Sunday 25 March 2012

Dr Mustafa Sibai'e-mujahid ulung


Namanya mungkin tidak semasyhur Imam Hassan al-Banna atau Syed Qutb, namun bagi yang mengenali tokoh ini dan membaca sejarah hidup beliau, pasti tidak ragu-ragu untuk membariskan namanya bersama tokoh gerakan Islam yang lain.

Beliau dilahirkan pada tahun 1915M di bandar Hims, Syria dan dibesarkan dalam sebuah keluarga yang mulia dan beragama. Keturunannya turun-temurun mewarisi jawatan imam dan khatib di Masjid Besar Hims. Bapanya, Syeikh Hussaini adalah tokoh agama yang disegani. Pernah terlibat dalam gerakan bersenjata menentang penjajahan Perancis. Beliau juga terkenal dengan kerja-kerja amal kemasyarakatan melalui badan-badan yang ditubuhkannya.

Syeikh Mustafa sejak kecil lagi telah meng-hafal al-Qur’an dan mempelajari asas-asas ilmu agama dari bapanya sendiri. Setelah tamat sekolah rendah dengan cemerlang, beliau dimasukkan ke Ma’ahad Sya’ie di Hims pada tahun 1930. Ketika itu, beliau telah menunjukkan minat dalam medan dakwah. Beliau telah menubuhkan Ikatan Agama Hims, Pemuda Muhammad s.a.w. dan sewaktu di Damsyik, beliau menubuhkan Pemuda Islam Damsyik. Sebelum mencapai umur 18 tahun, beliau telah diberi kepercayaan untuk berkhutbah menggantikan tempat bapanya.

Ketika itu, usahanya tertumpu kepada menentang Penjajah Perancis. Beliau menubuhkan satu gerakan bawah tanah untuk menentang sekolah- sekolah Kristianisasi yang ditaja oleh penjajah.
Beliau menulis dan menyediakan maqalah-maqalah bertujuan untuk menimbulkan kesedaran rakyat supaya menolak penjajah dan membongkar niat buruk mereka melalui penubuhan sekolah tersebut. Tidak cukup dengan itu, beliau bertindak berani membuat perhimpunan rakyat, berpidato di atas pentas dan seterusnya memimpin demostrasi menentang penjajah. Akibatnya, beliau dipenjara pada tahun 1931, kejadian ini berulang lagi pada tahun 1932 dan sekali lagi beliau ditangkap.

Setelah dibebaskan, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar, Kaherah pada tahun 1933 dalam bidang Syariah, kemudian Usuluddin. Kesempatan berada di Kaherah tidak diambil untuk berehat, semangat juangnya tetap berkobar. Di sini beliau berkenalan dengan as-Syahid Hassan al-Banna dan gerakan Ikhwan Muslimin. Dr. Mustafa menjadi pendakwah Ikhwan yang aktif sama ada di kampus atau di kampung pedalaman. Bencinya kepada penjajah tidak pernah hilang. Kali ini di Mesir dan penjajahnya British.

Beliau memimpin demostrasi pelajar dan ditangkap lagi pada tahun 1934. Pada tahun 1940, beliau dipenjara lagi. Kali ini dengan tuduhan menubuh gerakan bawah tanah dan menyokong pemberontakan Rashid al-Qhoilani menentang British. Beliau ditahan selama 2 bulan di Kaherah dan 4 bulan di Palestin. Walaupun aktif berjuang, pelajarannya tidak diabaikan. Beliau telah berjaya menamatkan Ijazah Sarjana Syariah dan Usuluddin dengan cemerlang.

Pada tahun 1941, beliau pulang ke Syria dan kepulangannya menakutkan Penjajah Perancis. Beliau dipenjara lagi di Hims dan Beirut selama dua tahun setengah dan dikenakan bermacam-macam jenis deraan dan seksaan. Namun ini tidak mematahkan semangatnya. Setelah dibebaskan pada tahun 1943, beliau masih mampu membuat perhimpunan raksasa dan menyampaikan pidato nya yang berapi-api, walaupun undang-undang darurat dikenakan.

