telah cuba menghurai perkembangan aliran ini dan menganalisa kesan-kesannya kepada dunia Islam dan juga kesannya di Malaysia. Tetapi beliau tidak menghuraikannya dengan terperinci terutama isu yang berkaitan dengan budaya masyarakat Melayu itu sendiri.

Maka dalam kertas kerja ini, fokus akan diberikan kepada menghuraikan bentuk budaya Masyarakat Melayu terutama dalam aspek cara berfikir yang mempunyai hubungkait dengan fahaman Jabariyyah. Di samping itu penulis juga akan menghuraikan secara ringkas bentuk pemikiran Jabariyyah yang dikatakan mempengaruhi pemikiran segelintir masyarakat Melayu kini, di samping melihat sejarah, tokoh dan apakah kaitan pemikiran Jabariyyah dengan pemikiran masyarakat Melayu. Di samping itu penulis akan cuba melihat idea yang cukup menarik untuk diteliti iaitu pembentukan Minda Melayu Baru dalam era globalisasi. Idea ini pada hakikatnnya mempunyai hubungkait yang rapat dengan penekanan aspek Pemikiran Kritis yang diusahakan oleh golongan akademik di negara kita terutama ingin melihat dari aspek Islam. Penulis juga akan cuba melihat beberapa kesan pengaruh pemikiran Jabariyyah dalam beberapa bidang sehingga menjadi halangan kepada perkembangan dan corak berfikir masyarakat Melayu untuk menjadi satu bangsa yang maju.

Walaupun tulisan ini terhad dengan batasan sebuah kertas kerja, namun ianya harus dilihat sebagai aspek penting dalam proses perkembangan pemikiran khususnya dalam masyarakat Melayu yang pada masa kini dilihat ketinggalan dalam banyak aspek. Tetapi harus diingat walaupun penekanan dan galakan diberikan dalam membudayakan pemikiran kritis mahupun kreatif, falsafah asas kehidupan(philosophical foundation) seperti konsep tauheed uluhiyyah, tauheed rububiyyah, khilafah, tazkiyyah an-nas dan al-falah harus dijadikan tunjang kepada perkembangannya agar tidak tersasar daripada cara berfikir yang dipaparkan di dalam Al-Quran.

ALIRAN JABARIYYAH: SATU ANALISIS KONSEPTUAL

1.1 Definisi

Aspek awal yang harus diperhalusi dalam perbincangan ini adalah aspek definasi. Melalui definasi perbincangan seterusnya akan lebih jelas dan mudah difahami. Aliran Jabariyyah, al-jabariyyah atau terdapat juga di dalam sumber lain disebut sebagai al-Mujbirah berasal daripada satu perkataan al-jabr, iaitu dari sudut bahasanya bermaksud “terpaksa” atau “tiada kehendak” dan “tiada kebebasan”. Dalam Lisān al-‘Arab memberi maksud kekuasaan Allah di atas ciptaanNya sama ada di atas apa yang dikehendaki daripada suruhan mahupun larangan . Di dalam istilah bahasa Inggeris ia disebut sebagai “fatalism” atau “predestination”. Di samping itu ia juga ada hubungkait dengan persoalan al-Qadr iaitu sesuatu ketetapan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T kepada sekelian ciptaannya termasuk manusia sejak awal penciptaannya.

Walaupun pada awal kemunculan, ia adalah sekadar fahaman yang mengemukakan bahawa manusia tidak mempunyai kuasa mahupun upaya dalam menentukan kehendak dan perbuatan. Ini bermaksud segala perbuatan adalah terpaksa atau terikat dengan kehendak mutlak Pencipta iaitu Allah S.W.T dan manusia tidak mempunyai sebarang ikhtiar ke atas dirinya . Kemunculan aliran ini juga adalah hasil daripada persoalan agama yang bekaitan dengan Aqīdah di samping perkembangannya dipengaruhi oleh sistem politik Islam iaitu aspek kepimpinan , Imamah atau Khilafah semasa pemerintahan Bani Umayyah. Manakala Harun Nasution di dalam buku beliau yang bertajuk Teologi Islam, Aliran-aliran Sejarah Analisa Perbandingan mengemukakan hujah yang menarik untuk dilihat bahawa fahaman Jabariyyah ini telah dianuti oleh masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam lagi.

