Wednesday 28 December 2011

MENGENALI JAMAAH TABLIQH

Pengenalan
Dari segi sejarahnya, gerakan Jamaah Tabligh diasaskan oleh Maulana Muhammad Ilyas (1885-1944). Beliau dilahirkan dan dibesarkan di Kandhela serta menerima pendidikan awalnya di Kuttab sekitar tahun 1896 bersama-sama abangnya Muhammad Yahya.
Faktor utama kemasyhuran Maulana Muhammad Ilyas al-Kandahlawi adalah terletak kepada gerakan Islam yang diasaskan olehnya iaitu Jamaah Tabligh. Sejarah kemunculan gerakan ini bermula di Mewat apabila beliau menubuhkan madrasah-madrasah untuk mendidik orang-orang di situ. Tetapi oleh kerana kurang sambutan maka dibentuknya sebuah jemaah yang bertugas untuk bertabligh dan melawat tempat-tempat tertentu selama beberapa hari. Selepas kematian abangnya iaitu Muhammad Yahya, pusat kegiatannya lalu berpindah ke Masjid Bangle Wali, Nizamuddin, New Delhi. Semenjak inilah gerakan Jamaah Tabligh terkenal ke seluruh India.
Di Malaysia pada mulanya gerakan Jamaah Tabligh berkembang di kalangan orang-orang India Muslim sahaja. Tokoh yang memperkenalkan gerakan ini ialah Maulana Abdul Malik Madani, yang datang ke Singapura dan Selangor sekitar tahun
1952 sebagai utusan dari markasnya di Nizamudin sendiri. Dari Singapura, beliau lalu datang ke Kuala Lumpur selama beberapa hari dan berangkat ke Ipoh dan Pulau Pinang lalu kembali ke Kuala Lumpur dan terus pulang ke India melalui Singapura.
Semasa di Kuala Lumpur beliau disambut oleh beberapa orang tokoh India Muslim seperti Dato’ Daud Ahmad Merican, T. K. S Abdul Majeed dan S. O. K Ubaidullah. Melalui bantuan Imam Masjid India di Kuala Lumpur ketika itu, iaitu Mohamed Syed, Maulana Abdul Malik dapat menerangkan program tablighnya kepada orang-orang India-Muslim di sini.
Demikianlah sepanjang tahun 1950-1960 kegiatan Jamaah Tabligh ini tertumpu kepada kaum India Muslim sahaja. Namun begitu mulai tahun 1970-an bermulalah tahap yang kedua dalam sejarah Jamaah Tabligh di Malaysia iaitu apabila kegiatannya turut melibatkan orang-orang Melayu di dalamnya.
Asas-Asas Ajaran Jamaah Tabligh
Agak sukar hendak ditinjau secara mendalam mengenai corak pemikiran dan ajaran Jamaah Tabligh kerana kekurangan sumber. Ini kerana jumlah buku-buku yang menjadi pegangan mereka amat sedikit. Tambahan pula mereka lebih mementingkan kegiatan amali daripada kegiatan menulis dan berteori. Ini agak bercanggah dengan nasihat Maulana Muhammad Ilyas sendiri kepada para karkun (ahli) yang jelas sekali sangat mementingkan penyampaian dakwah melalui penulisan. Malangnya nasihat ini kurang diperhatikan, maka terbentuklah sikap apatetis terhadap lapangan penulisan berunsur dakwah di kalangan ahli-ahli mereka.
Namun begitu, sedikit sebanyak aspek-aspek ajaran Jamaah Tabligh ini akan dikupaskan terutamanya di Malaysia. Pertama sekali tujuan diperkatakan bahawa wujudnya gerakan Jemaah Tabligh ini ialah berdasarkan dua ayat Al-Quran:-
Yang bermaksud:-
Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung.” (Al-Imran : 104)
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasiq.” (Al-Imran :110)
Jadi selaras dengan gerakan ini sendiri, matlamat utamanya ialah untuk menjalankan tabligh atau dakwah yang mengajak manusia ke jalan Allah s. w. t. dengan menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar. Jamaah tabligh ini memberi penekanan kepada ajarannya sehingga perkara-perkara lain menjadi kurang penting. Ini tidak bermakna mereka mengabaikan perkara-perkara lain tetapi tujuan terpenting ialah melaksanakan tabligh ini biarpun para anggotanya kurang berilmu atau tidak berilmu.