Kali ini isu Palestin yang diceroboh Yahudi. Kemarahan memuncak pada tahun 1948 apabila PBB dengan rasminya memecahkan Palestin kepada Yahudi dan Arab. Dr. Mustafa bangkit mengelilingi Syria berpidato mengajak pemuda Syria keluar berjihad menentang Yahudi. Kumpulan pemuda terpilih berjaya dikumpulkan di bawah bendera Ikhwan Muslimin Syria yang ditubuhkan pada 1945. Beliau sendiri yang mengepalai angkatan ini bergabung dengan kumpulan Arab yang lain. Gerakan ini boleh mencapai kemenangan kalau tidak ada pakatan jahat bersama antara Yahudi dan kepimpinan tentera Arab yang berakhir dengan arahan supaya berundur. Dr.Mustafa as-Sibaie cukup marah dan pulang berpidato menjelaskan kepada rakyat Syria tentang pakatan jahat itu.

Pada tahun 1949, dalam kesibukan berjihad dan berjemaah, beliau berjaya menyiapkan tesis Ph.D bertajuk ‘As-Sunnah dan Kedudukannya Dalam Perundangan Islam’. Satu tesis yang cukup bermutu membela Islam di medan Sunnah dan menolak hujah-hujah orientalis yang mengelirukan.

Lajnah Ulama’ Besar bersepakat menganugerah pangkat Imtiyaz. Beliau pulang ke Syria pada tahun 1950 dan menjawat jawatan Pensyarah di Fakulti Undang-undang di Universiti Damsyik. Dr. Mustafa menjalankan perkhidmatannya dengan cemerlang. Berkat kegigihannya, pada tahun 1955 beliau berjaya menubuhkan Fakulti Syariah dan dilantik menjadi Dekan pertama.

Antara usaha pertamanya ialah mewujudkan Ensiklopedia Fiqh Islam yang menjadi rujukan utama kepada alim ulama’ masa kini di samping pembaharuan-pembaharuan lain, bertujuan melahirkan pelajar Islam yang bermutu dari sudut akademik dan dakwah. Beliau juga berpeluang menziarahi Turki, Itali, Britain, Ireland, Belgium, Poland, German, Swiszerland, Perancis, Rusia dan lain-lain dalam rangka lawatan mengkaji sistem pengajian Islam di negara-negara tersebut. Beliau mengambil peluang ini untuk memperbetulkan cara pemikiran pada orientalis.

Dalam bidang politik, Dr. Mustafa as-Siba’ie merupakan ahli Parlimen Damsyik (1949-1954) yang banyak bersuara menyampaikan hasrat rakyat dan membuat cadangan-cadangan yang membina. Dalam aspek kewartawanan, beliau berjaya melancarkan akhbar as-Syihab pada tahun 1955 setelah diberi kebebasan bersuara di Syria. Pada tahun yang sama, majalah al-Muslimun dikeluarkan di Mesir, tetapi diharamkan. Beliau mengambil alih untuk mencetak dan mengedarkannya di Syria. Pada tahun 1958, majalah al-Muslimun ditukar namanya kepada Hadharah Islam.

Setelah pulang dari Soviet Union, pada tahun 1957, dalam rangka lawatan sebagai Dekan Fakulti Syariah di Universiti Damsyik, beliau diserang sakit teruk sehingga melumpuhkan separuh tubuhnya. Beliau terpaksa berehat dan mengurangkan kegiatannya. Namun beliau tetap menyampaikan ceramah-ceramahnya kepada pelajar-pelajar Kuliah Syariah di Dewan Perdana.

Setelah tujuh tahun mengalami sakit teruk, akhirnya beliau menghembuskan nafasnya terakhir pada tanggal 3 Oktober 1964. Antara khazanah ilmu yang ditinggalkan ialah As-Sirah an-Nubuwwah Durus wa ‘Ibar, Al-Istishraq wal Mustasyriqun, Al-Mar’ah Baina al-Fiqh wal-Qanun dan banyak lagi.

Semoga Allah mencucurkan rahmat danmaghfirah ke atas roh beliau dan menempatkannya bersama Para nabi, Siddiqin, Syuhada’ dan solehin

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...