Monday 26 March 2012

ANALISIS PEMIKIRAN-bhg 2


BUDAYA BERFIKIR MASYARAKAT MELAYU

Pendahuluan

Idea mengenai Pemikiran Kritis merupakan suatu konsep pemikiran yang telah lama diperbincangkan bahkan digunapakai oleh ulama’ Islam terdahulu dalam hal periwayatan hadith. Ia bukan suatu yang baru sebagaimana yang diperkenalkan oleh tokoh-tokoh pemikir barat sama ada tradisional mahupun moden seperti Socrates, Plato, Aristotle, Edward de Bono dan ramai lagi. Bahkan juga ilmu-ilmu hadith telah diajar di dalam sistem pendidikan kita di peringkat sekolah menengah apatah lagi di peringkat universiti terutama di dalam bidang Pengajian Islam.

Walaubagaimanapun ia hanya dilihat sebagai satu aspek teoritikal dalam pembelajaran di dalam kelas tetapi bukan satu aspek yang dapat membentuk pemikiran atau cara berfikir golongan pelajar secara praktikal. Apatah lagi untuk membentuk pemikiran masyarakat Melayu yang hanya bersandarkan pembelajaran tradisional iaitu kitab-kitab jawi yang merupakan warisan tradisi dan tidak terdedah kepada sistem pembelajaran semasa iaitu Sistem Pendidikan yang komprehensif dari sudut silibus mahupun pengisian.

Bangsa Melayu cukup kuat pegangannya dengan warisan tradisi mereka terutama budaya setempat dari segi kefahaman Islam, cara berfikir, hidup bermasyrakat dan banyak lagi. Malah mereka agak sukar untuk menerima suatu bentuk idea baru yang dirasakannya akan menggugugat stabiliti kehidupan apatah lagi yang bersangkutpaut dengan kefahaman agama mereka. Ini bermaksud masih wujud masyarakat Melayu lama yang terlalu bertaklid dan taasub kepada bentuk pemikiran tradisi yang telah berakar-umbi dalam pemikiran mereka sehinggakan tidak membuka ruang kepada mereka untuk berfikir lebih jauh, aggresif, menganalisa berasaskan sumber yang benar, apatah lagi untuk bersikap rasional dengan memahami realiti setempat.

Penulis berangapan idea untuk pembentukkan Minda Melayu Baru amat bertepatan dalam abad ke-21 harus dipergiat dikalangan pelajar lagi. Ianya akan dapat melahirkan bangsa yang dinamik sama ada dalam pemahaman Islam, cara berfikir mahupun melaksanakan sesuatu idea dengan dapat memahami kehendak dan tuntutan semasa serta tidak bertaklid serta taasub dengan warisan tradisional semata-mata. Maka dalam penerangan seterusnya penulis akan melihat beberapa aspek kelemahan budaya Melayu yang dikaitkan dengan kesan fahaman Jabariyyah sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini.

Dalam menghuraikan beberapa aspek ini penulis juga akan membawa contoh-contoh peribahasa yang sehingga ke hari ini masih lagi bermain di bibir masyarakat Melayu sama ada golongan muda mahupun tua. Peribahasa ini dilihat sudah sebati dengan pemikiran masyarakat sehinggakan mempengaruhi corak berfikir dan tingkah-laku.

Pertama: Aspek Takdir dan Nasib

Persoalan takdir ini amat berkaitan dengan persoalan al-Qada’ dan al-Qadr di dalam Islam. Walaubagaimanapun pemahaman yang cetek berkenaan persoalan itu di samping dipengaruhi pemikiran aliran Jabariyyah yang difahami daripada warisan tradisi sebagaimana yang dihuraikan sebelum ini masyarakat Melayu mempunyai fahaman yang berbeza daripada pemahaman Islam yang sebenar. Mereka mempercayai bahawa semua perkara telah ditentukan oleh Allah S.W.T sama ada baik atau buruk. Manusia tidak ada daya dan kuasa untuk mengubah ketetapan itu. Oleh itu manusia harus berserah kepada takdir yang ditentukan oleh yang maha kuasa, sekiranya mereka berusaha untuk mencapai kejayaan sedangkan Allah telah menetapkan mereka akan gagal maka mereka akan tetap gagal juga. Ini bermaksud segala usaha mereka sia-sia.