Semuanya itu merupakan tujuan atau matlamatnya secara umum. Adapun secara khususnya, gerakan ini berpusat pada dua ajaran pokok: material dan spiritual. Dari segi materialnya, tujuannya ialah untuk mengadakan perjalanan tabligh secara berkumpulan dari satu tempat ke satu tempat . Sedangkan dari segi spiritualnya, ia bertujuan menghidupkan kembali semangat dan menyerahkan seluruh kehidupan kepada perintah Allah s. w. t., sebagaimana tersebut dalam al-Quran, surah an-Nisa (maksudnya):
Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka persilisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.”
Maka tujuan utama Jamaah Tabligh ialah melaksanakan perjalanan tabligh untuk menyeru dan mengamalkan Islam sebagaimana yang dijalankan oleh para Nabi dan Rasul. Jadi misi tabligh ini berjalan serentak dengan amalan iaitu teori dan praktiknya sekaligus. Di samping itu mereka belajar melalui kitab dan teladan.
Menurut ajaran Maulana Muhammad Ilyas, terdapat prinsip-prinsip ajaran yang tertentu yang harus dijadikan pegangan asas. Yang pertama sekali ialah prinsip Iman, atau disebut sebagai kalimah Tayyibah sahaja. Yang dimaksudkan dengan Kalimah Tayyibah di sini ialah “La ilaha iIlallah, Muhammad Rasulullah” iaitu tiada Tuhan yang lain melainkan Allah, Muhammad itu pesuruh Allah. Seseorang itu bukan sahaja harus melafazkannya selalu, malah perlu memahami pengertian dan falsafah yang terkandung di dalamnya. Dengan menyebutnya selalu dia bukan sahaja mendapat pahala, bahkan dapat mengelakkannya dari menyengutukan Allah dan perbuatan-perbuatan mungkar.
Melihat dari segi ini jelas sekali keutamaan Iman pada pandangan Muhammad Ilyas. Bagaimanapun selepas menyentuh tentang kepentingan dan keutamaannya, tidak pula dibahaskannya secara lanjut dalam hubungannya dengan realiti kehidupan umat Islam sebagai contoh di India pada ketika itu yang merupakan wilayah yang paling banyak tersebarnya kepercayaan tahyul, khurafat dan syirik yang benar-benar mengancam kemurnian Iman dan Aqidah.
Muhammad Ilyas lebih gemar bercakap tentang kegiatan tabligh daripada menyentuh masalah syirik. Walaupun didapati beliau sama sekali tidak melayani permintaan untuk memberi azimat atau tangkal, namun beliau tidak pula menyebutkan dengan tegas bahawa azimat dan tangkal itu adalah amalan syirik belaka sebagaimana banyak tersebut dalam hadis-hadis sahih. Ringkasnya, keutamaannya kepada matlamat perjuangannya untuk bertabligh mengatasi persoalan-persoalan lain.
Mengiringi prinsip pertama ialah prinsip kedua, iaitu Solat (Namaz). Menurut Muhammad Ilyas, Kalimah Tayyibah dan Namaz ini merupakan dua prinsip yang asasi dan terpenting. Fadhilat Salat adalah terlalu banyak jika hendak diperhitungkan, apalagi jika ianya dikerjakan secara berjamaah. Ketika menyentuh tentang kepentingan Kalimah dan Namaz ini, Muhammad Ilyas telah berkata:-
“The principal aim and purpose of our endeavour is to teach the Muslims all the things the holy Prophet had brought with him i. e., to integrate the Ummat with the whole of the practical and conceptual structure of Islam. This is our primary object. As for the setting out of Jama’ats and Tabligh rounds, these are the elementary means to the realisation of that ends, while the teaching of the Kalima And Namaz are, so to speak, the ABC of our curriculum.”