Beliau menulis:

Bangsa Arab, yang pada waktu itu bersifat serba sederhana dan jauh dari pengetahuan, terpaksa menyesuaikan hidup mereka dengan suasana padang pasir, dengan panasnya yang terik serta tanah dan gunungnya yang gondol. Dalam dunia demikian, mereka tidak banyak melihat jalan untuk mengubah keadaan sekeliling mereka sesuai dengan keinginan mereka sendiri. Mereka merasa dirinya lemah dan tak berkuasa dalam menghadapi kesukaran-kesukaran hidup yang ditimbulkan suasana padang pasir. Dalam kehidupan sehari-hari mereka banyak tergantung pada kehendak natur. Hal ini membawa pada sikap fatalistis”

Di dalam kertas kerja ini penulis tidak akan membincangkan aspek sejarah terutama di sekitar sejarah Bani Umayyah, di mana munculnya aliran ini, tetapi perbincangan akan difokuskan kepada bentuk pemikiran atau fahaman yang dibawa oleh beberapa tokoh dalam aliran ini yang dilihat mempengaruhi cara berfikir masyarakat Melayu sebagaimana yang dijelaskan di dalam pendahuluan di atas.

1.2 Pengasas dan Pemikiran Jabariyyah

Di dalam bahagian ini akan dipaparkan tokoh-tokoh awal Jabariyyah serta dasar pemikiran yang dibawa. Walaupun pada hakikatnya setiap daripada peneraju aliran ini mempunyai beberapa dasar pemikiran yang popular yang diikuti oleh pengikutnya tetapi penulis akan memfokuskan hanya dasar pemikiran yang melibatkan persoalan berkaitan perbuatan manusia(af’al al- ‘ibat) dengan perbuatan Allah(af’al Allah). Ini adalah kerana atas dasar pemahaman inilah penulis melihat ianya mempengaruhi cara berfikir segelintir masyarakat Melayu di samping budaya yang didokongi oleh mereka.

1.2(a)Aliran Al-Jahmiyyah dan Pemikirannya

Aliran Jabariyyah telah mula dipaparkan di dalam sejarah teologi Islam ialah oleh Ja’d Ibn Dirham dan ia telah dikembangkan dengan hebatnya oleh Jahm bin Safwan al-Rasi. Seterusnya aliran ini digelar sebagai alilran al-Jahmiyyah bersempena dengan nama beliau. Aliran ini adalah sebuah aliran yang radikal dan ekstrem. Dalam aspek yang ingin dibincangkan dalam kertas kerja ini iaitu persoalan perbuatan manusia(afal al-ibat), bahawa manusia tidaklah mempunyai kebebasan, kehendak, kemampuan(al-istiţa’ah) mahupun daya usaha sendiri. Di samping itu manusia juga dikatakan tidak mempunyai ikhtiar atau pilihan. Maka segala apa yang dilakukakan oleh manusia adalah dipaksa(majbur) dengan tiada kemahuan dan pilihan baginya . Segala perilaku dalam sesuatu yang berlaku adalah telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Maka segala perilaku manusia itu hanyalah simbolik semata-mata atau kiasan seperti mana peredaran bumi, terbit dan terbenamnya matahari serta pasang dan surutnya air laut yang semua itu di dalam kawalan dan ketentuan Allah. Selain itu ia juga termasuk dalam melaksanakan kewajipan, menerima pahala dan dosa .

Dalam pernyataan yang lebih radikal sifatnya, mereka beranggapan bahawa kalau mereka mencuri maka Allah yang mencuri, kalau mereka sembahyang maka Allah yang sembahyang, kalau mereka berpuasa maka Allah yang berpuasa dan begitulah seterusnya. Sehinggakan terdapat segelintir daripada mereka mempunyai fahaman yang lebih dalam iaitu menyatukan dirinya dengan kewujudan Allah. Mereka berkata “wujudnya dan wujud Tuhan satu” . Ini juga adalah tergolong dalam golongan yang mempercayai konsep Wahdatul Wujud sebagaimana yang dibincangkan di dalam perbincangan Tasawwuf.

1.2(b) Aliran Al-Najjariyyah dan Pemikirannya.