Di bawah ini terdapat beberapa peribahasa yang sinonim dengan masyarakat Melayu dalam menghuraikan persoalan takdir .

Untung sabut timbul, untung batu tenggelam
Secubit tidak dapat jadi segenggam
Yang sejengkal tidak dapat jadi sedepa
Malang tak boleh ditolak, mujor tak boleh diraih


Dalam pemerhatian penulis tidak terdapat satu pun pepatah Melayu yang menyatakan manusia boleh mempengaruhi takdirnya. Ini cukup jelas kepada kita bahawa pengaruh Jabariyyah cukup sebati dalam masyarakat Melayu sehinggakan telah dipaparkan ke dalam peribahasa Melayu. Bahkan sehingga ke hari ini ianya masih di paparkan di dalam buku-buku peribahasa Melayu. Seharusnya untuk mengelakkan daripada ianya terus dihayati oleh generasi akan datang pihak berwajib harus mencari usaha bersepadu untuk mengenalkan konsep-konsep peribahasa Melayu yang lebih berkonsepkan proaktif, agresif serta inovatif dalam menghadapi masa depan yang mencabar.

Sudah diakui bahawa fahaman sedemikian yang menganggap takdir adalah segalanya berlawanan dengan ajaran Islam. Pada hakikatnya manusia disuruh dan diwajibkan menggunakan akal dan berusaha menggunakan kebolehan yang dikurniakan Allah kepada mereka. Allah berfirman:“ Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri ” . Kalaulah takdir menentukan segalanya apa perlunya Allah S.W.T mengutus para nabi untuk membimbing manusia ke jalan yang lurus. Cuba lihat dari aspek rasioanal, kalaulah datang orang untuk merompak kita, adakah kita biarkan sahaja ianya berlaku dan berserah pada takdir? Tidakkah kita berusaha untuk menghalang daripada perkara itu berlaku? Bagi pandangan penulis kebanyakan masyarakat yang berpegang pada fahaman ini, adalah orang yang sentiasa mencari helah di atas kemalasan dan tidak mahu berusah lebih dan akhirnya hanya menyalahkan takdir apabila mereka tidak berjaya dalam kehidupan.

Kedua: Aspek Usaha dan Berdikari

Walaupun masyarakat Melayu mengggalakkan untuk berusaha tetapi sikap yang berserah pada nasib lebih kuat sehingga konsep usaha itu tidak dapat dilaksanakan dengan sepenuh hati. Sebagai contoh sikap “ ala kadar ” , “ cukup makan ” yang pada pandangan penulis harus dilenyapkan dari pemikiran generasi kini. Inilah antara satu sebab masyarakat Melayu ketinggalan dalam apa jua bidang terutama ekonomi dan pendidikan.

Tan Sri Dato’ Muhammad Ali Hashim menulis mengenai realiti sebenar masyarakat Melayu di dalam kertas kerjanya yang bertajuk Agenda Melayu: Ekonomi Melayu Pasca-Krisis Mencapai Kekebalan, “Pada hakikaynya, Melayu mempunyai dilema yang lebih hebat apabila dilihat di dalam konteks pencapaian Melayu yang masih jauh ketinggalan di dalam pelbagai bidang berbanding dengan pencapaian orang-orang bukan Melayu.....” .

Selain itu di dalam peribahasa Melayu juga kita dapat melihat betapa aspek usaha tidak dititikberatkan :

Belajar tinggi-tinggi akhirnya ke dapur juga
Ulat dalam batu pun ada rezekinya



Ketiga: Aspek Memandang ke Hadapan

Tedapat satu peribahasa Melayu yang menggalakkan untuk memandang ke hadapan iaitu, “ Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna ” , tetapi pengaruhnya di dalam masyarakat masih di tahap yang rendah. Ini adalah kerana sikap untuk berserah pada nasib masih lagi kuat dalam pemikiran masyarakat.

Keempat: Aspek Orientasi Akhirat keterlaluan

Di samping itu didapati masyarakat Melayu kurang mementingkan kehidupan di dunia mahupun untuk mencari kekayaan dan bersaing dengan bangsa lain. Ini adalah kerana fahaman ketentuan Allah yang mana semua akan mati dan akan meninggalkan segala-galanya di dunia. Sepertimana dapat dilihat dalam peribahasa iaitu “ Dunia ini pinjam-pinjaman, ke akhirat juga sudahnya ” . Selain itu pengamalan konsep ibadah sempit, mengutamakan bentuk ritual persendirian, kurang aspek kemasyarakatan dalam bidang mu’amalat, akhlak, persekitaran sosial dan fizikal, kebajikan komuniti, masyarakat dan umah serta pengamatan konsep takdir yang keterlaluan dan sempit dan hanya berserah pada nasib. Sedangan dalam Islam, Allah menyuruh hambanya berusaha dengan gigih di dunia dalam mencari kekayaan dengan cara yang halal walaupun akhirat adalah keutamaannya.