Penekanan kepada prinsip Namaz atau Solat ini berkait rapat dengan sikap Muhammad Ilyas sendiri terhadap suasana keagamaan pada zamannya. Baginya ketika itu penyakit umat Islam yang terbesar ialah kejahilan tentang agama terutamanya mengenai ajaran dan kewajipan yang paling asas. Sesuai dengan pandangan kesufian yang menguasai dirinya, maka tuntutan yang paling mendesak baginya ialah penanaman ilmu pengetahuan yang asas iaitu Solat atau Namaz.
Seterusnya prinsip Jamaah Tabligh yang ketiga ialah ilmu dan zikir. Yang dimaksudkan dengan ilmu di sini ialah ilmu yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s. a. w. atau yang dapat mendekatkan diri kepada Allah s. w. t. Seperti solat, puasa, haji, zakat atau fitrah. Bagi kefahaman secara umum mereka diperlukan mengkaji kitab Tabligh-Nisab oleh Muhammad Zakariya al-Kandahlawi yang mengandungi perbahasan khusus tentang fadhilat-fadhilat tabligh, solat, puasa Ramadhan, bacaan Al-Quran, zikir, salawat, haji, sedekah dan kisah-kisah para sahabat.
Seiring dengan ilmu pengetahuan ialah amalan zikir iaitu mengingati Allah s. w. t. Dari segi rohaninya tujuan zikir ialah terus menerus setiap masa dan di mana sahaja mengingati Allah. Malah bagi Muhamad Ilyas, melakukan sesuatu untuk mendapatkan keredhaan Allah itulah zikir.
Prinsip yang keempat ialah penghormatan kepada orang-orang Islam baik kanak-kanak, orang tua, para ulama dan sebagainya. Sikap menghargai orang lain ini sebenarnya sangat penting bagi Muhammad Ilyas, kerana punca kesulitan atau kejahatan di kalangan manusia adalah kerana ketiadaan sikap ini.
Prinsip yang kelima ialah niat yang ikhlas, yakni setiap amalan atau perbuatan hendaklah semata-mata kerana Allah s. w. t., dan bukannya kerana lain. Sebarang perbuatan kerana keredhaan yang lain daripada Allah s. w. t., adalah munafiq, atau kiranya dengan menunjuk-nunjuk saja adalah dikira riak yang mana disifatkan sebagai syirik kecil.
Dalam ertikata yang lain, seseorang itu hendaklah memupuk di dalam dirinya sifat Iman dan ihtisab yakni melaksanakan sesuatu dengan penuh keyakinan kepada Allah s. w. t. Dengan penuh pengharapan tentang adanya ganjaran di akhirat nanti.
Prinsip yang keenam ialah melapangkan waktu atau mengorbankan masa untuk melaksanakan tabligh. Baginya inilah tujuan besar para Nabi dan memang untuk inilah Jamaah Tabligh ditubuhkan. Para Sahabat besar memang menyedari hakikat ini. Justeru itu mereka sanggup mengorbankan masa, harta dan jiwa mereka untuk bertabligh di sana-sini. Kerana itu adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah ini, sama seperti amalan para Nabi dan sahabat itu.
Selain dari itu terdapat juga prinsip menjauhi percakapan dan perbuatan yang sia-sia. Muhammad Ilyas pernah menegur orang-orangnya yang berceramah panjang dengan tidak memfokus dan menjurus kepada usaha tabligh ini.
Inilah prinsip-prinsip asasi Jamaah Tabligh sepertimana yang diajarkan oleh pengasasnya Maulana Muhammad Ilyas. Di Malaysia, ajaran-ajaran ini tersebar melalui sebuah risalah yang disusun oleh Maulana Ashiq Elahi.
Ajaran Tasawwuf Sunni dalam Jamaah Tabligh
Pengasas Jamaah Tabligh iaitu Maulana Ilyas adalah pengikut tariqat Chistiyyah dari cabang Sabiriyyah. Bagaimanapun beliau tidak bergantung kepada ajaran tariqat ini sahaja malah turut memanfaatkan ajaran dari tariqat lain seperti Naqshabandiyyah, Qadiriyyah dan Suhrawardiyyah.
Pertama sekali ialah tentang unsur adab dan akhlak yang mendapat kedudukan yang utama di dalam Jamaah Tabligh. Dalam hal ini risalah Enam Prinsip Tabligh oleh Maulana Asahi Elahi itu adalah merupakan pegangan asasi mereka. Sungguhpun prinsip yang pertama dan kedua iaitu Iman dan shalat itu merupakan ajaran Tauhid dan Fiqh, tetapi cara pendekatannya adalah bersifat tasawwuf.