Al-Husayn bin Muhammad al-Najjar adalah pelopor kepada kumpulan kedua dalam aliran al-Jabariyyah. Selain dipanggil sebagai al-Najjariyyah ia juga dikenali sebagai al-Husayniyyah sempena nama beliau. Syahrastani di dalam kitabnya al-Milal wa al-Nihal berpandangan bahawa aliran yang dibawa oleh al-Husyan ini adalah aliran yang pertengahan atau moderat sifatnya.

Mengenai persoalan perbuatan manusia(af’al al-‘ibad) dan perbuatan Allah(af’al Allah), beliau mengatakan bahawa Allah berkuasa sepenuhnya mencipta setiap perbuatan manusia sama ada baik atau pun buruk iaitu sama sebagaimana pemikiran yang dibawa oleh Jahm bin Safwan. Tetapi yang membezakan di antara kedua-duanya ialah berkenaan persoalan kasb atau acquisition . Ini bermaksud manusia mempunyai pengaruh kepada kekuasaan baru dalam kewujudan perbuatan-perbuatan mereka. Walaubagaimanapun setiap apa yang berlaku masih lagi di atas kehendak Allah S.W.T.

1.3(c) Aliran Al-Dirariyyah dan Pemikirannya

Aliran al-Dirariyyah juga merupakan salah satu daripada aliran al-Jabariyyah yang dipelopori oleh Dirar bin ‘Amru al-Kufi yang wujud di akhir pemerintahan Bani Umayyah. Pemikiran yang dibawa oleh Dirar ini juga dikatakan aliran yang moderat sebagaimana aliran al-Najjariyyah mengenai konsep kasb . Menurut fahaman ini Tuhan dan manusia bekerjasama dalam mewujudkan perbuatan-perbuatan manusia . Manusia tidak semata-mata dipaksa melakukan perbuatan mereka. Walaubagaimanapun pada hakikatnya setiap perbuatan manusia itu adalah diciptakan oleh Allah S.W.T.

Hubungan dengan budaya berfikir masyarakat Melayu

Diketahui umum bahawa Aqidah yang dianuti oleh masyarakat Islam di Malaysia ialah mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah atau al-Asya’irah. Pelopor kepada aliran mazhab ini ialah Abu al-Hasan ‘Ali bin Isma’il. Beliau merupakan keturunan yang kesembilan sahabat Nabi iaitu Abu Musa al-Asy’ari dan merupakan seorang tokoh ilmu kalam yang terkenal. Menurut Prof. Madya Dr. Wan Zailan Kamaruddin di dalam artikal yang membincangkan aliran Jabariyyah dan kesannya di Malaysia, beliau menyatakan sama ada sedar atau tidak akidah yang dianuti oleh masyarakat Islam di Malaysia ini adalah bersumberkan fahaman Jabariyyah . Aspek yang paling jelas dilihat dalam pengamalan masyarakat adalah dalam persoalan perbuatan manusia(af’al ‘ibad) dan perbuatan Allah(af’al Allah) sebagaimana yang ingin dihuraikan oleh penulis dalam menghubungkannya dengan corak berfikir masyarakat Malayu.

Di dalam artikal yang bertajuk “ Asal-Usul, Pengaruh dan Kesan Aliran Al-‘Asya’ari dan Al-‘Asya’irah di Malaysia dan Kepulauan Melayu” beliau telah memberi gambaran yang jelas bahawa terdapat dua aspek yang memperkuatkan hujah bahawa pengaruh al-Jabariyyah mendasari pegangan aqidah masyarakat Islam Malaysia. Dua aspek itu adalah:

(i) Bahan-bahan pengajaran dan pendidikan dan 
(ii) Tokoh-tokoh ulama’ yang menyampaikan ajaran tersebut.

Maka dengan pengajaran yang berlaku, akhirnya meninggalkan kesan yang mendalam dalam pemikiran masyarakat Melayu sehingga mereka lebih cenderung menyerah kepada Allah sahaja dalam banyak perkara daripada berusaha mengatasinya. Penulis tidak berhajat untuk menghuraikan aspek ini dengan lebih lanjut, maklumat ini hanya sekadar untuk melihat bagaimana fahaman al-Jabariyyah mula bertapak dan akhirnya menjadi sumber utama aqidah bagi masyarakat Islam di Malaysia keseluruhannya. Huraian akan difokuskan lebih kepada bentuk berfikir atau budaya berfikir segelintir masyarakat Melayu yang dikatakan sebagai “ lemah ” hasil daripada pengaruh aliran al-Jabariyyah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...