Kelima: Aspek Sindrom Mediokriti(Pencapaian Rehdah)

Ramai di antara masyarakat Melayu sama ada golongan Muda, Tua, peniaga, pelajar mahupun orang awam yang bersikap dengan “ sikap tidak apa ” dalam banyak hal. Ini adalah kerana semua itu telah ditetapkan oleh Allah. Justeru atas sikap itu mereka terus tidak mahu cuba merobah fikiran yang lebih jauh sehinggakan berpuas hati dengan pencapaian “cukup makan”, cari jalan mudah dalam banyak hal, dan kurang daya fikiran untuk bersaing terutama apabila mereka hanya di dalam kelompok Melayu sahaja.

Keenam: Sindrom Pergantungan

Sikap terlalu bergantung kepada nasib dan takdir akhirnya sikap ini terbawa-bawa kepada kebergantungan kepada hal yang bercirikan keduniaan. Sebagai contoh biasiswa, subsidi, pinjaman, kontrak daripada kerajaan dan banyak lagi. Akhirnya ini akan melemahkan dan membantutkan kreativiti dan inovasi terutama dalam pemikiran dan tindakan termasuk pembangunan masyarakat. Kesannya seperti kemunduran serta tidak dapat bersaing dengan bangsa lain. Sehinggakan ramai di antara graduan Melayu yang menganggur terutama daripada lulusan agama selepas tamat pengajian disebabkan sikap kebergantungan sepenuhnya kepada kerajaan untuk mendapatkan kerja. Mereka seolah-olah tidak boleh berfikir dan kreatif untuk mencipta peluang sendiri seperti melibatkan diri dalam perniagaan dan pelbagai peluang lain .

Ketujuh:Ketakutan kepada Matematik dan Sains

Akibat daripada fahaman yang sempit dan malas berfikir serta tidak mahu meningkatkan usaha dan komitmen yang lebih, ramai di kalangan pelajar melayu tidak berapa minat untuk mengikuti pengajian sains di peringkat universiti. Tetapi tidak dinafikan masih lagi ada pelajar yang mempunyai kesungguhan dengan usaha yang berterusan dan akhirnya berja dalam pelajaran mereka.

Kelapan: Kesalahfahaman Tafsiran Ayat-Ayat Al-Quran

Di dalam beberapa sumber yang membincangkan persoalan aliran Jabariyyah ini, terdapat ayat-ayat al-Quran yang disandarkan oleh kaum aliran ini sebagai sokongan kepada pemahaman mereka iaitu segala perkara yang berlaku adalah di bawah pengusaan Allah dan manusia tidak mempunyai ikhtiar dalam apa jua yang berlaku. Oleh itu di dalam bahagian ini penulis ingin melihat beberapa ayat yang yang disandarkan kepada aliran Jabariyyah ini dari perspektif tafsir. Adakah ia benar-benar merujuk kepada apa yang difahami oleh golongan Jabariyyah atau pun terdapat tafsiran lain di sebaliknya.

Contoh Ayat:

Kalau sekiranya Kami turunkan malaikat kepada mereka, dan orang-orang yang telah mati berbicara dengan mereka dan Kami kumpulkan(pula) segala sesuatu kehadapan mereka niscaya mereka tidak (juga) akan beriman, kecuali jika Allah menghendaki, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

SurahAl-An’am(6):112.