Mengenai prinsip tabligh yang berikutnya, semuanya boleh dikatakan merupakan ajaran tasawwuf akhlak belaka iaitu ilmu dan zikir, menghormati orang-orang Islam, niat yang ikhlas, mengorbankan masa untuk bertabligh dan menjauhi percakapan dan perbuatan-perbuatan yang sia-sia.
Tetapi seperti yang dinyatakan sebelum ini, tasawwuf dalam Jamaah Tabligh lebih bersifat amali. Daripada menghabiskan masa mengkaji teori-teori tentang akhlak yang baik dan buruk, mereka lebih senang mempelajarinya terus melalui contoh teladan atau kehidupan para sahabat. Sebagai contoh Maulana Muhammad Mansoor Nu’mani menegaskan antara sifat-sifat para sahabat Nabi yang perlu diikuti ialah iman, amal, takut kepada Allah dan hari Akhirat, ukhwah dan mujahadah. Dari segi lahiriah pula, umat Islam hendaklah berbeza daripada golongan lain seperti dengan cara memelihara janggut dan bukannya misai.
Mereka melakukan cara pembentukan akhlak seseorang kepada akhlak Islam ialah dengan cara mendekatkan diri dengan hidup dan mengalami sendiri bersama-sama dengan golongan tabligh itu. Dalam perjalanan tabligh itu seseorang itu bukan sahaja bertabligh bahkan turut belajar dan merasai kehidupan mereka secara tabii dan langsung.
Mengenai unsur yang kedua, iaitu wirid dan zikir, seperti juga unsur yang pertama, ia merupakan ciri ajaran Jamaah Tabligh yang sangat utama. Bagaimanapun berdasarkan sumber-sumber yang ada, amalan tariqat dalam Jamaah Tabligh tidak banyak dicampuri oleh ajaran daripada syeikh atau guru tariqat yang menjadikan sumber kasyaf sebagai punca rujukannya. Ini mungkin disebabkan Jamaah Tabligh lebih banyak berpegang kepada sumber Hadith dan contoh-contoh kehidupan para Sahabat.
Berdasarkan dalil Al-Quran, Hadith dan ucapan para Sahabat, gerakan Jamaah Tabligh menekankan fadhilat atau keutamaan mengerjakan ibadah-ibadah solat, puasa Ramadhan, haji dan sedekah. Terutama fadhilat solat yang diberi penekanan yang bersungguh-sungguh sehinggakan sebarang usaha tabligh atau ghast itu semuanya berakhir dengan mengajak umat Islam ke masjid atau surau untuk mendirikan solat berjemaah serta mendengar beberapa peringatan (zikir) tentang Iman dan akhlak.
 Empat perkara yang tidak boleh disentuh;
·                       Perbedaan aqidah.
·                       Khilafiah/ mazhab.
·                       Politik, aib masyarakat, pangkat serta derma.
·                       Berdebat (mujadalah).

Kemudiannya tentang unsur yang ketiga iaitu doktrin falsafah dan metafisika, jelas sekali Jamaah Tabligh di Malaysia tidak terlibat dengannya. Ini didasarkan Maulana Muhammad Ilyas lebih menekankan soal-soal yang asas dan mudah daripada yang sulit dan mendalam.
Selain itu tokoh seperti Maulana Muhammad Ilyas ini cukup dikagumi oleh al-Nadwi yang dalam bukunya hanya memberi pujian dan penghormatan kepada Maulana Muhammad Ilyas ini. Padahal sebagai seorang ulama yang kritikal, walaupun beliau mengkagumi seseorang tetapi jika tokoh berkenaan turut menganuti tasawwuf falsafah yang berasaskan wahdat al-wujud nescaya dia akan mencari sasaran kecaman al-Nadwi.
Ini kerana pendirian Abul Hassan al-Nadwi dalam masalah tasawwuf wahdat al-wujud ini sangat jelas. Baginya umat Islam telah membuang masa dan tenaga untuk memikirkan dan berfilsafat tentang sesuatu yang tidak ada gunanya. Mereka mempelajari falsafah dan teologi Greek yang sebenarnya tidak lain hanyalah lanjutan dari ajaran syirik belaka. Umat Islam bukan sahaja membahas tentang roh, falsafah wahdat al-wujud dan sebagainya yang memerlukan tenaga dan waktu yang tidak sedikit. Demikianlah menurut pendapat al-Nadwi jika Islam dan keasliannya ini sudah dicampuri dengan bida’ah dan tambahan persoalan baru yang dibuat oleh tenaga manusia, akibatnya nilai keaslian agama ini dengan sendirinya akan lenyap.
Demikianlah berdasarkan kenyataan ini, Jamaah Tabligh memang tidak mengandungi ajaran tasawwuf yang berunsur falsafah dan metafisika tersebut. Namun begitu pandangan Jamaah Tabligh terhadap persoalan-persoalan kehidupan dan kemasyarakatan seperti pendidikan, sosial, ekonomi, politik dan sebagainya adalah agak kabur.
Bagaimanapun secara umumnya memang terdapat cara penyelesaian terhadap persoalan-persoalan kehidupan dan kemanusiaan seluruhnya. Bagi Jamaah Tabligh faktor utama yang menentukan susah senangnya manusia adalah berpunca daripada sifat dan kelakuan diri sendiri. Jelasnya segala bencana atau penderitaan yang dialami itu adalah akibat daripada dosa atau keengkaran manusia kepada Allah s. w. t. Jadi supaya manusia dapat mengatasi masalah-masalah dan penderitaan yang dialaminya, perlulah mereka menghindari dosa-dosa dengan cara mentaati perintah-perintah Allah s. w. t.
Walaupun penyelesaian secara umum tersebut mempunyai kebenarannya yang tersendiri namun tidak terdapat keterangan lanjut tentang bagaimana hubungannya dengan persoalan-persoalan pendidikan, sosial, ekonomi, politik dan sebagainya.
Saranan Kepada Jamaah Tabligh Di Malaysia
Kita melihat usaha ke arah pemantapan iman dan amal yang di ketengahkan oleh Jamaah Tabligh mempunyai kekuatan tersendiri untuk menjadi pemangkin kepada kekentalan akidah. Namun, dalam konteks masa kini ia mestilah dilihat dan dianalisis secara khusus supaya ia boleh menyumbangkan khidmatnya yang maksimum lagi berkesan dalam skop dan perspektif semasa yang permasalahannya cukup rencam, kompleks lagi tersendiri.
Saranan pertama adalah merujuk kerpada usaha bertabligh yang cuma tertumpu kepada bacaan al-Quran dan telaah hadis secara literal sahaja. Keadaan ini mestilah dilebarkan skop cakupannya kepada pembacaan bahan-bahan kesusasteraan atau literatur semasa yang dihasilkan oleh para cendekiawan semasa yang beroleh inspirasi daripada kandungan al-Quran dan hadis. Bahan-bahan kesusasteraan sacred seumpama ini mestilah diwujudkan di tengah masyarakat dengan membawa tema-tema yang boleh menyumbang ke arah menyubur dan memperkukuhkan segenap segi pegangan akidah. Ia mesti wujud dan berada pada taraf arus perdana yang sentiasa bersifat trendy sehingga berupaya meminggirkan bahan-bahan bacaan picisan yang dilihat oleh masyarakat sebagai bahan yang bersifat out-dated dan obsolete
Saranan kedua pula, kita melihat ia perlu diperluaskan dimana usaha dakwah tidak hanya dihadkan kepada tugasan ibadat khusus sahaja tetapi mesti juga dirangkum bersama tugasan-tugasan ibadat umum. Ibadat mestilah diberi dan diletakkan dalam definisi atau perspektif baru sehingga diperluas skopnya bagi menjadi setiap aktiviti hidup harian masyarakat seumpama makan dan minum, mencari nafkah hidup dan lain-lain sebagai satu ibadat. Dalam kata lain, iaitu satu perspektif yang membudayakan hidup seluruhnya sebagai satu ibadat.