Penekanan yang khusus dibuat adalah pada maksud “niscaya mereka tidak(juga) akan beriman kecuali jika Allah menghendaki”. Pada hakikatnya ayat ini untuk menerangkan sikap keras kepala, kejahilan kaum musyrikin dan sikap mereka terhadap kerasulan Muhammad S.A.W iaitu akan beriman apabila telah melihat sendiri mukjizat risalah kerasulan dan bukti-bukti lain. Menurut tafsiran Ibn Kathir, walaupun bukti itu akan diberikan kepada mereka sedangkan Allah dengan kekuasaannya masih tidak mahu memberi hidayah untuk mereka beriman maka mereka tetap akan kufur . Sesungguhnya mereka yang telah ditetapkan oleh Allah dalam Lauh Mahfuz bahawa mereka akan mati dalam kekufuran seperti kaum musyrikin ini, maka selamanya mereka tidak akan beriman walaupun segala macam bukti dipaparkan. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

Sesungguhnya orang-orang yang telah pasti terhadap mereka kalimat Tuhanmu, tidaklah akan beriman. Meskipun datang kepada mereka segala macam keterangan, hingga mereka menyaksikan azab yang pedih.

Surah Yunus (10):96 – 97.


Jika dilihat daripada tafsiran ayat tersebut ianya menunjukkan kepada kekuasaan Allah dari aspek memberi hidayah. Semestinya aspek hidayah adalah di bawah kekuasaan dan kehendak Allah dan tidak ada hubungkaitnya dengan kekuasaan, ikhtiar mahupun usaha manusia. Maka pada pandangan penulis ayat ini tidak ada hubungkait yang kuat untuk menyokong pendapat Jabariyyah.

Dalam huraian di atas penulis hanya membuat pembahagian aspek ringkas dalam menerangkan corak berfikir masyarakat Melayu yang sedikit sebanyak menunjukkan wujud unsur Jabariyyah di dalamnya. Walaupun sebahagiannya tidak berapa menonjol di samping wujud unsur sampingan lain. Telah dilihat bahawa kesan pemikiran membawa impak yang amat besar kepada mana-mana bangsa khususnya Melayu sebagaimana yang dibincangkan. 



Kembali kepada perbahasan kesan Aliran Jabariyyah sebagai penghalang kepada cara berfikir masyarakat Melayu. Sama ada sedar atau tidak, hakikatnya fahaman berserah pada takdir dan nasib yang diwarisi dari generasi terdahulu masih lagi dirasai oleh masyarakat Melayu sama ada golongan tua atau pun muda dan sama ada berpendidikan atau pun tidak. Dan ianya dilihat sabagai satu sebab kemunduran masyarakat Melayu Islam terutama di Malaysia di samping aspek-aspek lain.

Penulis melihat bahawa pada hakikatnya generasi Melayu kini masih belum bersedia dengan pendekatan pemikiran kritis ini untuk diketengahkan. Ini adalah kerana peratus untuk melahirkan generasi yang mampu berfikir dengan baik atau generasi yang mempunyai minat untuk melahirkan idea-idea baru yang kreatif cukup sukar apatah lagi untuk menangani isu-isu terkini yang melibatkan kajian yang mendalam dari pelbagai sudut. Jika dilihat di Institut Pengajian Tinggi Awam(IPTA) golongan pelajar dari jurusan agamalah akan memikul tanggungjawab ini.

Tetapi hakikatnya pelajar-pelajar ini masih tidak mempunyai pemikiran yang terbuka dan mempunyai sumber yang terhad iaitu hanya berdasarkan nota-nota di bilik kuliah sahaja. Dan ada juga sebahagian daripada mereka berjuang hanya untuk mendapatkan gred yang baik di dalam peperiksaan semata-mata dan tidak pula benar-benar memahami apa yang dipelajari. Manakala segelintir daripada mereka pula telah ditanam dengan fahaman kepartian yang mendalam. Di sini penulis melihat bahawa semua itu memerlukan usaha dan komitmen yang berterusan dan istiqamah. Adakah kita melihat generasi Melayu Islam berada dalam kapasiti itu berbanding generasi lain?

Penutup

Walaubagaimanapun sebagai kesimpulan awal, penulis optimis dengan pembangunan untuk melahirkan generasi baru yang berfikiran kritis dan tidak hanya bertaklid atau menerima bulat-bulat apa sahaja yang mereka terima. Tetapi penulis mengandaikan bahawa usaha-usaha awal untuk meningkatkan daya berfikir dan minat untuk berfikir dengan menghadapi cabaran abad ini harus dipergiat terutama di peringkat universiti. Jika usaha ini berjalan dengan baik dengan sokongan golongan berwajib penulis percaya kita akan dapat melahirkan generasi yang boleh menjadi global player, insan al-kamil serta agent of change yang bukan hanya berfikiran kritis tetapi memahami nilai-nilai agama yang tinggi.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...