Saranan ketiga pula perlu dilihat dalam perspektif keseluruhan masyarakat iaitu diperluaskan daripada individu yang soleh kepada masyarakat yang soleh. Masyarakat dan semua institusinya yang utama, khususnya institusi kekeluargaan, pendidikan dan media massa, secara umum mestilah berfungsi sebagai sumber kepada contoh teladan yang baik, khususnya dalam segi yang ada hubungan langsung dengan persoalan akidah dan gaya hidup harian. Ibu bapa, guru, para pemimpin adalah di antara kalangan yang mesti memainkan peranan penting dalam usaha kearah masyarakat soleh ini. Ringkasnya, masyarakat soleh mestilah berupa sebuah masyarakat yang memiliki persekitaran yang amat kondusif kepada segala sesuatu yang boleh dijadikan contoh teladan yang baik dan boleh menjadi pemangkin ke arah menghasilkan kepercayaan dan keyakinan yang teguh terhadap pegangan akidah.
 Di antara para-para ulama Malaysia terkenal lepasan dari Darul uloom Debondi,India
a. Allahyarham Dr Burhanuddin al-Helmi
b. Allahyarham Ustadz Fadzil Nor
c. Allahyarham Mufti Ishak Baharum
d. Allahyarham Tuan Guru Haji Abas bin Haji Ahmad (Madrasah Itifaqiah Jertih, guru TGNA)
e. Allahyarham Tuan Guru Abdullah Haji Ahmad @ Ustaz Lah India (Madrasah Itifaqiah Jertih, guru TGNA)
f. Allahyarham Tuan Guru Azahari Razak
g. Allahyarham Tuan Guru Haji Wan Muhammad Izzuddin (anak Tuan Guru Pak Cu Him Pondok Gajah Mati, Kedah)
h. Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat
i. Ustadz Abu Bakar Umar
j. Ustadz Haji Ahmad Perai
k. Ustadz Nur Azli Musa

Penutup
Begitulah serba sedikit mengenai sejarah Jamaah Tabligh dan perkembangannya di Malaysia serta serba ringkas mengenai asas ajarannya. Pada pandangan penulis, Jamaah Tabligh adalah selari ajaran ahli Sunnah Wal-Jamaah cuma ajarannya tidaklah lengkap dan menyeluruh. Ini kerana ianya tidak menekankan soal-soal seperti politik, ekonomi dan sosial. Sebagai contoh apabila penulis bertanya tentang soalan adakah kita sebagai umat Islam perlu berpolitik demi kepentingan Islam, jawapan yang diperolehi ialah Rasulullah s. a. w. tidak pernah berpolitik dan tidak terlibat dengan pilihan raya. Begitu juga dengan soalan lain seperti apakah yang perlu kita lakukan untuk mendaulatkan sistem pentadbiran Islam, sistem ekonomi Islam, sistem perundangan Islam dan sebagainya jawapan yang diperolehi ialah apabila seseorang itu sudah kuat iman dan amalnya maka secara automatik segala perintah dan segala larangan Allah akan dituruti oleh mereka yang benar-benar yakin dengan Allah dan hari akhirat.
Begitulah serba sedikit mengenai pengalaman penulis sendiri mengikuti Jamaah Tabligh. Jika melihat dari segi amalan dan akhlak, penulis memang kagum dengan kumpulan Jamaah Tabligh ini kerana mereka sentiasa menjaga solat secara berjamaah dan sering berpuasa sunat. Begitu juga dengan akhlak ketika berdakwah, mereka tidak jemu berdakwah kepada setiap umat Islam yang diziarahi dan sanggup menerima cacian dan celaan dari orang tertentu yang tidak senang dengan kehadiran mereka dengan senyuman dan penuh redha.
Sesungguhnya pelaksanaan pendekatan yang dianjurkan oleh Jamaah Tabligh dan saranan-saranan tadi bukanlah satu perkara yang senang dan boleh dilaksana dan diselesaikan dalam masa yang singkat. Pengorbanan harta, masa dan tenaga dari seluruh umat Islam perlu bagi melahirkan generasi ummah yang memiliki ketahanan diri dalaman supaya dengan itu mereka akan dapat mengharungi hidup zaman moden ini dengan identiti keislaman yang jelas dan tidak perlu meminggirkan nilai-nilai akhlak dan agama.








No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...